Tabung TKKP Bantu Warga Jengka Hadapi Musibah
Tabung TKKP Bantu Warga Jengka Hadapi Musibah
JENGKA – Tabung Kebajikan Kecemasan Peneroka (TKKP) Felda Wilayah Jengka terus memainkan peranan penting dalam meringankan beban peneroka yang berdepan musibah termasuk kebakaran rumah, kematian pasangan dan bencana alam.
Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd Tarmizi Lee, berkata sejak diwujudkan, tabung itu telah menyalurkan bantuan kepada penerima manfaat dalam tempoh dua tahun lalu.
“Bagi kes rumah kebakaran, bantuan boleh mencecah sehingga RM40,000 manakala bagi kematian pasangan, waris menerima RM3,000 walaupun tanpa caruman. Program ini dijalankan atas dasar kebajikan untuk membantu sesama warga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kebajikan Kecemasan Peneroka (TKKP) Felda Wilayah Jengka, semalam.
Menurutnya, selain itu terdapat juga Tabung Amal Mesra dengan caruman hanya RM10 setahun bagi setiap peserta, yang menyediakan bantuan kecil seperti RM100 kepada mangsa banjir atau ribut.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud, berkata masih ramai peneroka belum mencarum sedangkan manfaatnya besar.
“Daripada lebih 15,000 warga di wilayah ini, seramai 11,000 sudah mencarum, namun masih ada 4,000 lagi yang belum menyertai skim ini. Ramai beranggapan mereka tidak perlu kerana belum pernah ditimpa musibah. Tetapi konsep tabung ini ialah kebajikan – membantu orang lain dalam kesusahan,” katanya.
Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Ariffin Wahab, pula menegaskan tabung berkenaan berjaya menyantuni ratusan keluarga peneroka yang kehilangan ahli keluarga atau rumah akibat bencana sejak 2021.
Mohd Tarmizi dalam pada itu menyeru lebih ramai warga peneroka menyertai skim caruman kerana sumbangan kecil setiap bulan mampu memberi kesan besar apabila ditimpa ujian.-SAHIH