Tujuh warga polis IPD Temerloh ditahan kes dadah
Tujuh warga polis IPD Temerloh ditahan kes dadah
KUANTAN: Seramai tujuh warga polis termasuk dua pegawai berpangkat inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh ditahan selepas disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Mentakab, awal pagi semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan kira-kira jam 2.15 pagi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta dua wanita warga Thailand.
Menurutnya, dua pegawai polis terbabit berpangkat inspektor manakala lima lagi anggota berusia antara 29 hingga 42 tahun.
“Lelaki tempatan yang ditahan berusia 22 tahun manakala dua wanita warga Thailand masing-masing berusia 37 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yahaya berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota polis berkenaan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.
Beliau berkata, saringan sama turut mendapati seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand positif dadah, manakala seorang pegawai polis serta seorang lagi wanita warga Thailand disahkan negatif.
“Hasil serbuan itu, polis turut merampas satu paket dadah jenis ketamin seberat 0.98 gram serta sebuah jag berisi cecair disyaki mengandungi dadah,” katanya.
Menurutnya, dua pegawai dan lima anggota polis terbabit direman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand pula direman selama empat hari bermula tarikh sama.
“Polis tidak akan berkompromi dalam mana-mana kes membabitkan pegawai atau anggota. Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.-SAHIH








3365742074444847156.jpg)




