Bas gerak sendiri dan rempuh 4 kenderaan lain
Bas gerak sendiri dan rempuh 4 kenderaan lain
BENTONG – Sebuah bas bergerak sendiri secara mengundur dan merempuh empat buah kenderaan lain yang diletakkan di tempat letak kereta di tepi jalan di hadapan sebuah hotel di Jalan Jati 1, Pekan Goh Tong Jaya, Genting Highlands pada jam 6.00 petang, semalam.
Empat kenderaan lain yang terlibat itu, sebuah pacuan empat roda, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pada kejadian tersebut, bas tersebut dalam keadaan enjin mati diletakkan di situ pada jam 5.00 petang kerana pemandu bas seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun dikatakan keluar untuk beriadah.
“Bas tersebut milik sebuah institut pendidikan perguruan di Kuala Terengganu turut dirakam melalui sistem kamera tertutup (CCTV) dan turut ditularkan di media sosial.
“Kemalangan tersebut telah menyebabkan empat buah kenderaan itu mengalami pelbagai kerosakan dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Rule 14 (1)(b) ln 166/59 iaitu tidak memasang brek tatkala meninggalkan kenderaan.
“Mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan semua pengguna jalanraya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu dan ditunggang diselenggara dengan baik dan dalam keadaan yang selamat.-SAHIH.