Bantahan Jejas Nama Baik Felda Bukit Tajau – KAF Kesal Tindakan JPKK
Bantahan Jejas Nama Baik Felda Bukit Tajau – KAF Kesal Tindakan JPKK
MARAN – Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Felda Bukit Tajau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir peneroka dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) rancangan itu yang membantah hasil Skim Ladang Bersama Felda.
Pengerusinya, Wan Azeman Wan Nasir berkata, tindakan tersebut tidak mencerminkan suara majoriti peserta skim, selain mencemarkan nama baik Felda Bukit Tajau secara keseluruhannya.
“Kami berpandangan, bantahan ini tidak wajar kerana satu perbincangan bersama pengurusan Felda telah pun diadakan pada 15 Mei lalu. Perbincangan itu berjalan lancar, tanpa sebarang bangkangan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Felda Bukit Tajau, di sini, semalam.
Terdahulu, media pernah melaporkan keluhan segelintir peserta skim yang mendakwa hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 hingga RM1,400 sebulan sejak enam tahun lalu dan merayu pendapatan mereka ditingkatkan.
Mengulas lanjut, Wan Azeman berkata, pengurusan Felda sebenarnya telah memberikan penjelasan terperinci serta membentangkan data hasil bagi bulan April yang menunjukkan peningkatan ketara sehingga melebihi RM2,000.
“Malah, pihak pengurusan turut menjangkakan prestasi hasil akan terus meningkat dalam bulan-bulan akan datang. Ketika perbincangan, tiada peserta pun yang membantah atau tidak berpuas hati,” ujarnya.
Berikutan itu, KAF menuntut agar Pengerusi JPKK, Nor Azhar Abd Latif dan barisan jawatankuasanya meletakkan jawatan kerana didakwa gagal memainkan peranan menyatupadukan masyarakat.
“Sebagai wakil penduduk, beliau seharusnya menjadi jambatan keharmonian, bukan menambah ketegangan,” tegas Wan Azeman.
Menurut beliau, segala isu yang timbul wajar diselesaikan secara berhemah demi kebaikan bersama dan masa depan Felda Bukit Tajau.-SAHIH