BAPA ACHEY MENINGGAL DUNIA
BAPA ACHEY MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR : BAPA kepada pelawak dan penyanyi, Achey, telah menghembuskan nafas terakhir pada lewat malam Khamis.
Achey menerusi Instagram miliknya, memaklumkan mengenai pemergian bapanya, Hamzah Salam, 85.
“Tiada lagi abah… tapi abah tetap dalam diri kami… Innalillahiwainnailaihirojiun….” tulisnya ringkas.
Achey pada pagi Khamis memaklumkan bapanya ditemui tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital Segamat, Johor.
Menerusi temu bual bersama mStar, Achey memaklumkan, pada kebiasaannya bapanya akan tidur selepas Subuh dan bangun untuk bersarapan.
“Selalu selepas Subuh, abah akan sambung tidur dan dalam jam 10 pagi, dia akan bangun untuk bersarapan. Tetapi pagi ini, adik yang ada di kampung memaklumkan abah tidak sedarkan diri.
“Badannya panas tetapi kakinya sejuk. Jadi mereka terus hubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Segamat,” ujarnya.
Bapa Achey dikejarkan ke hospital pada pagi Khamis setelah ditemui tidak sedarkan diri.
Tambah Achey, keadaan kesihatan bapanya mula merosot setelah mengalami kemalangan lima tahun lalu dan bergerak menggunakan kerusi roda.
Pemergian bapa Achey seolah mengulangi detik pilu pada 2019, ketika Achey menyertai Muzikal Lawak Superstar bersama arwah Abam dan Black membentuk kumpulan Botak.
Achey ketika itu mendapat berita duka mengenai pemergian mengejut bapa mertuanya, Yahya akibat sesak nafas.
Kali ini pada Muzikal Lawak Superstar 2 minggu ketujuh yang berlangsung pada Jumaat malam, kumpulan Mashuk yang dianggotai Achey bersama Mark Adam dan Shuk Sahar harus membuat persembahan tanpa Achey.