Kerajaan Pahang bincang tuntut pampasan atas usaha jaga hutan simpan
KUANTAN – Kerajaan Pahang sudah memulakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan bagi memuktamadkan jumlah pampasan yang layak diterima berikutan usaha kerajaan negeri mengekalkan kawasan hutan simpan.
Perbincangan itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada November 2021 mengenai persetujuan kerajaan Persekutuan memberikan sejumlah pampasan kepada Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, pertemuan pertama bagi membincangkan perkara itu sudah diadakan di Putrajaya tahun lalu.
“Kita sudah menyatakan hasrat kerajaan Pahang berkaitan perkara ini dan perjumpaan (perbincangan) juga sudah dimulakan, cuma setakat ini (jumlah pampasan) masih belum diputuskan.
“Perkara ini (pampasan) adalah sangat wajar memandangkan 57.07 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan negeri Pahang tidak diusik dan dikekalkan sebagai hutan simpan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Pahang di Maran, semalam.
Wan Rosdy berkata, Pahang kehilangan hasil apabila aktiviti pembalakan atau perlombongan sumber mineral di kawasan terbabit tidak dibenarkan, tetapi tetap mengekalkan hutan simpan kerana ia memberi pelbagai manfaat, khususnya bekalan sumber air kepada negeri lain.
Pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air itu cukup penting sekali gus Pahang dapat menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang bagi menampung keperluan pengguna di negeri berjiran seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ismail Sabri ketika berucap dalam satu majlis di Bera pada November 2021 memaklumkan, kerajaan akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin sebelum ini menyuarakan kewajaran untuk Pahang menerima pampasan daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau mencadangkan jumlah pampasan layak diterima Pahang melebihi RM150 juta setahun dan perlu diberi pertimbangan segera oleh kerajaan dan Kementerian berkaitan.
Wan Rosdy ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 Tahun 2022 yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kuantan pada Selasa lalu memohon Kerajaan Persekutuan agar membangunkan formula yang adil dan mudah bagi menyegerakan proses bayaran pampasan secara tunai atas komitmen negeri ini mengekalkan hutan simpan.-SAHIH.