BANTU JANA PENDAPATAN ANAK PENEROKA
KUANTAN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak covid-19 sejak Mac lalu, pelbagai alternatif dimanfaatkan peniaga terutama berniaga secara dalam talian menerusi aplikasi Whatsapp.
Kumpulan Whatsapp menjadi tumpuan terutama golongan B-40 untuk berniaga mencari pendapatan tetap mahupun sampingan.
Mengambil pendekatan itu, generasi kedua FELDA Bukit Kuantan, di sini menubuhkan kumpulan Whatsapp bagi memberi peluang kepada anak dan menantu peneroka yang menetap di kawasan FELDA tersebut untuk menjana pendapatan.
Kumpulan Whatsapp yang menjadi platform berniaga bagi anak peneroka Felda Bukit Kuantan
Menurut admin kumpulan Whatsapp berkenaan, Norhidayah Sulong, 37, kumpulan berkenaan telah memberi peluang kepada 257 anak peneroka di kawasan itu menjual produk masing-masing dan ada juga sebagai pembeli.
“Kumpulan ini ditubuhkan bagi meluaskan produk peniaga dalam kawasan FELDA ini untuk lebih dikenali memandangkan isi rumah di FELDA ini kira-kira 1,000 orang.
“Bagi pembeli pula, ia membolehkan mereka merasa dan mencuba segala produk yang mereka mahu hanya dalam kawasan kampung ini tanpa perlu ke bandar.
“Majoriti daripadanya berniaga makanan, alat kosmetik, produk kesihatan, benih pokok dan pakaian,” katanya.
Katanya, terdapat empat orang admin lagi yang mentadbir kumpulan Whatsapp itu iaitu Norliza Musa, Maisarah Mohame Tahir, Rozilawati Muhammad dan Roslina Ahmad Kasdi.
(Dari atas kiri) Rozilawati,Maisarah,Norliza,Norhidayah dan Roslina yang bertanggungjawab mentadbir kumpulan.
Sementara itu bagi Rozilawati, 52, berkata, penyertaan daripada anak-anak peneroka semakin bertambah sejak kumpulan itu ditubuhkan dua tahun lalu.
“Ia kemudian semakin bertambah ketika negara diumum PKP.
“Malah ada juga pembeli menjadi peniaga dan membantu mereka meraih pendapatan,”ujarnya.