BANJIR TERBURUK DALAM TEMPOH 40 TAHUN
BANJIR TERBURUK DALAM TEMPOH 40 TAHUN
JERANTUT: Warga peneroka FELDA Jengka 24 menggambarkan banjir tahun ini adalah terburuk pernah mereka alami sejak 40 tahun menetap di tanah rancangan itu.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, kenaikan mendadak paras air dan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu memburukkan lagi keadaan.
“Kami bernasib baik kerana pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) banyak menghulurkan bantuan kepada penduduk bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan dan proses pemindahan ke pusat penempatan sementara (PPS) yang disediakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razak berkata, banjir yang bermula hujung minggu lalu juga adalah kali keempat melanda kawasan FELDA Jengka 24 dan kawasan sekitar, sejak Disember lalu.
“Kerjasama rapat antara peneroka juga banyak membantu memudahkan penduduk di sini… kami mengambil inisiatif sendiri dengan bergotong-royong menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam untuk penduduk yang terjejas banjir.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ahli Gabungan Peneroka Wanita (GPW) yang banyak membantu melancarkan urusan penyediaan makanan kepada penduduk dan sukarelawan lain,” katanya.
Pihak pengurusan FELDA Jengka 24 turut menyediakan sebuah bot bagi tujuan memindahkan penduduk ke PPS dan mengagih makanan kepada peneroka yang terputus hubungan berikutan laluan dinaiki air.