Stadium Darul Makmur berwajah baharu sambut Jubli Emas 25 November
RAUB – Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) bakal berwajah baharu menjelang sambutan Jubli Emas pada 25 November ini selepas kerja membaikpulih bernilai RM1.4 juta siap dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatan Kuasa Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Stadium Darul Makmur yang berusia 50 tahun menjadi bangunan ikonik Bandar Raya Kuantan dan kebanggaan bagi penduduk negeri yang menjadi stadium pelbagai kegiatan sukan dan sosial.
“Kerja membaikpulih stadium tersebut bermula pada bulan Ogos tahun ini melibatkan kemudahan tandas, surau, kerja mengecat di luar stadium dan projek landskap di sekitar stadium tersebut
“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta membolehkan kerja membaikpulih serta landskap siap sebelum sambutan Jubli Emas,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Landskap (Halaman Cantik) di Dewan Jubilee Raub di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri juga bersedia menerima cadangan membaikpulih kemudahan di stadium tersebut dari semasa ke semasa berasaskan permohonan yang dibuat oleh pihak pengurusan PSDM pada masa akan datang.
“Stadium Darul Makmur akan menjadi venue kejohanan bola sepak dan sukan antarabangsa antara sebahagian usaha kerajaan negeri menarik ramai pengunjung ke sini,” katanya.
“Sempena perayaan Jubli Emas ini, saya akan membentangkan beberapa aktiviti sukan dan sosial peringkat negeri termasuk melibatkan penyertaan wakil dan pasukan antarabangsa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Durian kura-kura’ ditemukan di Kampung Sengkela, Raub
RAUB – Penemuan durian kura-kura dianggap unik kerana belum pernah ditemukan sebelum ini sehingga ramai pencinta buah durian dari Lembah Kelang dan penduduk daerah ini datang untuk melihat lebih dekat buat itu di Kampung Sengkela, dekat sini.
Nurul Zalikha Uzir, 28, antara paling awal menemui buah unik itu berkata, dia pertama kali menemukan sebatang pokok durian di pinggir Kampung Sengkela ketika mula berbunga di pangkal pokok beberapa bulan lalu.
“Sejak berbunga, saya kerap berulang alik ke pokok durian ini untuk mengetahui perkembangannya dan setelah beberapa bulan ia mula mengeluarkan putik seterusnya berbuah hampir 60 biji dalam kedudukan di pangkal pokok.
“Setelah berbuah tekstur kulitnya berduri, manakala warna buah berlainan dengan durian biasa, iaitu kelihatan berwarna ungu kehitaman,” katanya di sini hari ini.
Kata Nurul Zalikha, dia belum pernah menemukan durian kura-kura dan sebelum ini tidak tahu nama spesies itu yang dipercayai banyak terdapat di Sarawak.
“Saya diberitahu, buah durian ini banyak di utara Sarawak, iaitu Limbang dan Miri dan dikenali durian kura-kura atau nama spesiesnya Durio testudinarum yang mempunyai rasa dan teksturnya yang berbeza dengan durian biasa.
“Saya tidak tahu tekstur bahagian pangsa, ulas, warna serta rasa isi buah ini kerana buah ini belum masak,” katanya.
Katanya, pokok ini tumbuh hampir 60 tahun lalu dan tidak tahu siapa yang menanamnya kerana sebelum ini kawasan ini merupakan hutan tebal.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Murid perempuan SKTJ begitu teruja bermain lompat getah.
Permainan tradisional kanak-kanak lompat getah dikenalkan
JERAM -Permainan tradisional semakin dilupakan masyarakat termasuklah dalam kalangan generasi muda sekarang seperti pernah dilalui oleh kanak-kanak era pasca Merdeka.
Oleh itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa (SKTJ), Jeram, Selangor mengambil langkah memperkenalkan beberapa permainan tradisional kepada murid sekolah itu.
Guru Besar SKTJ, Nor Mahali Mohamad Torman itu diperkenalkan kepada murid dan warga sekolah berkenaan bagi memenuhi aktiviti kokurikulum bersempena Sambutan Bulan Kecergasan, Kesihatan dan Sukan Tradisional pada Oktober lepas.
Katanya, sebagai langkah awal, permainan lompat getah dipilih bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti kecergasan yang bermula dari sekolah.
“Maka unit kokurikulum mengambil peluang untuk memperkenal serta mendedahkan sukan tradisional berkenaan kepada murid.
