BAKA DURIAN TOK GELANG POPULAR DI FELDA GELANGGI 2
BAKA DURIAN TOK GELANG POPULAR DI FELDA GELANGGI 2
JERANTUT : Kawasan Felda Kota Gelanggi 2 yang dikelilingi dengan tanaman sawit turut mempunyai baka durian Tok Gelang dan popular di kalangan penggemar raja buah itu di kawasan di situ dan sekitar dekat sini.
Penduduk di situ beranggapan baka itu sebaris dengan Musang King, D24, IOI dan durian komersial lain kerana aroma, warna dan tekstur isinya mempunyai tarikan tersendiri.
Pemilik dusun durian Tok Gelang, Rohani Abdullah, 53, berkata, pokok durian Tok Gelang mula ditanam di belakang rumah oleh allahyarham bapanya, Abdullah Mohamad sejak 42 tahun dahulu daripada baka cantuman (kahwin) durian kampung.
“Buahnya agak sederhana besar dan mempunyai antara dua hingga tiga ulas yang tebal setiap pangsa serta berwarna kekuningan.
“Setiap ulas mempunyai tekstur isi yang agak tebal, beraroma dan manis di antara baka ini dikenali ramai di kalangan penduduk di sini sejak pokok ini berbuah,” katanya.
Katanya, sejak 10 tahun lalu, dia memanggilnya durian Tok Gelang apabila kadang-kadang terjumpa tekstur di ulasnya seakan-akan ada bentuk gelangan.
“Setiap musim, 10 batang durian itu berbuah dan pasarannya tidak pergi jauh cuma di sekitar Felda Kota Gelanggi Dua, Felda Tekam Utara dan ada penduduk kampung berdekatan yang gemar isi buah ini datang membeli.
“kami bersyukur setiap kali musim buah, jenama Tok Gelang sentiasa mendapat perhatian penggemar durian di kawasan Felda tersebut dan penduduk berdekatan,” katanya.
Rohani berkata, musim ini buahnya tidak begitu lebat, tetapi sudah menjual hampir 500 kilogram berbanding musim sebelum ini menghasilkan lebih dua tan dan habis dijual di kawasan Felda tersebut.
“Kebanyakan pembeli mendapatkan durian Tok Gelang untuk memasak juadah bubur kerana isinya tebal, beraroma dan kemanisan isi cukup menyelerakan termasuk ada pelanggan membeli untuk membuat tempoyak,” katanya.
Katanya, dia menjual dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, durian Tok Gelang cuma dijual cara selonggok yang mengandungi enam biji dengan harga RM10 berbanding sebelum ini menjualnya dengan harga RM6 sekilogram.
“Dalam PKP ini, cara jualan pun lebih mudah dan selamat serta tidak perlu menggunakan alat timbangan kerana untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), iaitu pelanggan cuma datang membeli secara ‘pandu lalu’ di hadapan rumah atau saya sendiri menghantar ke rumah.
“Hasil pasaran Tok Gelang ini bolehlah menampung belanja keperluan dapur semasa tempoh PKP dan perbelanjaan lima orang anak yang masih belajar,” katanya.-SAHIH.