JERANTUT – Program Lepak Santai bersama pelajar SPM anjuran Puteri UMNO Bahagian Jerantut diadakan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakan.
Program tahunan itu adalah bagi meraikan pelajar di sekitar FELDA Jengka 24 yang menduduki peperiksaan SPM.
Selain bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa dan mendengar suara hati pelajar, program itu juga bertujuan merapatkan hubungan antara ahli Puteri UMNO Bahagian Jerantut bersama golongan muda.
Program santai itu dihadiri AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Razaira Abd Rasid.
Turut serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Izzat Illzam Rosidi. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sirih Junjung iring Malam Inspirasi FELDA Wilayah Jengka
JERANTUT – Malam Inspirasi Sirih Junjung anjuran Gabungan Gerakan Peneroka Wanita (GPW) Wilayah Jengka berlangsung baru-baru ini.
Majlis itu diadakan bagi meraikan Pengerusi-pengerusi GPW dan pembantu pembangunan masyarakat (SDA) yang bertugas dalam FELDA Wilayah Jengka.
Mengangkat tema ‘pertunangan’ untuk majlis berkenaan, ia adalah bersesuaian dengan semangat kerjasama antara komuniti dalam kawasan wilayah itu.
Pengerusi Biro Sosial dan komunikasi FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, penggunaan sirih junjung bagi majlis berkenaan menggambarkan kekuatan, sikap baik hati dan berprinsip.
“Ia juga menunjukkan sikap suci hati dalam kalangan warga peneroka di Wilayah Jengka yang terbukti memiliki semangat cekal dan tabah,” katanya.
Turut diraikan pada majlis itu adalah Pengarah Jabatan Komuniti dan Generasi FELDA, Helmi Fakhzan dan Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Termizi Lee yang baru menerima anugerah Doktor Falsafah dari universiti tempatan, baru-baru ini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peneroka FELDA harap subsidi diesel khas diteruskan
JERANTUT – Sejak penyelarasan semula harga runcit diesel pada Jun lalu, pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi mengurangkan kesan terhadap peneroka FELDA seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan subsidi khusus untuk FELDA berjumlah RM100 juta pada Julai lalu sebagai menangani kesan pelarasan semula harga runcit diesel.
Bagaimanapun, Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud memaklumkan, jumlah RM100 juta itu adalah bagi kegunaan peneroka untuk tahun ini.
“Untuk tahun depan, kita belum pasti sama ada subsidi tambahan itu dikekalkan untuk warga peneroka FELDA atau tidak.
“Kalau dikekalkan, saya minta agar Kerajaan Perpaduan dapat menilai semula jumlah diberikan itu… kalau tahun ini jumlahnya RM100 juta, mungkin boleh pertimbangkan untuk tambah kepada RM150 juta atau RM200 juta.
“Perkara ini penting kerana warga peneroka menggunakan jumlah diesel yang banyak untuk operasi di ladang sawit diusahakan mereka,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama berharap Kerajaan Perpaduan dapat mengumumkan segera status subsidi diesel tambahan untuk FELDA memandangkan tahun 2024 hanya berbaki kurang tiga minggu lagi.
Katanya, pengumuman dan pemakluman awal berkaitan subsidi tambahan itu sangat ditunggu warga peneroka bagi memudahkan mereka membuat perancangan operasi ladang mereka, tahun depan.
“Memang kita harap subsidi tambahan itu diteruskan tahun depan dan kita masih menunggu berita mengenai perkara itu.
“Saya percaya kerajaan akan mendengar keperluan rakyat dan warga peneroka memandangkan hasil komoditi sawit masih kekal sebagai antara penyumbang utama eksport negara,” ujarnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh, semalam adalah tepat pada masa.
Idea menubuhkan Sekolah Politik UMNO itu juga dilihat sebagai persiapan awal parti berdepan cabaran pada PRU16.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, melalui Sekolah Politik UMNO itu dapat membentuk calon yang bersedia untuk membawa cabaran parti apabila PRU diadakan.
“Itulah yang sebaiknya, siapkan awal-awal calon UMNO-BN supaya mereka dapat turun ke bawah berjumpa dengan pengundi.
“Sekaligus dapat membina hubungan baik dari awal dengan masyarakat setempat yang akan memberi kelebihan kepada calon dan parti,” katanya.
Dia juga yakin dengan kemampuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dipilih sebagai ‘pengetua’ bagi Sekolah Politik itu.
Katanya, kebijaksanaan Wan Rosdy ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pahang sudah terbukti dan bakal memberi kelebihan kepada bakal calon yang menyertai Sekolah Politik berkenaan.
“Sebagai pemimpin nombor satu Pahang dan Naib Presiden UMNO, saya percaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sudah menilai kemampuan Datuk Seri Wan Rosdy sebelum dipilih sebagai ‘pengetua’.
“Saya percaya Datuk Seri Wan Rosdy akan menggunakan segala kemahiran yang ada untuk menjayakan pembentukan Sekolah Politik UMNO,” jelasnya.
