Backmedic bermotor bantu mangsa kemalangan secara percuma
Backmedic bermotor bantu mangsa kemalangan secara percuma
TEMERLOH: Keprihatinan terhadap mangsa kemalangan jalan raya mendorong seorang peguam, Mohd Kamal Mohamad Lasim, atau lebih dikenali sebagai Apak, menubuhkan pasukan Backmedic bermotor bagi memberi rawatan awal secara percuma sebelum ambulans tiba di lokasi kejadian.
Pasukan berkenaan yang dianggotai lima sukarelawan terlatih kini beroperasi di sekitar Temerloh, Mentakab, Lanchang dan Kuala Krau, sebagai antara pasukan awal yang tiba di lokasi kemalangan untuk memberi bantuan kecemasan.
Menurut Mohd Kamal, idea menubuhkan Backmedic timbul selepas melihat keperluan bantuan awal yang pantas di kawasan luar bandar, terutama di lokasi yang jauh dari hospital atau laluan utama ambulans.
“Kadang-kadang ambulans lambat sampai kerana faktor jarak atau trafik. Jadi kami bergerak dengan motosikal untuk beri pertolongan cemas sementara menunggu petugas hospital tiba,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Temerloh.

Beliau berkata, setiap ahli pasukan dilatih memberi bantuan awal seperti menghentikan pendarahan, menstabilkan mangsa, dan memantau tekanan darah serta nadi.
“Kami bukan doktor, tapi kami terlatih dalam rawatan asas. Bila ambulans sampai, kita serahkan terus pesakit untuk dibawa ke hospital. Semua dilakukan secara percuma atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Mohd Kamal berkata, Backmedic ditubuhkan bukan untuk menggantikan tugas pihak hospital, sebaliknya melengkapkan sistem tindak balas awal kecemasan di lapangan.
Sementara itu, Mohamad Firdaus Hassan Shah, 25, salah seorang anggota Backmedic, berkata mereka sentiasa bersiap siaga menerima panggilan kecemasan daripada orang awam atau pihak berkuasa.
“Kami bergerak dengan motosikal sebab ia lebih pantas. Kadang masa itu penting — beberapa minit boleh selamatkan nyawa,” katanya.

Tambahnya, mereka turut menerima panggilan bantuan bukan sahaja kes kemalangan jalan raya, tetapi juga kes kecemasan lain seperti pengsan dan serangan jantung di tempat awam.
“Kami bantu tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang. Semuanya atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Mohd Kamal berkata, pasukannya kini merancang menambah jumlah sukarelawan bagi memperluas liputan ke daerah lain di Pahang pada masa akan datang.-SAHIH