BAJAU LAUT YANG UNIK: KENALI MEREKA
BAJAU LAUT YANG UNIK: KENALI MEREKA
SEMPORNA: Mungkin ramai yang tidak mengenali ‘Orang Laut’ di perairan Sabah tetapi kehidupan mereka yang sangat unik akan membuat sesetengah daripada kita berfikir ini mungkin kehidupan yang wujud dalam filem sahaja.
Siapakah Orang Laut ini? Berdasarkan sejarah, mereka merupakan sebuah kumpulan etnik Sabah yang berasal dari Filipina dan Indonesia dimana untuk sepanjang hayat mereka tinggal di lautan, membina perahu yang juga digunakan sebagai tempat ‘penginapan’.
Walaupun dikenali sebagai Orang Laut, istilah yang tepat untuk masyarakat ini adalah ‘Bajau Laut’.
Asal-usul mereka adalah tidak jelas bagi kebanyakan sejarah memandangkan kehidupan mereka yang nomad, hidup di laut, terasing daripada komuniti lain dan kehidupan seharian bergantung kepada hasil memancing dan berdagang.
Komuniti yang hidup dengan perahu ini dilihat sebagai satu komuniti yang tidak agresif, hidup dalam aman damai, berhampiran pantai dengan mendirikan rumah di lautan serta menjadikan lepa-lepa, bot yang dibina sendiri, sebagai pengangkutan utama.
Pada asasnya, kehidupan mereka meliputi sekitar lautan. Kebanyakkan mereka bekerja sebagai nelayan memandangkan makanan utama mereka ialah ikan, membina bot mereka sendiri dan dikenali sebagai penyelam yang luar biasa (ada yang mengatakan mereka boleh bernafas di dalam air sehingga lima minit), dimana mereka juga dikenali sebagai ‘Raja Laut’.
KANAK-KANAK DARIPADA ETNIK BAJAU LAUT YANG BOLEH MENYELAM TANPA MEMAKAI PERALATAN MENYELAM
Sering kali kita diberitahu tentang keunikan kehidupan Bajau Laut yang pasti menjadi tarikan buat sesiapa sahaja. Namun kita sering terlupa bahawa hidup ini bukanlah seperti intan dan berlian sentiasa.
Menurut sebuah buku yang ditulis oleh Md Saffie Rahim, Sabihah Osman dan Ramzah Dambul (2012 ), ‘ Bajau Pantai Timur ‘, kajian awal telah dilakukan untuk mengesan populasi penduduk Bajau Laut pada 1931. Kaji selidik kedua dan ketiga pula dilakukan pada tahun 1951 dan 1961.
Berdasarkan kajian tersebut, penduduk Bajau Laut sentiasa mengalami peningkatan terutama pada 1961 di mana daripada 17,000 penduduk Semporna, kebanyakkannya adalah masyarakat Bajau.
Peningkatan ini dilaporkan berpunca daripada konflik antara pejuang Moro dan kerajaan Filipina yang membawa orang Islam Filipina berhijrah ke pantai timur Sabah.
Walau bagaimanapun, sesetengah daripada komuniti Bajau Laut ini juga berasal dari Kepulauan Sulu di Filipina dan Kepulauan Sulawesi, Indonesia seperti yang diceritakan oleh Ketua Kampung Pulau Sibuan, Almasin Almadal.
“Saya tidak akan berbohong atau menyembunyikan tentang hakikat bahawa kebanyakan kami adalah dari Filipina. Tetapi kami sudah berada di Sabah lebih daripada 50 tahun.
“Malangnya , kebanyakan kami tidak mempunyai dokumen yang sah untuk mengesahkan kewarganegaraan kami dan ini amat menyedihkan kerana kami lahir dan membesar di Sabah,” katanya.
Pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Gaya, Semporna, saya kagum dengan pondok-pondok yang dijadikan tempat berteduh untuk mereka dimana pondok-pondok ini dibina di atas air.
Mereka yang tinggal di kawasan ini dikenali sebagai Bajau Laut Pantai Timur dimana mereka tinggal di sekitar Semporna, terutama di pulau-pulau kecil berhampiran.
KEHIDUPAN SEHARIAN MEREKA MENGGUNAKAN PERAHU YANG DIBUAT SENDIRI SEBAGAI PENGANGKUTAN UTAMA.
Kanak-kanak dilihat gembira mendayung perahu mereka, berenang dan bermain bersama-sama manakala golongan tua memasak dan berborak sesama mereka.
Walaupun hidup di dalam kesusahan dan derita, mereka tetap bertahan dan inilah yang membuatkan kaum Bajau Laut sebuah komuniti yang menarik untuk kita pelajari kerana kisah hidup mereka dapat memberi suntikan semangat.
Mungkin di kaca mata kita hidup mereka agak menarik, tetapi kenyataannya, hidup mereka bukanlah seindah sebuah taman.
Dengan kehidupan yang jauh dari darat, hanya beberapa kerat sahaja yang tahu tentang kewujudan mereka.
Mereka terikat di lautan, tidak mampu ke darat kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ini akan membuat kita terfikir, kehidupan di ‘syurga dunia’ bukanlah kehidupan yang sempurna seperti yang dibayangkan.
credit: Astro Awani /Majalah Libur