BAKAR RUMAH PUSAKA KERANA WANG
BAKAR RUMAH PUSAKA KERANA WANG
IPOH: Berang tidak diberikan wang, seorang lelaki bertindak membakar rumah pusaka bapanya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan di sini kelmarin.
Tindakan lelaki berusia 42 tahun itu menyebabkan hampir keseluruhan rumah tersebut musnah terbakar selain sebuah rumah lain yang terbakar satu peratus.
Turut musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 5.40 pagi itu ialah dua buah kereta jenis Honda CRV, sebuah kereta Perodua Viva dan tiga buah motosikal serta peralatan elektrik dan perkakasan rumah yang dianggarkan membabitkan kerugian bernilai RM80,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat isteri suspek yang mengesyaki suaminya telah membakar rumah pusaka bapa mertuanya.
“Selain isteri suspek, abang kandung lelaki itu juga turut membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
“Dalam rakaman percakapan, abang lelaki itu mengesyaki adiknya telah membakar rumah pusaka bapa mereka kerana suspek mengaku membuat unggun api di halaman rumah dan berdekatan motosikal,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pegawai penyiasat telah melawat tempat kejadian dan mendapati terdapat dua buah rumah dalam geran tanah yang sama di mana bahagian hadapan adalah rumah pusaka bapa suspek dan di bahagian belakang pula rumah abang kandung suspek, lapor KOSMO! Online.
Katanya, dalam kejadian itu, rumah pusaka tersebut terbakar 90 peratus manakala rumah abang suspek pula terbakar sebanyak satu peratus .
“Siasatan juga mendapati rumah jiran di hadapan lokasi kejadian mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) yang menghala ke kawasan kebakaran dan polis telah meminta kerjasama jiran untuk mendapatkan salinan rakaman tersebut,” katanya.
GAMBAR IHSAN PDRM
Tambah beliau, bahagian fosensik bomba telah hadir ke tempat kejadian dan telah mengambil sampel untuk dianalisis punca kebakaran.
Katanya, cawangan D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak juga telah mengambil beberapa sampel untuk di hantar ke Jabatan Kimia Perak.
“Suspek telah ditangkap dan akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.