KUANTAN: Sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini dinaiki tiga sekeluarga musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 178.1, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat sini, lewat petang semalam.
Difahamkan kenderaan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu sedang menghala ke Terengganu dan dipercayai terbabas sebelum terbakar di lokasi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Samsul Effendi Sulaiman berkata, mangsa bersama isteri dan seorang anak berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu sebelum ia terbakar.
“Kemalangan ini dilaporkan jam 6.16 petang (semalam) membabitkan sebuah kenderaan jenis Lamborghini dan ketika kejadian, pemandu berusia 28 tahun, isteri dan seorang anak mereka sempat menyelamatkan diri.
GAMBAR IHSAN JBPM PAHANG
“Kenderaan itu dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbakar.
“Susulan daripada maklumat diterima, sembilan anggota dari BBP Maran bersama jentera dan ambulan EMRS ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Samsul Effendi berkata, pegawai dan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran kenderaan mewah itu, namun gagal berikutan api marak terlalu cepat menyaksikan kereta terbabit musnah sepenuhnya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA Jengka 24 meneruskan tradisi tahunan memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada warga peneroka FELDA berkenaan.
Tahun ini, sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak secara gotong-royong oleh ahli MBFM bersama penduduk.
KETUA PENEROKA FELDA JENGKA 24, RAZAK DAUD
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, memandangkan perkembangan semasa wabak COVID-19 masih ditahap membimbangkan, program gotong-royong itu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kita pastikan semua peserta mengenakan pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jumlah bubur lambuk disediakan tahun ini adalah sebanyak empat kawah dan boleh diedarkan kepada kira-kira 300 peneroka FELDA Jengka 24 sebagai juadah berbuka puasa,” katanya.
ANTARA PENDUDUK YANG BERGOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR LAMBUK
Razak berkata, kebiasaannya mereka menyediakan bubur lambuk hampir setiap hari, namun tahun ini hanya mengadakan program memasak bubur lambuk sebanyak dua kali sahaja berikutan situasi semasa COVID-19.
PENGERUSI MBFM JENGKA 24 NURUL NADIA AHMAD
Katanya, kerja menguruskan dan menyiapkan bahan untuk memasak bubur lambuk dilakukan ahli MBFM FELDA Jengka 24 yang diketuai Pengerusinya, Nurul Nadia Ahmad.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BONUS SEBULAN GAJI UNTUK KAKITANGAN YAYASAN PAHANG
KUANTAN: Pengerusi Yayasan Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Yayasan Pahang bagi meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pemberian sumbangan Aidilfitri itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan Yayasan Pahang yang terus membantu menguruskan anak syarikat kerajaan negeri itu dengan cemerlang.
“Bantuan atau bonus ini kita boleh berikan kepada kakitangan Yayasan Pahang kerana pengurusan kewangan dijalankan dengan baik dan prestasi kewangan kerajaan negeri juga diuruskan dengan berhemah.
“Kalau kita tengok kepada peningkatan pendapatan dicatatkan Yayasan Pahang, tahun lalu kita memperoleh pendapatan RM169 juta dan jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi RM40 juta berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang; Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Cawangan Pahang
.
Turut menerima sumbangan daripada Kerajaan negeri pada majlis itu ialah Pasukan Bahas Guru Pahang yang memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
Sementara itu, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada anak jati Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang layak melanjutkan pengajian ke Kolej Harvard di Amerika Syarikat bulan Ogos ini.
Sumbangan itu diterima ibu Mohammad Hamdi, Rozita Abdul Hamid.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CADANGAN KOMPAUN SEKOLAH ABAI SOP HINGGA CETUS KLUSTER BELUM MUKTAMAD
KUANTAN: Keputusan mengeluarkan kompaun kepada pihak sekolah yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) hingga mencetuskan kluster baharu COVID-19 masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan bagi pertimbangan dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
“Kalau boleh kita (pihak polis) cuba elak daripada mengeluarkan kompaun, tapi kalau kesalahan itu berlaku depan mata, tindakan perlu juga diambil.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Dengan keadaan (ekonomi) ketika ini, kita faham jika (kompaun) dikeluarkan, susah juga untuk bayar… jadi kalau boleh elak (keluarkan kompaun), kita elak.
