BAIK TAK PAYAH KUARANTIN LANGSUNG
BAIK TAK PAYAH KUARANTIN LANGSUNG
KUALA LUMPUR: Pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman membantah cadangan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba agar tempoh kuarantin selama tiga hari bagi menteri mungkin diperluas kepada ahli perniagaan atau orang awam di masa hadapan.
“Saya sama sekali tidak menganggap ini idea yang baik. Lebih baik tak ada kuarantin langsung,” kata Adeeba, yang merupakan anggota pasukan petugas pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).
Adham berkata penetapan kuarantin selama tiga hari, yang ketika ini hanya dikuatkuasa di kalangan menteri, mungkin akan diperluas bagi membuka sektor ekonomi, lapor Malaysiakini.
Adeeba bagaimanapun berkata orang ramai memahami keperluan untuk membuka semula ekonomi tetapi perkara itu hanya boleh dicapai dengan menangani wabak tersebut terlebih dahulu.
“Peraturan (kuarantin) 10 hari ada sebab. Ini berdasarkan pada apa yang kita ketahui sekarang tentang virus, tempoh risiko penularan, bagaimana penyakit ini muncul.
“Seterusnya, ada kebimbangan seluruh dunia mengenai pengembangan varian dan apa kesannya terhadap vaksin semasa.
“Oleh itu, pembukaan sempadan secara sembarangan juga bukanlah idea yang baik. Memilih ekonomi berbanding kesihatan atau sebaliknya adalah dikotomi palsu,” katanya di Twitter.
Dia juga meminta agar kerajaan membuat keputusan berdasarkan penemuan Sains.
Beberapa ahli parlimen semalam menuntut agar kerajaan menjelaskan keputusan untuk membenarkan menteri dikuarantin hanya selama tiga hari.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan tempoh inkubasi Covid-19 adalah antara dua hingga 10 hari.
Malaysia akan menerima bekalan vaksin Covid-19 pertama pada akhir bulan ini dan proses vaksinasi akan bermula pada bulan Mac.
Terdapat kebimbangan bahawa beberapa vaksin mungkin tidak berkesan terhadap varian baru Covid-19 yang sudah bermutasi.
Afrika Selatan minggu ini menghentikan program vaksinasi AstraZeneca setelah data menunjukkan ia memberikan perlindungan minimum terhadap varian baru virus berkenaan.
Pihak berkuasa Afrika Selatan kemudian berkata mereka akan memulakan proses vaksinasi secara bertahap untuk memerhatikan keputusan awal.