BAYERN LAYAK KE FINAL PIALA DUNIA KELAB
BAYERN LAYAK KE FINAL PIALA DUNIA KELAB
AL-RAYYAN, Qatar: Robert Lewandowski berkata Bayern Munich bersemangat untuk memburu gelaran keenam dalam tempoh setahun selepas mara ke final Piala Dunia Kelab.
Bayern mara ke final selepas jaringan Lewandowski memberikan kemenangan 2-0 ke atas juara Afrika Al Ahly pada aksi separuh akhir di Qatar.
Juara Eropah itu akan bertemu Tigres pada final Khamis ini selepas kelab Mexico itu menewaskan gergasi Brazil Palmeiras dalam satu lagi aksi separuh akhir Ahad lalu.
“Ia perlawanan yang bagus dan kami sudah bersedia untuk final,” kata Lewandowski.
Penyerang Poland itu meletakkan Bayern di depan pada minit ke-17 di Stadium Ahmed Bin Ali, gelanggang untuk Piala Dunia 2022 di Qatar.
Dia kemudian memastikan kemenangan dengan menanduk hantaran lintang Leroy Sane empat minit sebelum tamat permainan, lapor AFP.
Penjaring terbanyak Bundesliga itu kini sudah meledak 29 gol dalam 27 perlawanan kelab berkenaan musim ini.
Bayern berpeluang menjadi pasukan kedua selepas Barcelona pada tahun 2009 memenangi kesemua enam kejohanan domestik dan antarabangsa dalam tempoh semusim.
Gergasi Jerman itu sudah menjulang trofi Bundesliga, Piala Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Jerman dan Piala Super UEFA tahun lalu.