Badminton berpasukan Sukan Komanwel – Malaysia raih emas
Foto atas : Skuad negara raih pingat emas awal pagi tadi. -Foto utusan.com.my
Badminton berpasukan Sukan Komanwel – Malaysia raih emas kalahkan India
BIRMINGHAM – Pingat emas berjaya dicapai oleh skuad badminton berpasukan campuran Sukan Komanwel dalam keadaan dramatik, di National Exhibition Centre Hall Five yang hampir dipenuhi penonton malam tadi.
Namun, genggaman emas itu tidak semudah disangka, walaupun mata pertama diperoleh melalui gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan 21-18 dan 21-15, tetapi pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty memberi tentangan sengit bermula perlawanan.
Dalam perlawanan kedua, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pula layak mendapat pujian, walaupun ketinggalan 1-8 kepada bekas juara dunia Pusarla V. Sidhu, pemain profesional negara itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18, sebelum tewas 22-20.
Pada set kedua, Jin Wei terus memberikan persaingan sengit kepada Pusarla, sebelum tewas 17-21 dan membolehkan India menyamakan kedudukan 1-1.
Pemain perseorangan muda negara, Ng Tze Yong yang memenangi set pertama dengan mata 21-19, terpaksa melepaskan set kedua kepada bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth dengan mata 21-6.
Kekuatan mental memainkan peranan kepada Ng Tze Yong dengan memenangi set ketiga mengatasi lawannya dengan 21-16 dan memberi mata kedua untuk negara.
Membawa semangat kemenangan Tze Yong itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah memastikan emas dalam genggaman dengan mengatasi pasangan India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.
Setelah pasangan negara mencecah mata kemenangan 21-17, keseluruhan anggota pasukan dan pegawai menyerbu masuk ke gelanggang meraikan kemenangan. Malaysia mengatasi India 3-1.
Manakala, Sementara itu, gangsa dimenangi Singapura yang mengalahkan pasukan England 3-0, pada perlawanan semalam.-SAHIH.