BANTUAN KHAS KEWANGAN RM1,000 SEORANG
HARGAI JASA PENJAWAT AWAM
KUANTAN : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada 8,000 penjawat awam tanpa pengecualian gred dalam pembentangan Belanjawan 2021 negeri itu hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan dan pembayarannya akan dibuat sebelum 16 Januari tahun hadapan.
Beliau berkata, bantuan khas itu diberikan sebagai menghargai jasa penjawat awam yang menyumbang perkhidmatan terbaik mereka terhadap pentadbiran negeri.
“Diharapkan dengan pengumuman itu akan meningkatkan semangat mereka dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kerana penjawat awam merupakan tulang kepada belakang kerajaan.
“Pemberian bantuan khas ini bertambah berbanding RM750 berbanding tahun lepas dan sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah, tidak mustahil kerajaan negeri akan memberikan bantuan khas kewangan khas yang lebih tinggi daripada tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 kerajaan negeri di sini.
Datuk Seri Wan Rosdy dalam ucapan tersebut turut menjangkakan kutipan hasil negeri pada tahun hadapan adalah sebanyak RM800.798 juta iaitu peningkatan 7.6 peratus berbanding anggaran bagi tahun ini.
Jelasnya, kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak 452.285 juta ringgit, hasil perhutanan sebanyak 165.495 juta ringgit, dan hasil air sebanyak 15.250 juta ringgit, geran kerajaan Persekutuan sebanyak 94.2 juta ringgit, dan lain-lain hasil sebanyak 73.568 juta ringgit.