“Program sambutan seperti itu, turut memberi peluang bagi menambahkan pengetahuan murid mengenai sukan tradisional yang semakin dilupakan akibat penggunaan gajet yang semakin berleluasa sekarang,” katanya.
Katanya, murid perlu sedar bahawa sukan tradisional itu sangat bermanfaat untuk mencergaskan minda dan fizikal tidak seperti permainan atau ‘game’ dalam talian yang banyak mendatangkan kemudaratan seperti menyebabkan rabun dan sebagainya.
“Saya memilih permainan lompat getah ini kerana membantu dalam merangsang minda murid supaya sentiasa aktif, produktif dan bermotivasi disamping memupuk semangat kerjasama dalam pasukan
“Lompat getah juga memberi pendedahan kepada murid untuk sama-sama rasa bertanggungjawab untuk memelihara sukan tradisional yang semakin dilupakan dan mereka boleh mempraktikannya untuk bermain bersama rakan sekampung atau jiran setaman perumahan dengan mereka,” katanya.
Penyelaras Program Menggamit Memori Permainan Lompat Getah sekolah itu Cikgu Rahana Ismail berkata apabila dimaklumkan kepada murid antara aktiviti kokurikulum mengadakan permainan lompat getah yang menyebabkan sebahagiannya kelihatan gembira dan keterujaan untuk mencuba.
“Bagi murid terbabit lompat getah merupakan permainan yang baharu kepada mereka dan berasa seronok, apabila turut diajar cara bermain malah mereka ditunjukkan bagaimana untuk mencantumkan getah menjadi panjang sebelum permainan berkenaan dimainkan.
“Pada ketika itu wujud semangat kerjasama yang erat antara murid ketika berusaha mencantum getah sebelum bermain yang jelas terpancar pada wajah mereka serta kelihatan berlumba-lumba untuk menyiapkan cantuman getah,” katanya.
Katanya, walaupun ada sesetengah murid pernah mencuba permainan ini bersama ahli keluarga mereka namun keterujaan serta keseronokan lebih terasa apabila dapat bermain bersama-sama rakan di sekolah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota BBP Peramu, Pekan dan seorang remaja perempuan dipercayai rakan remaja menenangkan remaja yang cuba terjun daripada bangunan asramah ari ini.
Remaja perempuan 19 tahun diselamatkan dalam cubaan membunuh diri
PEKAN : Ketangkasan anggota bomba dan seorang remaja yang menenangkan rakannya yang cuba membunuh diri berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut pada jam 2.30 petang, hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Pekan , Nor Izani Abdullah melaporkan, beliau bersama lima anggota yang tiba di tempat kejadian bersiap sedia menggunakan tali penyelamat untuk menyelamatkan mangsa.
“Ketika kami tiba di tempat kejadian, remaja tersebut berusia 19 tahun sudah menjuntaikan kakinya di birai pelantar asrama di tingkat dua blok asrama sebuah universiti tempatan di sini.
“Pasukan bomba turut bersedia dengan tilam angin yang diletakkan di bawah bangunan asrama bertentangan dengan remaja tersebut duduk di birai pelantar,” katanya.
Katanya, ketangkasan anggota bomba yang terjun menggunakan tali dari tingkat tiga berjaya menyelamatkan remaja itu daripada terjun..
“Remaja tersebut diturunkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pintu utama PJMM di Kampung Sungai Purun, Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.
PJMM Bangi anjur majlis amal untuk kutip dana dari dermawan
Peningkatan kos perbelanjaan dan bagi menambah dana operasi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Jalan Bangi, Semenyih, mengambil langkah menganjurkan Majlis Malam Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ pada 25 November 2023.
Majlis itu diharapkan menjadi platform bagi dermawan membantu dengan menghulurkan sumbangan menerusi konsep jualan meja dan kerusi yang dibahagikan kepada beberapa kategori untuk majlis makan malam yang akan diadakan di Laman Firdausi PJMM.
Dana yang terkumpul pada majlis berkenaan akan turut dikongsikan dengan dua lagi pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang dan Pusat Jagaan Insan (PJI) di Taman Tasik Semenyih yang turut bertindak sebagai penganjur bersama dengan memberikan kerjasama bagi menjayakan majlis itu.
