BANTUAN RM500 UNTUK KELUARGA PINDAH KE PPS
BANTUAN RM500 UNTUK KELUARGA PINDAH KE PPS
KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta rumah saudara-mara, susulan terkesan bencana banjir pada Januari lepas.
Sumbangan wang tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga-peniaga di gerai-gerai dan rumah kedai-rumah kedai, yang turut mengalami bencana sama di seluruh negeri.
Jumlah kesemua ialah 18,726 orang melibatkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta, keputusan dibuat di mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mesyuarat itu turut mengambil maklum Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR.
Jumlah keseluruhan kira-kira RM4.3 juta, sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA itu hanya meliputi kira-kira 8,600 KIR.
Selain itu, Kerajaan Negeri menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah selama tiga (3) bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki akibat bencana banjir.
Jumlah KIR terbabit ialah 27 orang manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga (3) bulan berkenaan ialah kira-kira RM16,800.
“Sukacita juga saya maklumkan, mesyuarat MMK Negeri turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
“Saya berharap, dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan ini, dapat sedikit-sebanyak meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir, serta masalah pembelajaran dalam tempoh mencabar menghadapi wabak pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya melalui kenyataan media.