Razak juga berharap setiap pemimpin pelapis dapat memberi kerjasama rapat kepada Wan Rosdy bagi memastikan perjalanan Sekolah Politik itu kelak dapat memenuhi hasrat Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan semasa di beberapa sekolah rendah sekitar FELDA Wilayah Jengka.
Antara isu paling merisaukan ketika ini adalah kekurangan murid berikutan makin ramai generasi kedua FELDA memilih untuk berhijrah bagi mencari peluang pekerjaan lebih baik.
“Ada beberapa isu membabitkan kekurangan murid berlaku dan perkara seperti ini wajar dicari jalan penyelesaian.
“Ini kerana kebanyakan sekolah rendah dalam kawasan FELDA adalah anak-anak kepada generasi kedua tanah rancangan, manakala generasi ketiga pula sudah ramai berhijrah,” katanya.
Razak memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan masalah hak milik tanah dan isu kawasan untuk membina kediaman sendiri yang terhad.
Katanya, satu inisiatif boleh diambil pihak FELDA dengan menawarkan tanah untuk dijadikan tapak rumah supaya anak peneroka dari generasi ketiga akan kekal dalam kawasan tanah rancangan.
“Kalau isu ini boleh diselesaikan, saya percaya jumlah penduduk dalam kawasan FELDA akan bertambah.
“Ramai yang mahu kekal dalam kawasan tanah rancangan, namun mereka tidak ada tempat (tanah) untuk dijadikan kediaman..
“Saya bimbang jumlah murid sekolah akan terus merosot pada tahun mendatang jika perkara ini tidak ditangani dengan cermat oleh pihak berkaitan,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kontinjen FELDA Jengka 14 juara perarakan Maulidur Rasul
JERANTUT – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat FELDA Wilayah Jengka yang berlangsung hari ini mencatatkan sejarah tersendiri.
Sebanyak 38 kontinjen mewakili tanah rancangan FELDA dalam pentadbiran Wilayah Jengka mengambil bahagian dalam sambutan yang diadakan di FELDA Jengka 6.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud selaku Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka mengakui teruja dengan kerjasama dan semangat ditunjukkan setiap kontinjen yang mengambil bahagian.
“Ini adalah acara tahunan bagi kami di peringkat FELDA Wilayah Jengka.
“Tujuan utama adalah untuk merapatkan hubungan antara warga peneroka serta generasi muda yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kami Anak FELDA (KAF),” katanya.
Perarakan itu bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat, bahkan mendapat tumpuan daripada pengunjung ke kawasan tanah rancangan berkenaan.
Dalam perarakan yang dimulakan sekitar jam 7.30 pagi itu, kontinjen dari FELDA Jengka 14 menerima penghargaan apabila dipilih sebagai johan keseluruhan.
Pasukan itu menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
Kontinjen dari FELDA Sungai Tekam pula muncul naib johan dan menerima RM800, manakala kontinjen dari FELDA Jengka 12 menerima hadiah wang tunai RM600 selepas dipilih sebagai pemenang ketiga.
Razak berkata, turut menerima hadiah adalah kontinjen dari FELDA Jengka 10 dan Jengka 6.
“Kita memberikan penghargaan kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian dan usaha ini adalah untuk menunjukkan kesepakatan dalam kami, warga peneroka FELDA Wilayah Jengka dalam memeriahkan sambutan Maulidur Rasul,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) menerima Anugerah Jubli Emas (Penghargaan) dari Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (SEKATARAKYAT) baru-baru ini.
Anugerah itu diberikan bersempena Sambutan Jubli Emas SEKATARAKYAT di ibu negara.
Ia sebagai menghargai hubungan baik dan sokongan berterusan ANGKASA kepada SEKATARAKYAT sejak 50 tahun ditubuhkan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kejayaan dikecapi SEKATARAKYAT adalah sangat membanggakan dan wajar dijadikan contoh.
Beliau yang menerima anugerah itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan SEKATARAKYAT yang sentiasa berusaha memantapkan lagi gerakan koperasi dalam kalangan kakitangan mereka.
“Sudah pasti apa yang dicapai oleh SEKATARAKYAT adalah sesuatu yang luar biasa dan sangat memberikan inspirasi kepada pelbagai pihak.
“Kejayaan SEKATARAKYAT dalam sektor kewangan juga memberi impak berganda kepada perolehan koperasi dan ahli mereka,” katanya.
Abdul Fattah dalam masa yang sama berharap SEKATARAKYAT dapat mengukuhkan jenama dan kekal mempertahankan kedudukan koperasi mereka sebagai antara 10 koperasi terbaik di Malaysia.
Selain itu, pihak pengurusan SEKATARAKYAT juga dicadang mempelbagaikan lagi produk ditawarkan kepada ahli dan pelanggan.
