BANJIR KILAT KAMPUNG SIMPANG KALLANG
BANJIR KILAT KAMPUNG SIMPANG KALLANG: 11 MANGSA DIPINDAHKAN KE PPS
RAUB: Hujan lebat sejak lewat petang tadi mengakibatkan banjir kilat di Kampung Simpang Kallang, dekat sini.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub menerima panggilan kecemasan jam 7.50 malam tadi dan bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemindahan penduduk terjejas banjir.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zulkaflee Yob berkata, pihaknya menggunakan sebuah jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi operasi berkenaan.
“Seramai lapan pegawai dan anggota terbabit dalam operasi lewat petang tadi dan tugas memindahkan penduduk ke pusat pemindahan banjir (PPS) berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Semua mangsa adalah dari satu keluarga iaitu dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan… mereka kini ditempatkan di PPS Dewan Simpang Kallang,” katanya.
Zulkaflee berkata, buat masa ini keadaan cuaca di kawasan terbabit sudah bertambah baik dan paras air di kampung berkenaan juga sudah beransur surut ke paras normal.
https://sahih.com.my/banjir-kilat-kampung-simpang-kallang/