Foto : Sultan mahu rakyat negeri jadi mata dan telinga kepada Sultan Pahang – Ihsan FB Kesultanan Pahang
JERANTUT : Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah kepada rakyat negeri itu menjadi mata dan telinga kepada Sultan Pahang berkaitan pencerobohan tanah di negeri itu.
Baginda bertitah agar rakyat perlu bersama menjaga negeri Pahang agar tidak berlaku pencerobohan tanah-tanah di negeri itu.
“Oleh itu jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang untuk menggelak berlaku lagi pencerobohan tanah di negeri ini.
“Saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan penceroboh dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik, “titah baginda..
Baginda bertitah demikian ketika bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini semalam melalui FB Kesultanan Pahang.
Baginda berdua turut berkenan memberi kurnia kepada kanak-kanak dan menyantuni rakyat yang hadir di sekitar Kampung Bantal.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua ke Kampung Bantal selama tiga hari itu untuk bertemu rakyat kampung tradisional di kawasan berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Baginda berdua juga turut menyantuni masyarakat Orang Asli Sungai Kuching seterusnya mengikuti aktiviti yang dijadualkan bersama rakyat di kawasan berkenaan.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
1,000 keluarga Shukor dan Kardinah berkumpul hari keluarga
Foto : Sebahagian 1,000 ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor serta Allahyarhamah Kardinah merakamkan kenangan selepas menyertai program Hari Keluarga baru-baru ini.
Sambutan Aidilfitri 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) RKT Sri Ledang, Tangkak, Johor mencatatkan sejarah yang amat bermakna bagi ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor Abdullah dan Allahyarhamah Kardinah Partisan bertema “Eratkan Silaturahim dengan Kasih Sayang.”
Seribu ahli keluarga berkumpul dalam Hari Keluarga, program ini merupakan inisiatif keluarga untuk menyatukan semua generasi pertama hingga ketujuh, mengeratkan hubungan silaturahim dan memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh barakah.
Ahli keluarga dan waris memenuhi Dewan Sekolah Kebangsaan RKT Sri Ledang, di Tangkak, Johor untuk mengaminkan doa.
Pengerusi program, Suhaimi Ariffin, menyatakan bahawa untuk mengadakan acara sebesar ini bukanlah perkara mudah.
“Sebuah jawatankuasa khas terpaksa dibentuk untuk memastikan kelancaran acara, melibatkan pelbagai tugasan dari persediaan tempat hinggalah kepada protokol dan kebersihan.
“Cabaran terbesar adalah memastikan semua ahli keluarga dapat dihubungi, terutama mereka yang berada jauh, menggunakan teknologi seperti WhatsApp dan Telegram untuk memaklumkan mengenai acara ini,” katanya.
Katanya, berkat kerjasama ahli keluarga, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan jemputan khas diberikan kepada ahli keluarga dari pihak isteri Allahyarham (Buyut) seramai 40 orang.
Suhaimi menyerahkan sumbangan hari raya kepada salah seorang waris kurang upaya.
“Mereka diberi layanan istimewa sebagai tanda penghargaan, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan hari raya, acara ini turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan dan majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, serta marhaban.
“Kejayaan program ini amat menggembirakan kerana ia memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berkenalan lebih rapat, berkongsi pengalaman hidup, dan mempereratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Kata Suhaimi, program ini bukan sahaja memberi kesan yang besar kepada mereka yang hadir tetapi juga memberi impak positif kepada generasi yang akan datang dengan harapan acara serupa dapat diteruskan bagi memastikan hubungan silaturahim sentiasa kukuh.
“Program ini menekankan pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan dan kasih sayang dalam kehidupan, serta mengingatkan tentang nilai-nilai murni yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Khairi Mohd Noor (tengah) dan Zah (dua dari kanan) bersama-sama anak yatim dan fakir yang gembira menerima pakaian baharu dari gedung Jakel, Terengganu.
Seratus anak yatim, fakir terima sumbangan raya
Seratus anak yatim dan fakir dari Kampung Manir, Terengganu, telah menerima sumbangan bagi menyambut Syawal 2025 melalui Program Agihan dan Sumbangan Baju Raya anjuran Pertubuhan Projek Bantuan Ummah Terengganu (PPBUT) dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Kuala Terengganu, menjlang sambutan itu baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di gedung Jakel Terengganu ini turut mendapat kerjasama dari Hayrat Relief Malaysia yang menyediakan dana untuk meringankan beban keluarga anak yatim dan fakir.
Timbalan Pengerusi KPIBKS, Zah Mohamad, menyatakan bahawa program ini adalah hasil kerjasama antara NGO dan PPBUT dalam membela nasib anak yatim dan keluarga fakir.
Sebelum sumbangan diberikan, pemilihan penerima bantuan dibuat berdasarkan rekod murid Sekolah Kebangsaan (SK) Manir yang melibatkan anak yatim dan fakir yang amat memerlukan.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penerima apabila mereka diberi kesempatan memilih pakaian raya baru di gedung Jakel yang memberikan layanan mesra.
Program ini turut meriah dengan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor, yang turut menyampaikan sumbangan dan berinteraksi dengan murid-murid mengenai pelajaran mereka.
Zah Mohamad menekankan bahawa program ini memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak yatim dan fakir, yang juga berhak menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Hayrat Relief Malaysia, sukarelawan, dan semua pihak yang terlibat.
