BUKIT TINGGI BANJIR KILAT, HUJUNG TAHUN YANG MENAKUTKAN
BUKIT TINGGI BANJIR KILAT, HUJUNG TAHUN YANG MENAKUTKAN
BENTONG – Tiga puluh buah rumah di Bukit Tinggi, Bentong, dimasuki air akibat banjir kilat yang melanda kawasan tanah tinggi itu kira-kira 9.00 malam tadi.
Walaubagaimanapun, tiada penduduk yang terjejas dipindahkan setelah air surut sepenuhnya malam tadi namun jalan utama dari Bukit Tinggi ke Kampung Janda Baik tidak boleh dilalui dan ditutup oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut satu laporan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.46 malam.
Sejurus itu, 2 buah jentera bersama 3 pegawai dan 6 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong telah bergegas ke lokasi kejadian.
Operasi yang diketuai PBK I (KUP) Haznan Basir, mendapati terdapat kejadian limpahan air dari ban penghalang di kawasan tersebut dan bukan pecahan ban seperti yang dilaporkan.
Keadaan tersebut terkawal sepenuhnya pada jam 10.50 malam namun kerja pemantauan terus dilakukan sekiranya hujan lebat akan turun semula dan menyebabkan limpahan air kali kedua berlaku yang mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.
Malam tadi, beberapa rakaman video kejadian tersebut tular di laman sosial Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.
Menerusi rakaman video berkenaan, beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir dan harta benda dihanyutkan arus.
Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang lokasi tersebut memaklumkan keadaan banjir sudah surut dan kerja pembersihan sedang dijalankan.
Beliau turut meminta pengusaha chalet, rumah inap dan pengunjung yang berkhemah di Janda Baik serta Bukit Tinggi supaya waspada dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan pihak berkuasa jika terdapat keperluan untuk berpindah.-SAHIH