BANJIR KILAT DI JENGKA
JENGKA: Sebanyak 27 rumah dan dua bangunan awam dinaiki air di kawasan Jengka ekoran hujan lebat kira-kira tiga jam, lewat petang tadi.
Di Jengka 11, terdapat 10 rumah dinaiki air dan lapan mangsa ditempatkan di Pusat Pemindaham Sementara (PPS), manakala di Jengka 14, empat buah rumah turut dinaiki air dan sebuah bangunan SAR Jengka 14 turut terjejas.
Pengerusi Peneroka Jengka 24, Razak Daud, berkata kejadian di Jengka 24 bukan kali pertama dan boleh dikatakan setiap kali hujan lebat yang berpanjangan, semua peneroka di kawasan rendah akan bersiap sedia.
“Jalan utama Jengka 24 sering dilanda banjir disebabkan longkang besar tersumbat dan memerlukan kolong lebih besar bagi memudahkan aliran air lancar dan tidak melimpah ke atas jalan raya.
“Air tersekat di kawasan itu menyebabkan aliran air lambat dan melimpah ke atas jalan raya dan masuk ke dalam rumah di kawasan berdekatan,” katanya.
Hujan lebat itu turut mengakibatkan 8 rumah dalam kawasan Perumahan Kilang Sawit Jengka 21 turut dinaiki air dan sebuah rumah peneroka turut menjadi mangsa di Jengka Satu.
Terdapat dua buah rumah dilaporkan dinaiki air di Jengka 13 dan dua rumah di Jengka 24 turut dimasuki air.