BANTUAN BULANAN UNTUK M DAUD KILAU
Berita Hiburan/Kehidupan
BANTUAN BULANAN UNTUK M DAUD KILAU
BAGAN DATUK: Raja Gelek Malaysia, Datuk Muhammad Daud Kilau akan menerima Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan ini bagi meringankan beban penyanyi veteran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin berkata kerajaan negeri melalui JKM berjaya mempercepatkan kelulusan bantuan bulanan tersebut yang akan diterima mulai 25 Oktober ini.
“Diharapkan bantuan bulanan ini dapat meringankan beban beliau (M Daud Kilau) untuk menampung kos kehidupan harian,” katanya ketika ditemui di kediaman M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.
M Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Sirih Pinang dan Cek Mek Molek ketika ditemui bersyukur kerana menerima bantuan bulanan tersebut dan mengakui ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban terutama dari sudut kewangan.
“Dengan bantuan tersebut, dapatlah membantu saya untuk membayar bil api dan air. Tambahan pula saya kadang-kala membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Bagan Datuk.
“Jadi memang banyak duit nak guna. Alhamdulillah, memang ramai yang tampil membantu termasuk dari Persatuan Artis Malaysia,” katanya.
M Daud Kilau yang cukup sinonim dengan busana labuci dan warna warni kini hanya menghabiskan masa di rumah berikutan tahap kesihatannya yang semakin merosot kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan keadaan jantung tidak stabil sejak 2016.
Sumber: BERNAMA