Badan gabungan MKN diharap aktifkan kepelbagaian budaya
Foto atas : Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (duduk 3 dari kanan) di Mesyuarat Agung MKN di Kuantan, semalam.
Badan gabungan MKN diharap aktifkan kepelbagaian budaya
KUANTAN – Badan Gabungan dengan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang diharap dapat mengaktifkan badan masing-masing menganjurkan acara, perayaan dan aktiviti yang bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian budaya Pahang yang kaya, termasuk muzik tradisional, tarian, kraf dan masakan.
Pengerusi MKN, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berharap 15 badan gabungan berperanan dengan penganjuran di tempat masing-masing yang bakal memertabatkan kebudayaan dan kesenian negeri ini dan memperkasakan jati diri bangsa.
“MKN akan berusaha membantu semua badan gabungan untuk penganjuran dan menyokong penghibur dan artis tempatan, membantu memastikan tradisi budaya Pahang yng bakal diturunkan kepada generasi akan datang.
“Banyak aktiviti dianjurkan di negeri ini dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain melalui budaya dan seni negeri untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Mesyuarat Agung MKN Pahang yang diadakan di sini, semalam.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah MKN akan bekerjasama peringkat antarabangsa bersama Persatuan Wau dan Layang-Layang Negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan bagi Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa 2024 di Pantai Sepat,Kuantan pada 3 hingga 7 Julai 2024, sebanyak 15 negara menyertainya.
“Majlis Makan Makan MKN turut diadakan bersama peserta luar negara dan bakal dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian daripada badan gabungan MKN dan pameran serta bengkel warisan turut diadakan.
“Secara tidak langsung akan memperkenalkan budaya dan kraftangan negeri Pahang kepada peserta terlibat,” katanya.-SAHIH.