ANGKASA teroka kerjasama koperasi di China
ANGKASA teroka kerjasama koperasi di China
GUANGZHOU – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang pemasaran dan pembekalan apabila delegasi diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, mengadakan lawatan rasmi ke tiga koperasi utama di wilayah Guangdong, China, semalam.
Lawatan itu turut disertai Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh.
Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata, lawatan kerja tersebut memberi ruang kepada perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan koperasi, selain membuka laluan ke arah kerjasama pemasaran antara koperasi Malaysia dan China.
Antara koperasi yang dikunjungi termasuk Guangdong New Co-Op Tianrun Grain & Oil Group Co. Ltd. (Tianrun Cooperative) yang mengkhusus dalam eksport beras dan pemprosesan minyak bijirin.
![]()
Tianrun yang ditubuhkan pada 2009 memiliki lebih 30 paten inovasi dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Pakistan dan Asia Barat.
Delegasi turut didedahkan dengan pendekatan digital dan pengurusan rantaian bekalan bersepadu yang dilaksanakan koperasi tersebut.
Sementara itu, di Koperasi Baoshengyuan, delegasi diberi peluang merasai madu asli berkualiti tinggi yang dihasilkan secara organik dan menepati piawaian keselamatan makanan global.
Kemuncak lawatan ialah kunjungan ke ibu pejabat All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC) atau China Co-op yang ditubuhkan pada 1954.
China Co-op menaungi lebih 37,000 koperasi premier di seluruh negara dengan jaringan lebih 856,000 kedai dan outlet serta 832 platform e-dagang yang menyokong logistik dan perkhidmatan komuniti luar bandar.
![]()
Menurut Abdul Fattah, kerjasama itu berpotensi memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan produk koperasi serta memperluas pasaran sektor koperasi Malaysia ke peringkat global.-SAHIH