“Adalah besar harapan saya untuk melihat kerjasama antara ANGKASA dan SEKATARAKYAT kekal subur dan berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SEKATARAKYAT, Datuk Mohamed Arsad Sehan ketika berucap memaklumkan SEKATARAKYAT yang ditubuhkan pada tahun 1974 mempunyai 6,320 ahli.
“Kita juga mempunyai modal syer berjumlah RM1.27 juta serta modal yuran sebanyak RM244.48 juta.
“Sempena sambutan Jubli Emas… kita melancarkan Produk Pembiayaan Jubli Emas pada 4 Mac lalu yang menawarkan had maksimum pembiayaan dinaikkan sehingga RM100,000 dengan kadar keuntungan diturunkan kepada tiga peratus bagi tempoh 10 tahun.
“Faedah ini adalah antara yang terendah di Malaysia berbanding institusi kewangan lain,” jelasnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah secara rasmi berjaya memperoleh 27,941 undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar memperoleh 7,332 undi, ketinggalan dengan majoriti 20,609 undi.
Beliau berkata Syed Hussien Syed Abdullah (BN) mendapat 27,941 undi manakala pencabarnya, Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 7,332 undi.
Keputusan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Mahkota Wan Azurawati Wahid di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Sharifah Azizah Syed Zain dari BN memenangi kerusi itu pada PRN Mac 2022, menewaskan calon Pakatan Harapan, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.
Terdapat 66,318 pemilih berdaftar sempena PRK DUN Mahkota.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jentera UMNO Jerantut terima kunjungan KIMMA Johor
KLUANG – Sejak hari penamaan calon, hampir 100 petugas dari UMNO Bahagian Jerantut, Pahang berkampung di Kluang, Johor.
Ia adalah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Antara pusat daerah mengundi (PDM) yang diamanahkan jentera UMNO Bahagian Jerantut adalah PDM Jalan Hospital, PDM Taman Berlian selain PDM Dorset.
Petugas daripada Pemuda, Puteri dan Wanita dari Jerantut juga diberi peranan membantu Jalinan Rakyat (JR) UMNO Johor menyantuni pengundi di kawasan itu.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud turut berkesempatan bersama jentera dari Bahagian itu berkempen di Kluang dengan bertemu dengan pengundi di sekitar Mahkota.
“Selain membantu gerak kerja jentera UMNO dan BN berkempen, kami juga mengambil peluang untuk berkenalan dengan petugas daripada parti komponen BN yang turut sama berkampung di sini,” katanya.
Terdahulu, Razak bersama jentera UMNO Bahagian Jerantut menerima kunjungan daripada wakil Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Johor ketika berada di PDM Dorset.
Pertemuan ringkas itu sempat membincangkan strategi mendekati kira-kira 66,000 pengundi di Mahkota dalam usaha memastikan Syed Hussien menang pada 28 September ini.
“Gerak kerja sedia ada sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kita harap strategi kempen pada minggu terakhir ini akan memberi kelebihan kepada calon BN, Syed Hussien,” jelasnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO Jerantut, Ipoh Barat bawa semangat Nenggiri ke Mahkota
KUANTAN – Jentera UMNO dari Jerantut, Pahang dan Ipoh Barat, Perak sudah bersedia menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, dekat Kluang, Johor.
Mereka yang mula berkampung di situ sejak kelmarin berkata, gerak kerja lengkap sudah siap dirancang bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh Barat, Mohd Zawawi Mohd Yusof berkata, pendekatan turun padang yang sebelum ini dilakukan pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri Ogos lalu, akan digunakan di Mahkota.
“Kami bawa semangat (kemenangan) di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan ke sini dan saya sendiri yakin calon BN mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam PRK kali ini.
“Saya percaya jentera UMNO dari negeri lain juga mempunyai kaedah kempen tersendiri untuk memenangi hati pengundi di Mahkota,” katanya kepada SAHIH .
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, kejayaan BN di Nenggiri sememangnya memberi suntikan semangat kepada semya jentera yang terbabit dalam PRK Mahkota.
Katanya, segala perancangan awal sudah dilakukan dan kelebihan dimiliki Syed Hussien akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan.
“Seperti yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan semalam, Syed Hussien memiliki kelebihan untuk memenangi hati pengundi Cina di Mahkota memandangkan dia memiliki latar belakang pendidikan sekolah Cina.
“Selain itu, kawasan DUN Mahkota juga dijaga dengan baik oleh wakil rakyat daripada BN sebelum ini, jadi tidak ada banyak isu berbangkit dan jika ada pun, ia boleh diselesaikan dengan berhemah oleh kerajaan negeri Johor,” katanya.
PRK Mahkota menyaksikan satu lawan satu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala PN mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar.
Menurut daftar pilihan raya, setakat 2 Ogos terdapat 66,318 pengundi layak di Mahkota merangkumi 61,397 pengundi biasa; 4,510 pengundi tentera dan suami isteri masing-masing; 401 pegawai polis dan 10 pengundi luar negara.
Pengundian awal ditetapkan pada 24 September ini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!