BAYI MATI DI RUMAH PENGASUH
BAYI MATI DI RUMAH PENGASUH
PUTRAJAYA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 9, di sini dalam satu kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, pihaknya menerima laporan pukul 8.45 malam tadi dan siasatan awal mendapati, bayi itu di bawah jagaan seorang pengasuh wanita berusia 48 tahun yang menjaganya kira-kira dua minggu.
GAMBAR IHSAN PDRM
Menurutnya, pengasuh tersebut memaklumkan bayi itu mengalami demam dan selesema semasa dihantar ke rumahnya.
“Apabila bayi tersebut tidak bangun dari tidur ketika dikejutkan, pengasuhnya terus menghubungi ibu bayi dan pihak hospital.
“Mayat bayi dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat manakala, hasil ujian saringan Covid-19 ke atas bayi tersebut adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada kesan pada luaran bayi tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperolehi, lapor KOSMO! ONLINE.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.