Majlis berkenaan dijangka dihadiri 300 tetamu termasuk orang kenamaan dan akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata PJMM, PJNH dan PJI Pusat merupakan pusat perlindungan dan penjagaan warga emas yang membabitkan kes seperti dipinggirkan anak sendiri, diabaikan waris, hidup sebatang kara, Orang Kelainan Upaya (OKU), mualaf, asnaf serta fakir miskin.
Menurutnya, warga emas terbabit termasuk yang uzur serta terlantar di atas katil disantuni seperti ahli keluarga sendiri oleh petugas selain mereka dikenal pasti dalam kalangan kurang berkemampuan dirujuk oleh hospital dan jabatan berkenaan yang diberikan penjagaan penuh tanpa sebarang bayaran.
Tambahnya, berikutan peningkatan kos operasi setiap bulan, pengurusan terpaksa mencari alternatif dalam mengisi dana pusat jagaan itu dan bersetuju untuk membuat perancangan rapi lebih tiga bulan lalu bagi mengadakan majlis berkenaan.
“Majlis dirancangkan ini sedikit sebanyak akan membantu menampung kos operasi kerana pihak pengurusan bagi tiga pusat jagaan terbabit sentiasa bertungkus lumus setiap minggu mencari dana bagi dimanfaatkan serta kelangsungan hidup emas yang dijaga.
“Kami amat berharap tiada pihak yang salah anggap atau berwasangka tidak sepatutnya terhadap usaha dilakukan ini malah kita mempelawa sesiapa sahaja untuk menjenguh bagaimana pengurusan dilakukan bagi menjaga warga emas,” katanya.
Muhammad Syafiq berkata, bagi tujuan mengumpul dana itu jualan meja dan kerusi dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Platinum satu meja RM5,400 dan satu kerusi RM675, Gold satu meja RM3,600/satu kerusi RM450, manakala Silver satu meja RM2,000/satu kerusi RM250.
Menurutnya, pada majlis itu juga akan diadakan gimik pelancaran buku kisah benar penghuni bertajuk ‘Terkulai Di Senja Hari’ yang amat popular dan menyumbangkan dana kepada PJMM, perasmian media sosial pusat jagaan, persembahan istimewa warga emas serta artis dan selebriti yang turut hadir untuk bersama memeriahkan majlis berkenaan.
Jelasnya, pelbagai alternatif sebelum itu sudah dilakukan dalam usaha mencari dana termasuk menggunakan media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram, YouTube yang turut membuka peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat mengenai pusat jagaan khusus warga emas yang dijaga.
“Ini sekali gus juga dapat menyampaikan nilai dan pengajaran yang terkandung dalam kisah hidup penghuni di samping juga berkongsi aktiviti serta kehidupan seharian warga emas apabila ada sesetengah mereka itu menzahirkan kesedihan kerana bergantung hidup kepada susu yang disalurkan menerusi hidung selain terlantar di atas katil sekian lama,” ujarnya.
Untuk pembelian meja atau kerusi bagi majlis berkenaan boleh disalurkan terus kepada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, nombor akauan 5623 8452 1053 (Maybank Islamic), manakala sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohiadin Bahado nombor telefon 017-3943216, Azman Rasman (019-977 7419), Aidah Jaamat (013-251 1372), Muhammad Syafiq (017-3786 804) dan Sazali Mohiden (019-368 8142). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pelajar Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena terpaksa menggunakan bangunan asal sebagai asrama kerana bangunan baharu belum siap dibina berikutan kekurangan dana.
Pondok Taklim, Tahfiz Pokok Sena tidak abai subjek akademik SPM
ALOR STAR : Pelajar di Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena dekat sini tidak diabaikan pelajaran akademik mereka apabila turut mendapat pendidikan formal hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Setar bagi membimbing mereka.
Kelas Pendidikan formal itu juga yang mendapat kerjasama Lembaga Zakat Negeri diadakan setiap hari seperti sekolah biasa cuma selama dua jam bermula pukul tiga membabitkan pelajar pondok yang menduduki tahun satu hingga tingkatan lima.
Mereka dibimbing tenaga pengajar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah dan sebagainya bagi menjamin mereka boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan membuka peluang untuk mereka meneruskan pengajian akademik lebih tinggi.
Pengerusinya, Mohd Zahid Mat Saad, berkata atas nasihat pihak terbabit, pengurusan pondok menyambut baik saranan supaya diberikan pendedahan pendidikan formal kepada pelajar di pondok berkenaan, bagaimanapun kerana masalah perbelanjaan dan kos lain mereka terpaksa mengikuti kelas di situ sahaja.
