Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad berjaya menyantuni kakitangan UDA di Angsana Mall sempena hari kebangsaan
Foto atas : Merakam kenangan di hadapan Pejabat UDA, Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Angsana Mall, Ipoh, baru-baru ini.
Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad berjaya menyantuni kakitangan UDA di Angsana Mall sempena hari kebangsaan
Program Ride Amal Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (BADIM) sempena Hari Kebangsaan berjaya menyantuni kakitangan UDA di Angsana Mall dan rumah anak yatim serta miskin buat kali-3 di Ipoh, baru-baru ini.
Program konvoi bermotosikal dari Kuala Lumpur diketuai Yang Dipertua BADIM, Mohd Isa Ali adalah sebagai kunjungan badan itu kepada rakan setugas UDA di negeri berkenaan di samping memeriahkan sambutan kemerdekaan negara yang ke 66.
Timbalan Yang Dipertuanya, Azhar Yop, berkata sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pelbagai aktiviti kerja amal kebajikan, BADIM tidak abaikan untuk menyantuni rakan setugas.
Katanya, walaupun tidak duduk satu pejabat mereka sentiasa berhubung dalam menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawab selain berkongsi pengalaman untuk memacu nama UDA dalam pembangunan negara.
“Setiba di Angsana Mall itu konvoi berkenaan disambut oleh rakan setugas yang memberi peluang antara mereka beramah mesra supaya dapat mengenali dengan lebih rapat diikuti makan tengah hari bersama-sama.
“Kesempatan berkumpul ini, kami mengambil kesempatan menyampaikan tazkirah ringkas mengenai solat jamak dan qasar apabila bermusafir yang secara tidak langsung memberi panduan kepada 20 peserta konvoi,” katanya.
Azhar berkata, selepas itu konvoi berkunjung ke Rumah Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ar-Ridwani, di Manjoi, Ipoh bagi menyampaikan sumbangan barangan dapur serta menyerahkan zakat wakalah.
“Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan bebanan dan keperluan pusat serta pertubuhan berkenaan dalam memberi pelindungan di samping memelihara anak yatim terbabit dengan penuh keprihatinan.
“Langkah BADIM menyantuni anak yatim dan miskin ini bersesuaian dengan slogan ‘Berilmu, Berkebajikan dan Berlandaskan Islam’ dan diharapkan mampu menjadi contoh kepada pelbagai NGO lain untuk turun padang membantu mereka yang memerlukan pembelaan atau sokongan,” katanya. – SAHIH.