BARISAN KEPIMPINAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA MUKA BARU
JERANTUT : Mesyuarat Agung Gabungan Masjid Wilayah Jengka yang berlangsung semalam menyaksikan Pengerusinya, Razak Daud kekal memegang jawatan itu bagi sesi 2021/2023.
Mesyuarat di rasmikan oleh Kadi Jengka ,Nik ibrahim Nik Abdullah merupakan penaung kepada gabungan Masjid Wilayah Jengka.
Turut hadir pada mesyuarat itu Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Mohd Tarmizi Lee.
Razak ketika dihubungi berkata, proses pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) gabungan itu dilakukan secara sepakat dan mendapat sokongan penuh semua ahli.
RAZAK DAUD
“Untuk jawatan Pengerusi, saya mengucapkan terima kasih kepada semua AJK kerana terus memberi kepercayaan kepada saya dan saya harap semua ahli gabungan dapat terus memberikan kerjasama dalam menjayakan program dirancang selepas ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka sangat berpuas hati dengan kejayaan dicapai gabungan masjid berkenaan yang sentiasa mencari jalan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi warga peneroka FELDA.
Sokongan daripada Pengarah Felda dan Pejabat Qadhi sangat membantu melancarkan program yg diaturkan oleh gabungan masjid wilayah jengka.- SAHIH
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KBS Tidak Pernah Lindungi Salah Laku Babitkan Pengurusan Atlit
KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah melindungi salah laku mana-mana pihak, terutamanya membabitkan pengurusan atlit negara.
Malahan, pihak Kementerian juga mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak jurulatih yang terbabit dengan salah laku sebaik sahaja laporan polis dibuat terhadap mereka.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika ditanya mengenai pendedahan atlit terjun negara, Datuk Pandalela Rinong mengenai salah laku bekas jurulatih sukan berkenaan.
“Kita (KBS) memang tidak pernah melindungi atau cuba melindungi sebarang salah laku yang didakwa sekiranya ia membabitkan keselamatan dan maruah atlit negara.
“Mengenai dakwaan Datuk Pandalela Rinong, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengambil tindakan sebaik sahaja menerima laporan rasmi dengan tidak menyambung kontrak mereka sebaik sahaja tamat,” katanya.
Semalam, atlit terjun kelahiran Sarawak itu mendedahkan pernah mempunyai pengalaman dengan jurulatihnya yang gemar membuat lawak lucah.
“Dulu saya ada seorang ‘coach’ ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol,” luahnya menerusi ciapan di laman sosial Twitter.
Menerusi ‘tandapagar’ #rapejokeisnotfunny, beliau menyambung perkongsiannya itu selang beberapa minit menerusi ciapan balas: “Tapi paling sedih dalam 7 tahun tu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab ‘backup’ besar dia adalah ‘head coach’ kami sendiri.”
Bagaimanapun, beliau dengan segera menulis ciapan balas menyatakan beliau dan rakan-rakannya bernasib baik kerana dilindungi oleh persatuan sukan mereka.
Situasi ini telah berakhir, katanya.
Sementara itu, Lian Ker memaklumkan, KBS sudah menubuhkan jawatankuasa khas mengenai salah laku pada tahun lalu bagi memberi ruang kepada semua atlit menyalurkan maklumat mengenai salah laku atau apa sahaja yang membabitkan masalah sepanjang menjalani latihan.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana salah laku dan KBS memandang serius jika ada laporan dibuat.
“Setakat ini tidak ada isu lain timbul dan jika ada, kita galakkan mereka menyalurkan maklumat dan kita memberi jaminan akan melindungi pemberi maklumat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Seramai 136 penagih dadah dicekup hasil operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di sekitar daerah Rompin sejak Isnin lalu.
Operasi selama 72 jam dinamakan Op Tapis dan Op Indera itu tertumpu di kawasan FELDA dalam daerah Rompin yang dipercayai masih menjadi ‘port’ dadah dalam kalangan remaja dan generasi kedua FELDA.
Ketua JSJN Pahang, Superintendan Mohd Azam Ab Razak berkata, dalam operasi itu juga pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah dipercayai digunakan penagih di kawasan berkenaan.