Menurutnya, ini selaras penubuhan pondok itu adalah bagi membimbing dan memberi peluang kepada pelajar terbabit mendalami bidang ilmu agama secara percuma memandangkan mereka daripada dalam kalangan anak asnaf, miskin, mualaf dan anak yatim.
Tambahnya, apabila melihat mereka itu berkeliaran tanpa tujuan sekitar kampung dan pekan dia berusaha menubuhkan pondok berkenaan di atas tanah seluas dua ekar lebih dan mempelawa pelajar menerusi ibu bapa atau penjaga menimba ilmu di situ.
“Mereka ini akan mengikuti kelas mengaji al-Quran termasuk hafazan yang dibimbing oleh beberapa ustaz sehingga mampu menjadi seorang tahfiz, di samping berjaya dalam akademik yang membuka jalan untuk ke pusat pengajian yang lebih tinggi.
“Paling menarik mereka menghafal al-Quran ini memiliki daya ingatan semula jadi yang kuat apabila mampu untuk mengingati apa sahaja pelajaran bagi mata pelajaran akademik disampai tenaga pengajar setiap hari, saya berasa amat bersyukur,” ujarnya.
Katanya, Pondok itu yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada para pelajarnya ditubuhkan lima tahun lalu dan semua aktiviti diadakan dalam satu bangunan asal sebelum beralih ke surau yang dibina hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak pada 2021.
“Kini pihak pondok berusaha untuk menyiapkan bangunan asrama dilengkapi kelas mengaji al-Quran serta pelbagai kemudahan asas lain namun tergendala pembinaan kerana tidak mempunyai dana yang cukup selepas binaan asas didirikan dua tahun lalu.
“Orang ramai yang berhajat mendapatkan maklumat lanjut mengenai pondok berkenaan boleh menghubungi Mohd Zahid Maat Saad menerusi telefon 019 4466425. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahli Veteran UMNO Jerantut yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Nordin Wahid ( empat dari kanan) telah hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk membuat laporan pada pukul jam 10 pagi, semalam.
Veteran UMNO Jerantut dan Lipis buat aduan terhadap pemilik FB Promosi PN Maran
JERANTUT : Ahli jawatan kuasa Veteran UMNO Jerantut mahu pihak polis melakukan siasatan terhadap pengendali akaun laman sosial Facebook Promosi PN Maran berhubung tohmahan menerusi laman sosial tersebut menuduh dan memfitnah nama baik Mneteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Ahli Veteran UMNO Jerantut yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Nordin Wahid telah hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk membuat laporan pada pukul jam 10 pagi, semalam.
Katanya, laporan tersebut dibuat berikutan hantaran menerusi laman sosial itu menghina Menteri Besar Pahang yang menyebut ‘Apakah MB Pahang ini keturunan Yahudi ke?”
“Hantaran menerusi Facebook Promosi PN Maran sengaja cuba menguar-uarkan isu itu di samping berniat memalukan Wan Rosdy selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Naib Presiden UMNO Malaysia.
“Saya dan rakan veteran UMNO Jerantut berasa kecewa dengan hantaran berkenaan lebih lagi memaparkan kata ‘Palestin hancur’ sedangkan Wan Rosdy sudah berkali-kali memohon maaf pada program himpunan tersebut.
Katanya, laman sosial itu bukan sahaja menjatuhkan maruah dan reputasi Menteri Besar Pahang malahan mencalarkan parti UMNO sendiri kerana ada pihak yang berani membuat hantaran tersebut.
Sementara itu, perkembangan yang sama, Pengerusi Veteran UMNO Lipis, Datuk Zulkifli Othman juga mengetuai ahli jawatan kuasa pertubuhan itu melakukan laporan polis yang sama di IPD Lipis, semalam.
Katanya, Veteran UMNO Lipis turut menyelar Pemilik Facebook tersebut menyiarkan petikan video pendek ucapan Wan Rosdy pada Himpunan Pahang 4Palestine pada 28 Oktober lalu di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
“Berikutan Datuk Seri Wan Rosdy tersasul dan tidak sengaja menyebut satu perkara dan dijadikan ungkapan kesilapan itu untuk tujuan memalukan MB Pahang.
“Oleh itu, saya dan rakan veteran UMNO Lipis kecewa dengan hantaran berkenaan lebih lagi memaparkan kata ‘Palestin hancur’ sedangkan Wan Rosdy sudah berkali-kali memohon maaf kesilpan itu pada program himpunan tersebut,” katanya.