“Jika semua pihak, terutamanya ibu bapa boleh faham dan patuh dengan SOP ditetapkan, kita boleh pastikan perkara ini (kluster baharu COVID-19 di sekolah) tidak berlaku di Pahang,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri di sini, hari ini.
Mesyuarat siri pertama bagi tahun 2021 disertai Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan pegawai kanan dari PDRM dan JPN Pahang.
Sementara itu, mengulas mengenai isu sama, Mohammad Rosli menegaskan bahawa semua pengetua dan guru besar di Pahang perlu mengikuti surat pekeliling dikeluarkan JPN mengenai garis panduan dan pengendalian sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Arahan itu sudah jelas dan kita bukan sahaja mengharapkan kerjasama pihak sekolah, tapi paling penting ialah ibu bapa kepada murid atau pelajar itu sendiri.
“Kalau anak demam atau ada gejala seperti batuk atau demam atau selesema, tidak perlu hantar ke sekolah… jangan bergantung sangat dengan bacaan pada pengimbas suhu kerana ia bukanlah tepat.
*Kita tidak mahu tercetus kluster atau masalah lain… bukan sahaja COVID-19, penyakit lain pun mudah merebak jika kita biarkan anak yang tidak sihat datang ke sekolah,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak JPN Pahang tidak akan menyembunyikan sebarang kes COVID-19 yang berlaku di sekolah di negeri ini dan sentiasa berkongsi maklumat mengenai perkara itu dengan Pejabat Kesihatan Daerah.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Dalam pada itu, Abd Jalil memaklumkan hasil mesyuarat pertama hari ini antara lain dapat mencari jalan penyelesaian bagi isu pelajar sekolah tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
“Kita bersetuju untuk membantu memudahkan proses pemberian lesen memandu (motosikal) kepada pelajar dan perkara ini kita akan minta kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melihat kaedah (bersesuaian) untuk proses membuat lesen ini,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Sebanyak 61 projek yang dirancang bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di daerah ini tidak dilaksanakan sehingga tahun lalu.
Jumlah ini sangat mengecewakan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berharap semua projek itu dapat diteruskan bagi tempoh Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-Empat yang sedang berjalan ketika ini.
“Saya difahamkan antara punca projek ini tidak diteruskan atau tidak dilaksanakan ialah akibat struktur politik negara ketika itu dan juga selepas kajian susulan dilakukan pihak PLANMalaysia.
“Antara (projek) terlewat dilaksanakan ialah Hospital Maran, namun kerja tanah di tapak hospital itu sudah dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta.
“Begitu juga dengan beberapa projek lain yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan, kita ada kira-kira 20 projek kemudahan rakyat sedang dalam perancangan dan ada yang sudah mula dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Townhall Perancangan Pembangunan Daerah Maran dan Program Malaysia Prihatin di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr Shamsaini Shamsuddin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Maran, Sharuddin Jali.
Mengulas lanjut mengenai antara tumpuan utama untuk memastikan pembangunan di daerah Maran berjalan serentak dengan daerah lain, beliau yang juga ahli Parlimen Maran berkata, aspek penyediaan fasiliti fizikal seperti kawasan perniagaan baharu, kawasan perindustrian dan akses terhadap pendidikan yang lebih baik, perlu diberi keutamaan.
“Kita kena bersedia memandangkan dalam lima atau enam tahun lagi, projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan siap (fasa pertama) dan secara tidak langsung turut memberi tempias ekonomi kepada penduduk di Maran.
“Jadi, kita perlu mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk kawasan perniagaan baharu, sektor perindustrian dan juga kemudahan pendidikan seperti kolej komuniti.
“Saya juga berpandangan bahawa dalam masa dua atau tiga tahun lagi, kita (Maran) dapat memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh dinaik taraf sebagai sebuah Majlis Perbandaran dan ini juga boleh memberi nilai tambah kepada penduduk dalam meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Maran dalam Zon Pembangunan Tengah dan dikenal pasti sebagai Pusat Daerah Sekunder Pahang membuka ruang kepada daerah ini menjadi hab pelancongan, perindustrian dan pendidikan, sekali gus membentuk daerah Maran ke arah bandar pintar secara berperingkat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Nasib kurang baik keluarga peneroka di FELDA Jengka 1 yang kediamannya terbabit dalam kejadian kebakaran petang Rabu lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Antara yang terawal tampil menghulurkan bantuan ialah Gabungan Masjid-masjid FELDA Wilayah Jengka dan pihak pengurusan FELDA wilayah berkenaan.