“Bagi operasi kali ini, kita mensasarkan lima ‘port’ dadah yang diserbu serentak dengan kerjasama polis daerah Rompin.
“Seramai 136 penagih berusia antara 16 hingga 60 tahun berjaya kita tahan atas pelbagai kesalahan dan kita juga berjaya merampas 1,410 gram dadah jenis heroin dan 66.05 gram dadah jenis syabu.
Ketua JSJN Pahang, Superintendan Mohd Azam Ab Razak
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan melalui operasi terbabit dianggarkan RM105,200,” katanya melalui satu kenyataan media di sini hari ini.
Mohd Azam turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan mereka bagi membantu polis membanteras kegiatan tidak bermoral itu.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 09-50519999 atau 09-50512202 atau hotline JSJN Pahang di talian 012-2087222.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANGSA KEBAKARAN TERIMA SUMBANGAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
TEMERLOH: Seorang peneroka yang rumahnya terbabit dalam kejadian kebakaran 2 Oktober lalu, menerima sumbangan dari Gabungan Masjid Wilayah Jengka hari ini.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka merangkap Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud kepada pemilik kediaman itu, Shuib Abd Rahman.
Razak berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan dilancarkan Gabungan Masjid Wilayah Jengka selepas menerima maklumat mengenai kejadian di FELDA Sungai Nerek, dekat sini.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka merangkap Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud
“Kita dimaklumkan kebakaran berkenaan mengakibatkan 90 peratus kediaman Shuib musnah dan banyak barangan berharga gagal diselamatkan.
“Jadi, atas dasar prihatin dan peduli, kita lancarkan kutipan dan hari ini semua kutipan sumbangan disampaikan kepada mangsa,” katanya.
Turut hadir Penolong Pengarah (Bahagian Pembangunan Komuniti) FELDA Wilayah Jengka, Mohd Nor Hafiz; Penyelaras Ugama Wilayah Jengka Faizal Marjani dan Pengurus FELDA Sungai Nerek, Mohd Radzi Shuib.
Razak berkata, punca kebakaran masih disiasat pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan berdasarkan maklumat daripada Shuib, kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas.
“Buat masa ini jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak berkenaan.
“Kita juga dimaklumkan Shuib kini menumpang di rumah anaknya di Kampung Chenor, dekat Temerloh,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 156057641554 atas nama Shuib Abd Rahman.- SAHIH .
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Calon PAS Lawan Wan Rosdy Untuk Kerusi DUN Jelai Dalam PRU-15
KUANTAN – Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) Cameron Highlands hujung minggu lalu membuat keputusan mengejutkan apabila mencadangkan calon daripada PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang kini disandang Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Mohamed Ali ketika dihubungi berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat yang dihadiri wakil PAS Cameron Highlands, Abdul Karim Nor dan wakil GERAKAN Cameron Highlands, Lai Chii Wen.
“Dengan keputusan mesyuarat kali ketiga PN Cameron Highlands yang berlangsung Sabtu lalu, kami mengumumkan sedia meletakkan calon di peringkat Parlimen dan DUN dalam kawasan Cameron Highlands pada pilihan raya umum akan datang.
“Bagi kerusi DUN Jelai, nama Abdul Karim yang pernah menjadi calon di kerusi sama pada PRU-14, sekali lagi dicadangkan bagi PRU-15.
“Untuk kerusi Parlimen pula, saya akan mewakili PN Cameron Highlands, manakala bagi kerusi DUN Tanah Rata, wakil GERAKAN yang juga komponen PN kawasan, Chii Wen akan dicalonkan,” katanya.
Pada PRU-14, Abdul Karim mewakili PAS menerima 2,351 undi, tewas kepada Wan Rosdy yang memperoleh 5,858 undi dengan jumlah majoriti 3,507 undi.
Dua lagi calon yang turut bertanding di DUN Jelai pada PRU-14 ialah Abdul Rasid mewakili Pakatan Harapan (PH) ketika itu, mendapat 1,298 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia, Mat Nor Ayat hilang deposit selepas hanya mendapat 229 undi.
