Banjir: Lapan nyaris maut, bas pekerja dihanyut arus deras
Banjir: Lapan nyaris maut, bas pekerja dihanyut arus deras
BINTULU: Lapan individu nyaris maut setelah bas pekerja yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras lalu tersadai ke bahu jalan dalam insiden yang berlaku berhampiran Bulatan Bintulu-Samalaju di Jalan Samalaju-Bintulu malam Sabtu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Bintulu, Wan kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota bomba dari Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bergerak ke lokasi dinyatakan sejurus sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.09 malam.
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati
sememangnya terdapat sebuah bas yang terbabas ke bahu jalan akibat dibawa arus deras sedalam antara 2 ke 3 meter di laluan berkenaan akibat dilanda banjir kilat,” ujarnya.
Sejurus itu katanya, pasukan bomba menggunakan tali khas bagi menarik mangsa satu persatu dari dalam bas dan membawa mereka ke lokasi selamat.
Katanya, mujur kesemua mangsa yang tererangkap dalam bas berkenaan termasuk pemandunya terselamat dalam insiden yang berlaku tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Kita turut difahamkan bahawa bahawa kesemua mangsa berumur 31 hingga 64 tahun itu merupakan pekerja di sebuah kilang perindustrian di Taman Perindustrian Samalaju,” jelas Wan.
Terdahulu katanya, sebuah lagi bas pekerja dan sebuah lori treler turut tersadai di laluan berkenaan akibat dibawa arus deras.
Difahamkan setakat jam 8 pagi ini, kawasan terbabit belum lagi dapat dilalui sebarang kenderaan berikutan paras air yang masih tinggi.