Sumbangan di sampaikan oleh Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud bersama Bendahari Hj Ali b. Malik.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Pengurus FELDA Wilayah Jengka, Ahmad Ismadi Ibrahim; Penolong Pengarah (Unit Komuniti) FELDA Wilayah Jengka, Mohd Nor Hafiz Ab Rahman dan Penyelaras Agama FELDA Wilayah Jengka, Faizal Marjani.
Untuk sementara waktu, keluarga berkenaan ditempatkan di bilik gerakan FELDA Jengka 1.
Dalam kejadian lewat petang Rabu lalu, sebuah kediaman milik peneroka FELDA Jengka 1, dekat sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran.
Walaupun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, namun keluarga terbabit kehilangan banyak harta benda dan dokumen penting yang lain.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghulurkan bantuan awal dalam bentuk barangan keperluan asas, kepada keluarga malang itu.
Kita menjangkan mungkin ramai lagi yg akan tampil utk membuat sumbangan seperti harapan kita- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Pengarah Jabatan Perkhidmantan Veterinar Pahang, Dr Kamaliah Ghazali meminta pengusaha sarang burung walit mempercepatkan proses pendaftaran bagi membolehkan hasil pengeluaran mereka mempunyai daya jejak untuk meningkatkan kualiti keselamatan makanan dan kepercayaan produk dihasilkan.
Beliau berkata, sehingga tahun lalu hanya 1,647 pengusaha mendaftarkan premis sarang burung walit diusahakan mereka dengan Jabatan Veterinar negeri.
“Bagi pengusaha yang belum mendaftar, segeralah berbuat demikian kerana ia (proses pendaftaran) adalah percuma.
“Produk dihasilkan sarang burung ini adalah termasuk dalam kategori makanan, jadi amat penting untuk produk itu mempunyai daya jejak untuk memastikan tahap keselamatan produk dapat dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus peningkatan produktiviti dan pemantapan Good Animal Husbandry Practices (GAHP) di Dewan Besar Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Kursus dianjurkan Pejabat Veterinar Daerah Jerantut dengan kerjasama Persatuan Pedagang Sarang Burung Negeri Pahang itu menarik penyertaan 200 pengusaha sarang burung walit di negeri ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Industri Penternakan, Dr Hamdan Muhamed Hadi; pegawai perkhidmatan veterinar Pejabat Veterinar Daerah Jerantut, Syarifah Faizah Syed Saidin dan pegawai veterinary seksyen pensijilan veterina, bahagian regulatori DVS Malaysia , Dr Zurina Ramli.
Kamaliah turut berkata, harga jualan sarang burung walit merosot sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada masalah kegagalan menjejaki produk hingga mengakibatkan krisis keyakinan pengguna terhadap produk dihasilkan sarang burung walit.
“Kita perlu mendapatkan keyakinan daripada negara pengimport dan jika kita tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap produk dihasilkan, ia akan memdatangkan masalah.
“Jika produk kita mempunyai pensijilan myGAP sebagai contoh, ia membuka ruang lebih mudah untuk memperoleh satu lagi sijil iaitu Veterinary Health Mark (VHM) yang akan meningkatkan keyakinan pengguna dan pengimport,” katanya.
Katanya, sijil VHM adalah wajib dimiliki sebelum dibenarkan mengeksport produk sarang burung walit siap diproses, dan bahan mentah dari rumah burung walit yang ada pensijilan myGAP adalah kriteria untuk melayakkan pengusaha mendapat lesen VHM.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Sarang Burung negeri, Datuk Ko Ah Kuan berkata, keselamatan dari segi pemakanan adalah penting dan status sarang burung walit sebagai produk bertaraf antarabangsa memerlukan skala pengawalan kualiti yang ketat.
“Kursus ini mendapat sambutan begitu menggalakkan, peserta boleh mendapat infomasi yang lengkap menjadi seorang pengusaha yang bertanggungjawab dan mempunyai kebolehan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Sebuah kediaman milik peneroka FELDA Jengka 1, dekat sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran lewat petang tadi.