Sebelum itu, seramai 40 orang ketua kampung dalam Parlimen Lipis dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Cameron Highlands turut membuat laporan polis supaya menyiasat terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook Promosi PN Maran mengenai hantaran fitnah yang memalukan secara terang cuba menjatuhkan maruah dan reputasi Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang, minggu lalu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Wan Rosdy bergambar kenangan bersama peserta Kursus Kepimpinan ‘Young Statesmen Programme’ anjuran Tun Ghazali Shafie Institute For Strategic Leadership dengan kerjasama University College Of Yayasan Pahang (UCYP) dan rakan strategik UCYP Institut Integriti Malaysia (IIM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (LIMU), Janda Baik di Bentong, hari ini.
Golongan muda jaga prestasi untuk menjadi pemimpin masa depan
BENTONG : Golongan muda diseru menjaga prestasi untuk menjadi pemimpin yang cemerlang di masa hadapan bagi menggantikan kepemimpinan sedia ada.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menjaga prestasi yang baik dalam apa juga bidang diceburi akan sentiasa menjadi penanda aras yang dinilai di dalam kehidupan dan pekerjaan yang dilakukan.
“Di bidang pekerjaan yang diceburi, menjaga prestasi amat penting kerana ia menjadi ukuran atau alat untuk tujuan-tujuan lain seperti pemberian bonus, kenaikan pangkat dan peluang-peluang untuk belajar dan sebagainya.
“Oleh itu, generasi muda perlu sentiasa menjaga prestasi terbaik dan wajar diberi keutamaan kerana penilaian prestasi sentiasa diperhatikan oleh pihak atasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Kepimpinan ‘Young Statesmen Programme’ anjuran Tun Ghazali Shafie Institute For Strategic Leadership dengan kerjasama University College Of Yayasan Pahang (UCYP) dan rakan strategik UCYP Institut Integriti Malaysia (IIM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (LIMU), Janda Baik di Bentong, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UCYP, Profesor Datuk Dr. Mohammad Fauzi Md Zain dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd (KESB), Datuk Seri Shahaniza Shamsudin.
Katanya, program ‘Young Statesmen Programme’ telah berlangsung selama tiga hari pada 3-5 November 2023 melibatkan seramai 36 peserta terdiri daripada Protege Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UCYP.
“Program negarawan seumpama ini merupakan platform yang baik bagi melatih barisan pemimpin muda dengan perkongsian ilmu dan menjadi nilai tambah kepada peserta.
“Namun, saya berharap satu garis panduan untuk meneruskan kehidupan dalam alam pekerjaan dan selebihnya kita masih perlu mencari ilmunya kerana belajar ini adalah proses sepanjang masa,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahli Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Daerah Hulu Langat, Selangor merakamkan kenangan bersama sebahagian warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) selepas menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan makanan keperluan asas.
LKPIM terus aktif kerja amal
KAJANG – Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Daerah Hulu Langat, tetap terus aktif dalam kerja amal kebajikan sejak 40 tahun yang lalu.
Ia selaras dengan visi NGO berkenaan yang ingin membela nasib masyarakat setakat termampu tanpa mengira bangsa dan agama supaya mereka ditimpa musibah tidak berasa terbiar atau tersisih tanpa pembelaan daripada mana-mana pihak.
Pengerusinya, Salmiah Acheh, berkata selepas dilantik memegang jawatan itu dia bersama-sama ahli jawatankuasa yang dipilih daripada 300 ahli berazam untuk terus menyantuni masyarakat di daerah berkenaan bagi menghulurkan bantuan diperlukan.
Katanya, usaha murni dan sukarela LKPIM dapat hulurkan yang sebahagian besar darpada kami adalah bekas kakitangan kerajaan atau swasta dan suri rumah sepenuh masa untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.
“Apabila hendak menggerakkan bantuan amal kebajikan dan sebagainya, ahli akan diwar-warkan untuk menginfak sumbangan mereka sama ada kewangan atau barangan keperluan yang difikirkan sesuai bagi disalurkan kepada mereka terbabit.
“LKPIM akan lebih mengutamakan infak atau sumbangan daripada ahli sebagai tanda sokongan sebelum cuba berikhtiar mendapat bantuan daripada pelbagai pihak lain untuk sama-sama membantu meringankan bebanan mereka yang timpa bencana atau musibah,” katanya.
