Bagai ditarik-tarik, bergumpal dengan ikan tapah sangkut pada kail
Foto : Roslan Abu Kassim, 56, mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menaikkan ikan tapah seberat 27 kilogram itu ketika menemani hos National Geographic, Zep Hogan, bagi penggambaran program dokumentari River Monster.
Bagai ditarik-tarik, bergumpal dengan ikan tapah sangkut pada kail
JERANTUT – Suasana di Sungai Tahan, Taman Negara Kuala Tahan bertukar dramatik apabila seekor ikan tapah gergasi tiba-tiba menyambar kail seorang pemandu pelancong tempatan, menjadikan pengalaman memancingnya penuh debaran.
Roslan Abu Kassim, 56, yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Taman Negara berkata, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menaikkan ikan tapah seberat 27 kilogram itu ketika menemani hos National Geographic, Zep Hogan, bagi penggambaran program dokumentari River Monster.
“Saya menggunakan umpan hidup ikan keli, tidak lama diturunkan, air tiba-tiba bergolak kuat dan joran saya melentur dan saya terpaksa menahan joran yang terasa sangat berat.
“Ikan tapah itu bergumpal di permukaan sungai, seolah-olah cuba melepaskan diri, meronta sehingga saya terasa turut ditarik-tarik,” katanya.
Roslan bersama Hogan menarik tali kail dengan cermat sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut ke atas perahu. Detik penuh mendebarkan itu turut dirakam oleh kru produksi untuk dimuatkan dalam siaran National Geographic akan datang.
Menurutnya, nama lain bagi ikan tapah termasuklah ikan berkumis dan sareng, manakala dalam dialek Melanau, Sarawak dipanggil tabei, nama saintifik pula ialah Wallagonia leerii, merupakan spesies liar yang masih banyak terdapat di Sungai Tahan dan Sungai Tembeling, terutama di kawasan lubuk dalam.
“Tapah biasanya menjadikan ikan kecil dan serangga sebagai makanan utama. Selepas ditimbang dan dirakam, ikan ini kami lepaskan semula ke habitat asalnya demi menjaga kelestarian biodiversiti Sungai Tahan.
”Ikan tapah dewasa mampu mencecah 80 kilogram dengan panjang sehingga dua meter, bagi nelayan sungai di kawasan Kuala Tahan serta Ulu Tembeling, harga pasaran spesies itu boleh mencecah RM50 hingga RM60 sekilogram,” katanya.
Roslan berkata, penduduk tempatan lazimnya memasak ikan tapah dalam pelbagai menu tradisional seperti asam tempoyak, masak lemak cili api, dan sup tapah.-SAHIH.