Walaupun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, namun keluarga terbabit kehilangan banyak harta benda dan dokumen penting yang lain.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya dan juga jiran sudah menghulurkan bantuan awal dalam bentuk barangan keperluan asas, kepada keluarga malang itu.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
“Insiden ini adalah kejadian luar jangka dan kita harap warga peneroka yang lain dapat bersama menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.
“Selain bantuan barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai, kita juga berharap warga peneroka dari 37 FELDA dalam Wilayah Jengka dapat bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa,” katanya.
Beliau memberi contoh mengenai insiden kebakaran rumah peneroka FELDA Jengka 8, sebelum ini yang menyaksikan hasil kesatuan hati warga peneroka, sumbangan diterima sangat membanggakan dan mencukupi untuk membina kediaman baharu kepada mangsa.
“Kalau boleh kita ambil semangat berkongsi rezeki dalam kalangan peneroka ketika memberikan bantuan kepada mangsa (kebakaran) di FELDA Jengka 8 dan diteruskan pula untuk membantu mangsa kebakaran di (FELDA) Jengka 1, petang tadi, ” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak pengurusan FELDA Jengka 24 telah melancarkan tabung derma kebakaran dan hasil kutipan akan diserahkan kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang pengamal perubatan tradisional ditemui mati dengan kesan tembakan pada bahagian kepala di rumah sewanya dekat perkampungan Bukit Rangin Perdana 2, di sini, malam tadi.
Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota tiba di lokasi kejadian untuk tujuan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pemeriksaan awal dilakukan pihaknya mendapati mangsa berada berseorangan di rumah berkenaan dan terdapat kesan darah yang sudah kering di beberapa bahagian rumah itu.
“Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Abdul Rahim Nasri berusia 31 tahun dan bekerja sebagai bomoh atau pengamal perubatan tradisional sejak lebih setahun lalu.
“Siasatan kami mendapati tempat kejadian (rumah sewa) itu digunakan sebagai lokasi mangsa menjalankan rawatan dan disewa oleh ibu mangsa.
“Mangsa sudah berkahwin dan baru menimang cahayamata dan kami difahamkan ketika kejadian, isteri dan anak mangsa berada di kediaman ibu bapa mentuanya di tempat lain kerana masih dalam tempoh berpantang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, petang tadi.
Mohamad Noor turut berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan mangsa ditembak oleh suspek yang mempunyai dendam dan marah terhadap mangsa.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden itu dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan lebih teliti bagi mengetahui motif sebenar kejadian.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita meminta saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu kami melengkapkan siasatan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengarahkan peguam menghantar surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang bertindak keluar parti baru-baru ini.
Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung berkata, PKR melalui surat itu menuntut sebanyak RM10 juta daripada bekas naib presiden terbabit kerana tindakannya berpaling tadah dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jumlah tuntutan pampasan ini adalah yang telah dipersetujui mereka kerana berpaling daripada parti, termasuk menyalahgunakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki untuk kepentingan peribadi.
“Surat tuntutan itu akan dihantar kepada Xavier pada esok (Isnin) dan kami tidak ada dua darjat atau double standard.
“Sesiapa yang telah membuat keputusan meninggalkan parti, mereka kena terima akibatnya dan perlu membayar RM10 juta kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan 2020 Cabang PKR Indera Mahkota di sini, hari ini.
Mesyuarat dirasmikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik.
Pada 13 Mac lalu, Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli mengumumkan perletakan jawatan serta-merta sebagai Naib Presiden PKR serta menyokong blok kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin
Chean Chung berkata, surat tuntutan itu perlu dijawab oleh Dr Xavier dalam tempoh tujuh hari.
Ditanya mengenai perkembangan terkini saman RM10juta terhadap Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, beliau berkata, kedua-kedua pihak sedang dalam proses membalas afidavit berhubung permohonan membatalkan saman terbabit.
“Kes saman ini kita akan lakukan satu persatu dengan memulakan kes Zuraida terlebih dahulu.
“Selepas kes ini selesai, baru kita ikuti dengan kes saman pemimpin yang telah kita serahkan surat tuntutan sebelum ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!