Katanya, setakat ini LKPIM tidak berhenti untuk menyalurkan bantuan kepada rumah anak yatim, keluarga miskin, pusat tahfiz dan juga pusat jagaan warga emas terutama yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Bagi kami sebagai NGO adalah menjadi tanggungjawab bagi membantu mereka ini apabila menerima maklumat atau laporan daripada ahli untuk turun padang bagi berkongsi rezeki.
“Ini diharapkan menjadi contoh kepada pelbagai badan sukarela lain dalam usaha menyalurkan kebajikan,” katanya a ketika ditemui selepas menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan makanan keperluan asas kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PJMM, Azman Razman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; dan Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado.
Seorang ahli jawatankuasa LKPIM, Wan Rafidah Meor Osman yang ditemui berkata, walaupun sudah lama bergelar pesara tetapi dia berasa seronok dapat terus aktif untuk membantu masyarakat menerusi NGO berkenaan.
Jelasnya, dia yang menyertai pelbagai NGO sebagai sukarelawan menganggap masa bersara tidak hanya duduk berehat semata-mata malah amat wajar juga jika dapat turun padang membantu mereka yang memerlukan bantuan mungkin sebelum itu tidak dapat dilakukan kerana sibuk bekerja.
“Bersama LKPIM ini bukan setakat membantu atau menyantuni mereka memerlukan perhatian serta bantuan juga dapat mengikuti kelas agama dan mengaji al-Quran bersama-sama rakan yang dianjurkan di Surau Sungai Kantan, Kajang, Selangor,” katanya.
Kepada orang ramai atau pelbagai pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu atau menyumbangkan bantuan dan sebagainya boleh menghubungi Azman menerusi nombor telefon 019-977 7419, Muhammad Syafiq (017-378 6804) dan Mohiadin (017-394 3216). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Seorang guru Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor menerangkan sesuatu kepada muridnya mengenai mural Perdana Menteri Malaysia.
SKRP jadikan lukisan mural media pembelajaran
KLANG – Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, menjalankan konsep pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan bagi murid.
Langkah itu juga selaras PLBD untuk menjadi suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti itu berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokong serta mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah yang merangkumi persekitaran pembelajaran progresif.
Guru Besar SKRP, Hazi Kadir, berkata bagi mencapai matlamat itu pihak sekolah melukis sebelas lukisan mural bersaiz besar untuk menarik perhatian murid dalam mata pelajaran Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Sejarah, Moral dan Pendidikan Jasmani.
“Sebagai contoh, dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi (DSKP) pembelajaran sejarah tahun empat, dilukiskan mural gambar wajah sepuluh Perdana Menteri yang pernah dilantik di Malaysia.
“Semasa sesi pembelajaran guru akan membawa murid kelas mereka untuk melihat lukisan mural Perdana Menteri berkenaan untuk menerangkan atau berbincang mengenai peranan tokoh pemimpin utama negara itu,” katanya.
Katanya, pembelajaran ini akan berlangsung dalam suasana santai apabila murid berada luar bilik darjah dan sudah pasti melahirkan keseronokan kepada mereka untuk belajar.
“Selain itu lukisan mural ini yang hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk disiapkan menjadi konsep dua dalam satu sebagai sumber pembelajaran dan menceriakan sekolah.
“Lukisan mural SKRP itu adalah hasil lukisan dua pelukis profesional iaitu Akhmal Asraf dan Mohamad Syafiq, mereka memang pelukis sepenuh masa dan hasil kerja amat berkualiti serta memang cantik,” katanya.
Hazi berkata, lukisan mural mereka itu dilukiskan pada dinding utama SKRP serta sudut yang berkaitan tempat pembelajaran.
“Mereka menggunakan cat yang berkualiti tinggi supaya boleh bertahan lama serta tahan pada cuaca, lukisan mural itu juga amat menarik kerana banyak menerapkan nilai ilmu, sebagai contoh memupuk minat murid kepada melukis serta bercita-cita menjadi pelukis.
“Selain itu, lukisan mural itu turut dilukis pada dinding makmal sains, bilik RBT dan sebagainya iaitu lokasi yang memang menjadi tumpuan utama dan dapat dilihat dari jalan besar,” katanya.
Katanya, di samping itu turut mendapat reaksi amat baik daripada ibu bapa serta pelawat apabila mereka berasa sangat teruja selain menjadi tempat mereka berswafoto ketika masuk ke kawasan sekolah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!