Banjir surut di Kuantan, kerajaan Pahang terus pantau kebajikan mangsa
Banjir surut di Kuantan, kerajaan Pahang terus pantau kebajikan mangsa
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebentar tadi mengunjungi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Bukit Rangin yang kini menempatkan 66 keluarga membabitkan 233 mangsa banjir dari kawasan berhampiran.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menyampaikan sumbangan kerajaan Pahang serta kit bantuan makanan sebagai usaha meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
Wan Rosdy berkata, beliau lega apabila dapat melihat sendiri keadaan penghuni PPS yang dilaporkan berada dalam keadaan baik, selain keperluan asas seperti makanan, minuman dan kemudahan lain mencukupi.
Menurutnya, kehadiran kerajaan negeri ke PPS adalah bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara serta mendengar secara langsung keperluan semasa yang diperlukan oleh penduduk terjejas.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan di PPS ini terkawal dan segala keperluan asas mangsa mencukupi. Kita akan terus memantau supaya tiada mangsa yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun situasi banjir di beberapa kawasan di daerah itu dilaporkan semakin surut, kerajaan Pahang tidak mengambil mudah dan akan terus memantau perkembangan semasa dari semasa ke semasa.

Katanya, bantuan akan terus digerakkan secara berterusan melalui kerjasama agensi berkaitan termasuk pasukan keselamatan dan jabatan teknikal bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menasihatkan penduduk khususnya di kawasan berisiko supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, selain tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan.
“Keselamatan adalah keutamaan. Saya minta semua penduduk terus berwaspada dan mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya.-SAHIH