Abdul Rasid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Cameron Highlands berkata, ketetapan dibuat dalam mesyuarat PN Cameron Highlands sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan BERSATU dan terpulang kepada kebijaksanaan pimpina untuk membuat keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.
“Kita di pihak PN Bahagian Cameron Highlands sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan bertolak ansur dalam hal pembahagian kerusi ini.
“Keputusan kami adalah selaras dengan pendirian semua wakil dari BERSATU, PAS dan GERAKAN yang hadir dalam mesyuarat berkenaan… kerusi Parlimen ditandingi calon BERSATU, (DUN) Jelai oleh PAS dan GERAKAN bertanding di Tanah Rata,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU-15, Abdul Rasid berkata, perkara itu mungkin tidak dapat dielakkan jika semua parti memilih untuk meletakkan calon mereka.
“Mungkin hanya dua penjuru jika PN dan Barisan Nasional (BN) sedia bergabung dan melawan calon PH… mungkin juga tiga (penjuru) kalau PN dan BN letakkan calon masing-masing untuk bertanding melawan PH.
“Kalau ikutkan kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘No BERSATU’… tapi kita (PN) masih terbuka (untuk berbincang) bagi mengelakkan berlaku pertembungan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEBENARAN RENTAS NEGERI BANTU RANCAK EKONOMI SETEMPAT
JERANTUT: Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri adalah bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi setempat.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi juga bukanlah keputusan tergesa-gesa, tetapi diambil selepas lebih 90 peratus golongan dewasa di negara ini sudah lengkap menerima vaksin masing-masing.
RAZAK DAUD/KETUA PENEROKA JENGKA 24
“Saya percaya pengumuman itu disambut baik semua pihak, terutamanya golongan perantau yang sudah lama menunggu peluang untuk kembali berjumpa ibu bapa mereka.
“Kita harap kelonggaran ini digunakan sebaik mungkin dan tidak membuatkan kita lalai hingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berpendapat, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri ini juga dapat membantu merancakkan kembali sektor ekonomi setempat, terutamanya sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak tahun lalu.
Katanya, pematuhan SOP ketat perlu dilakukan semua pihak supaya tidak berlaku penularan COVID-19 susulan kelonggaran diberikan kerajaan.
“Kita perlu bersedia untuk hidup dalam norma baharu, hidup bersama COVID-19 kerana negara kita sedang menuju ke fasa endemik dan paling penting ialah kita terus kekal mematuhi SOP di mana sahaja kita berada selepas ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Keputusan kerajaan Pahang meluluskan lot tanah untuk pembinaan rumah kepada generasi kedua FELDA di negeri ini adalah bukti keprihatinan barisan EXCO dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, melalui kelulusan itu juga, masalah membabitkan perumahan generasi kedua FELDA dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Sebagai seorang peneroka yang sudah lama bersama FELDA, saya sangat terhutang budi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Nazri Ngah atas usaha beliau membawa isu perumahan generasi kedua FELDA hingga mendapat perhatian Datuk Seri Menteri Besar.
Razak Daud /Ketua Peneroka Jengka 24
“Saya fikir inilah penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan kerajaan Pahang untuk mengatasi isu perumahan generasi kedua FELDA yang sudah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berkata, pengagihan lot tanah ini akan dilakukan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada semua generasi kedua merancang untuk membina kediaman mereka.
“Untuk peneroka di FELDA Jengka 24, kita sudah kenal pasti lot kosong yang boleh diagihkan kepada generasi kedua.
“Kita jangka kira-kira 300 anak muda di FELDA Jengka 24 bakal menerima manfaat ini dan impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akan menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan Pahang bukan sahaja memberi kemudahan kepada generasi kedua di FELDA Jengka 24, tapi bakal dinikmati semua generasi kedua FELDA di seluruh Pahang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penolong Pegawai Tanah Didakwa Terima Suapan Ahli Perniagaan
KUANTAN: Seorang penolong pegawai tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini, atas enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan.
