BADMINTON PENG SOON-LIU YING MARA SUKU AKHIR
BADMINTON PENG SOON-LIU YING MARA SUKU AKHIR
KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melangkah ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Belanda Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-13 di Bangkok, hari ini.
Beraksi dalam tempoh 40 minit, pilihan kelima kejohanan itu mengakui sedikit bergelut pada set pertama sebelum kembali menemui rentak diinginkan untuk bertemu pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang melakar kemenangan ke atas beregu negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai 20-22, 21-18, 21-12.
Pasangan beregu campuran dari Thailand
.
“Perlawanan hari ini boleh dikatakan OK,” kata Liu Ying kepada BH ONLINE.
“Pada mulanya, sedikit sukar, banyak melakukan kesilapan mudah dan mungkin kerana belum dapat membiasakan diri dengan sepenuhnya lagi.
“Permainan kami mula berubah di set kedua dan kami dapat mengawal permainan. Untuk esok, kami akan bertemu pasangan Thailand yang juga pilihan utama. Kami sudah banyak kali bertemu dengan mereka namun apa yang boleh saya katakan (peluang), 50-50.”
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, kedua-dua beregu ini pernah bertemu sebanyak lima kali dengan kali terakhir di peringkat kumpulan Final Jelajah Dunia BWF HSBC 2019.
Daripada lima pertemuan itu, Peng Soon-Liu Ying merekodkan empat kemenangan ke atas lawan dari Thailand berkenaan iaitu di Thailand Masters 2019, Terbuka Malaysia 2016, Thailand Masters 2016 dan Grand Prix Mexico City 2015.
Pasangan beregu lelaki Malaysia Ong Yew Sin-Teo Ea Yi
Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menewaskan lawan dari Amerika Syarikat, Phillip Chew-Ryan Chew 21-12, 21-7 dalam tempoh 22 minit dan dijadual bertemu Lee Yang-Wang Chi-Lin yang juga pilihan keenam dari Taiwan pada saingan suku akhir.
Beregu dari Taiwan itu menewaskan pasangan tuan rumah Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-14, 21-18 dalam tempoh 34 minit.
Dalam saingan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Korea Selatan yang juga pilihan keenam, Chang Ye Na-Kim Hye Rin selepas tewas 22-20, 19-21, 21-11 dalam tempoh satu jam 24 minit.