Bajet 2023 – KPKT tumpu kenaikan pangkat, insentif anggota bomba
Bajet 2023 – KPKT tumpu kenaikan pangkat, insentif anggota bomba
MARAN – Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara tumpuan utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Bajet 2023 dengan membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat serta insentif tambahan.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya sedang mengenalpasti keperluan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kerajaan melalui sesi libat urus yang dilakukan ketika ini.
“Jadi saya tengok perkhidmatan bomba ini berat, tidak dinafikan peranan mereka sebagai barisan hadapan, wajar diberikan perhatian sebab itulah kadar elaun (perlu) dinaikkan dan hari ini kita nak lihat peluang kenaikan pangkat harus diberikan kepada anggota bomba selain insentif lain.
“Perkhidmatan bomba ini sepanjang masa berkhidmat, mereka sentiasa ada di setiap situasi keadaan,” katanya ketika ditemui media di Maran.
Katanya, apabila kemalangan jalan raya, mereka (bomba) pasti ada, keadaan banjir mereka turut bertugas membantu selain tugasan utama melakukan pemadaman kebakaran dan masuk ke dalam air sekiraya berlaku kejadian lemas.
“Mereka dahulu sebelum tiba sebelum pasukan keselamatan lain, mereka ada selain polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan agensi lain.
“Diharap pegawai dan anggota bomba turut menerima insentif bersesuaian dengan peranan mereka seperti dinikmati pasukan beruniform,” katanya.-SAHIH.