Tertuduh, Mohd Faris Romle, 36 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 Februari hingga 17 September tahun lalu, di sebuah bank dekat bandar Bentong.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima antara RM100 hingga RM400 melalui pemindahan wang atas talian dilakukan ahli perniagaan terbabit bagi tujuan membabitkan tugasan tertuduh sebagai penjawat awam di Unit Penguatkuasaan, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.
Jumlah keseluruhan transaksi pindahan wang atas talian diterima tertuduh ialah RM1,400.
Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Zainal Abiddin di hadapan Majistret Nurul Farahah Md Suah.
Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.
Tertuduh dalam rayuannya meminta agar mahkamah mempertimbangkan jumlah ikat jamin ditawarkan pihak pendakwaan memandangkan dia hanya memperoleh gaji bersih RM1,500 sebulan, selain menanggung isteri dan dua anak.
Mahkamah kemudiannya memutuskan jumlah ikat jamin RM5,000 seperti dimohon Timbalan Pendakwa Raya dan menetapkan 1 November ini bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam oleh tertuduh.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rugi lebih RM50,000 buat kerja sebagai orang tengah
KUANTAN: Seorang penyelia lombong mendakwa rugi RM55,700 selepas ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’ sejak 22 Ogos lalu.
Mangsa berusia 38 tahun itu hanya menyedari menjadi mangsa selepas komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga menggunakan aplikasi berkenaan tidak diterima mengikut jadual pembayaran ditetapkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek melalui media sosial Facebook sejak April lalu, sebelum suspek mula menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan sebagai pendapatan tambahan.
“Suspek bernama ‘Ting Su Li’ menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan dua nombor berbeza dan meminta mangsa memuatnaik aplikasi ‘Nice Jobs’ untuk memulakan kerja sambilan itu.
Gambar hiasan
“Sebagai orang tengah, mangsa perlu membayar terlebih dahulu barangan dipesan pelanggan melalui aplikasi berkenaan dan selepas barangan diterima pelanggan serta pembayaran dibuat, mangsa akan memperoleh komisen antara 10 hingga 15 peratus daripada harga barangan itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Mohd Wazir berkata, mangsa membuat tiga kali pemindahan wang ke tiga akaun berbeza diberikan suspek antara 22 Ogos hingga 2 September lalu, bagi tujuan pembelian barangan dipesan pelanggan melalui ‘Nice Jobs’.
Katanya, jumlah keseluruhan pemindahan wang dilakukan mangsa ialah RM55,700 dan sehingga semalam, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga berkenaan.
“Aplikasi ‘Nice Jobs’ menggunakan kata laluan diberikan suspek kepada mangsa juga sudah tidak boleh diakses dan mangsa yang merasa ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Mohd Wazir berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan sudah meminta kerjasama pihak bank bagi mengenal pasti pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kes itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warga emas bakar bengkel diarah jalani ujian mental
KUANTAN: Warga emas yang didakwa melakukan perbuatan jahat mmenggunakan api di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, diarahkan menjalani pemeriksaan mental.
Tertuduh, Yip Chee Hong, 61, didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong 7 Industri Padang Lalang, dekat Kuantan, kira-kira jam 5 pagi, 11 September lalu.
Sebanyak sembilan lot bangunan kedai musnah dalam kebakaran terbabit.
Chee Hong yang menetap di Bukit Sekilau, di sini, mengangguk faham selepas semua tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Haizan manakala tertuduh diwakili peguambela, Zaharman Zainal Abidin.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum kes dibicarakan, namun tertuduh diwakili Zaharman memohon mahkamah mengizinkan tiada sebarang pemeriksaan mental dilakukan di mana-mana pusat pemeriksaan dicadangkan.
Zaharman dalam hujahannya berkata, anak guamnya itu boleh berkomunikasi dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika diminta jurubahasa mahkamah.
Tambahan pula, tertuduh sudah lewat usia ketika kejadian berlaku dan mengalami masalah kesihatan termasuk demam ketika dalam tahanan reman.
Walau bagaimanapun, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah, terlebih dahulu sebelum kes diteruskan.
Mohammed Mokhzani menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!