BALIK KAMPUNG TANAM JAGUNG MENDATANGKAN HASIL LUMAYAN
BALIK KAMPUNG TANAM JAGUNG MENDATANGKAN HASIL LUMAYAN
JERANTUT : Seorang bekas pekerja gudang ikan memperoleh pendapatan lumayan kira-kira RM8,000 bagi setiap satu pusingan hasil tanaman jagung di kawasan seluas 0.4 hektar sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
Anak muda yang masih bujang itu , Ahmad Mazran Abdul, 26, berkata, dia berhenti kerja di sebuah gudang ikan di Melaka akibat penularan pandemik Covid-19 tahun lalu dan pulang ke kampung untuk memulakan tanaman jagung di kawasan tanah milik Felda di situ.

” Mulanya, saya membantu ibu bapanya menguruskan tanaman jagung dan sayur-sayuran di tapak ini dan pasarannya agak tidak begitu meluas berikutan penguatkuasaan PKP dengan tiada pengalaman dan kemahiran berkebun sebelum ini.
“Saya banyak mempelajari daripada ibu bapa ketika membantu mereka sejak tahun lalu sehinggalah kawasan tapak tanaman ini diserahkan kepada saya untuk memulakan hidup secara berdikari,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, dengan bermodal RM1,200 wang simpanannya dan dibantu oleh rakannya, Ahmad Mahtar, 33, yang menguruskan tanaman itu seperti tugas membaja, racun serangga dan pengairan sehingga tanaman itu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga bulan.
“Saya memilih tanaman jagung kerana pengurusan tanaman itu lebih mudah termasuk pasaran yang baik dalam tempoh penguatkuasaan PKP di sekitar Felda Kota Gelanggi Dua, Felda Kota Gelanggi Empat dan Felda Tekam Utara.
“Kami bersyukur dan bernasib baik tanaman bagi pusingan kelima boleh dipasarkan bertepatan pula selepas tamat penguatkuasaan PKP Diperketakkan (PKPD) di lokaliti ini pada awal bulan ini. Sekiranya PKPD berlanjutan sudah tentu jagung ini lebih usia matang dan kurang mendapat sambutan di pasaran, ” katanya.
Selanjutnya, jelas Ahmad Mazran, hasil tanaman itu bagi satu pusingan biasanya, dia memperoleh sebanyak 6,000 tongkol jagung dijual cuma dalam tempoh 10 hari dan pendapatan kira-kira RM8,000.
“Tujuh tongkol jagung dijual dengan harga RM10 boleh dibeli di gerai hadapan kebun ini secara pandu lalu dan juga tempahan secara COD turut memberi perkhidmatan untuk penduduk di sini.
“Kami sudah merancang untuk memulihkan sebuah lagi tapak yang disewa berdekatan kebun ini bagi memulakan tanaman sayur-sayuran tidak lama lagi memandangkan permintaan tanaman makanan ini semakin tinggi dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 ini,” katanya.-SAHIH.