BAGAIMANA MAHU BAYAR PEGUAM JIKA SAYA MUFLIS- NAJIB
BAGAIMANA MAHU BAYAR PEGUAM JIKA SAYA MUFLIS- NAJIB
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerahkannya notis bankrap yang sebelum ini turut diselar pasukan pembelaannya sebagai tindakan bermotifkan politik.
“Bagaimana saya mahu membayar peguam (jika saya muflis),” soal Najib di Facebook.
Pasukan pembelaannya sedang memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis bankrap itu dan menangguhkan prosiding yang cuba dimulakan LHDN itu, lapor Free Malaysia Today.
LHDN memfailkan notis bankrap itu terhadap Najib kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2017, selain 5 peratus bagi setiap tahun berjumlah RM45.9 juta dari tarikh penghakiman serta kos.
Ahli Parlimen Pekan itu mengkritik kerajaan kerana cuba memufliskannya dengan undang-undang yang tidak boleh dicabarnya di mahkamah dan mengongsikan perasaannya di media sosial.
“Jika sumbangan politik, ia tidak boleh dicukai. Jika dianggap pendapatan peribadi dari luar, ini telah dikecualikan cukai sejak 2004.
“Jika ia hasil rompakan, adakah keuntungan hasil rompakan juga boleh dicukai?” sindirnya.
Najib berkata, kerajaan menggunakan undang-undang hasil dalam negeri khusus yang tidak boleh dicabar di mahkamah, malah menambah beliau juga tidak diberi peluang untuk merayu kesnya dengan pesuruhjaya cukai.
“Ditambah pula dua peguam bela saya berdepan tuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram berkaitan dengan yuran perundangan yang saya bayar kepada mereka.
“Kini bukan saja mereka perlu mempertahankan saya, malah diri sendiri,” katanya.
Terdahulu minggu ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pembelaan Najib, berkata notis bankrap itu jelas penyalahgunaan proses serta ugutan, selain helah untuk menggugat kedudukannya dalam UMNO.
“Kami turut meminta penangguhan pelaksanaan penghakiman terus RM1.69 bilion itu,” katanya, dengan menambah Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan berkenaan pada 11 Jun.