“Bapa maut kereta terbabas di Merapoh, anak cedera ringan”
“Bapa maut kereta terbabas di Merapoh, anak cedera ringan”
KUALA LIPIS: Hasrat seorang bapa untuk pulang ke kampung bersama anaknya bertukar tragedi apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sendiri di Kilometer 30, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Cegar Perah, Merapoh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Mohd Ruzi Mohd Yusof, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala anak lelakinya berusia 19 tahun hanya cedera ringan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penumpang hadapan dikenali sebagai Nur Adzilaini Mohd Ruzi, 19, yang juga pelajar Universiti Geomatika Malaysia, hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
Beliau berasal dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan dan ketika kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung sempena cuti semester.
“Ketika melalui lokasi kejadian berhampiran Cegar Perah, dipercayai pemandu hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan di kedua-dua arah sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan, terutamanya ketika musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya.
Tambahnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Jenazah mangsa dijangka dibawa pulang ke kampung halaman untuk urusan pengebumian.-SAHIH