KPIBKS berharap untuk meneruskan program ini pada tahun akan datang dengan kerjasama lebih banyak pihak bagi membantu lebih ramai anak yatim dan fakir, bukan sahaja sempena Aidilfitri tetapi juga dalam kehidupan seharian mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Wakil PBKKTM menyerahkan sumbangan kepada balu dan keluarga bekas kakitangan KTM di Gemas.
YKN dan PBKKTM beri sumbangan kepada 160 asnaf di kalangan ahli
Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) telah memberikan sumbangan food bank kepada 160 asnaf dari kalangan ahli persatuan bagi kategori B40, termasuk balu dan bekas kakitangan KTM, serta asnaf sekitar Gemas, Negeri Sembilan, dan Tumpat, Kelantan, baru-baru ini.
Majlis sumbangan diadakan di Surau Al Raudah Taman Gemas yang diadakan dihadiri oleh wakil CEO YKN, Hartini Abdul Rahim, bersama Penasihat Yang Dipertua PBKKTM, Dato’ Dr Sukarno Wagiman, dan wakil-wakil lain dari PBKKTM Negeri Sembilan dan YKN Putrajaya dan sebanyak 50 penerima menerima bantuan.
Manakala. di Tumpat, sumbangan diberikan kepada 110 penerima di Pekarangan rumah Lot 2370, Kampung Ana, yang dihadiri oleh Pengarah Zon Pantai Timur YKN, Zamie Muhamad, bersama wakil PBKKTM Negeri Kelantan.
Penerima di Tumpat terdiri daripada balu, bekas kakitangan KTM, dan asnaf yang bergantung kepada aktiviti harian seperti berkebun dan berniaga kecil-kecilan.
Program ini juga melibatkan sesi kaunseling untuk penerima yang sakit dan uzur.
Abdul Rahim Osman, Setiausaha PBKKTM, mengucapkan terima kasih kepada YKN atas perhatian dan bantuan yang diberikan, yang sangat meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
Sumbangan ini sangat dihargai oleh penerima, terutama balu dan bekas kakitangan KTM yang bergantung kepada pencen yang tidak mencukupi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ahli Jawatankuasa KESUMA’24 Ithnin Jupri (kanan) bersama ahli Skuad Kasih FSSK melihat bubur lambuk yang hampir masak.
Zayan Bubur Lambuk: Memupuk Semangat Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum
Program Zayan Bubur Lambuk bukan hanya sekadar inisiatif untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada komuniti, tetapi ia juga menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum yang dititikberatkan oleh Kerajaan Madani.
Zayan, sebuah stesen radio berbahasa Melayu yang dikendalikan oleh Astro Radio, mengambil peluang untuk menganjurkan program ini setiap Ramadan sebagai tradisi yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di kalangan masyarakat.
Pada tahun ini, program tersebut berlangsung di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada Jumaat, di mana lima periuk bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada 2,000 penerima.
Wan Syahrul Amry (tiga dari kanan) mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan Muhammad Syafiq bersama staf Astro dan ahli Skuad Kasih FSSK.
Program ini mendapat kerjasama dari pelbagai pihak seperti Hitz, Mix, Lite, Astro Awani, Astro Kasih ESG, dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), serta melibatkan 40 staf Astro, petugas PJMM, Skuad Kasih Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24).
Wan Syahrul Amry Wan Mansor, Brand Manager Zayan Radio FM Astro, berkata, selain memperoleh pahala daripada berkongsi rezeki dengan masyarakat, program ini juga merupakan kali pertama diadakan di pusat jagaan warga emas.
“Program ini bukan hanya tentang memberi, tetapi ia juga mengajar nilai bergotong-royong dalam kalangan generasi muda, tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Ini adalah amalan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat, tetapi semakin dilupakan oleh sebahagian besar generasi muda,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pembabitan generasi muda dalam aktiviti kebajikan seperti ini penting untuk menanamkan nilai murni dalam kerja sosial.
Katanya, melalui program ini, peserta dapat melihat realiti kehidupan warga emas yang terpinggir dan memerlukan sokongan, mengingatkan kita bahawa nasib kita juga belum tentu seperti yang dirancang.
Program Zayan Bubur Lambuk juga diserikan dengan kehadiran artis terkenal seperti Zizan Razak, Alif Satar, serta pelakon drama popular Astro.
Ahli Jawatankuasa KESUMA’24 merakam kenangan bersama Alif Satar.
Mereka turut serta dalam menyantuni warga emas PJMM dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk Kampung Sungai Purun, memberi semangat dan kegembiraan kepada mereka.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, pula berkata bahawa program ini memberikan impak yang besar kepada penghuni pusat jagaan, yang selama ini menantikan kehadiran ahli keluarga mereka.
“Kehadiran masyarakat, media, dan selebriti pada acara ini sedikit sebanyak meringankan rasa kesepian mereka. Syafiq juga mengharapkan lebih banyak program kebajikan sebegini dianjurkan untuk memberi kesedaran mengenai kes pengabaian warga emas dan peranan pusat kebajikan dalam masyarakat.
Bagi ahli Skuad Kasih FSSK, Nurul Aiman A Rahman, program seperti ini memberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan mendalami permasalahan mereka secara langsung, terutamanya warga emas.
Rakan sejawatnya, Mohamad Hanif Mohamad Jani, pula berkata, program ini memberi pengalaman berharga dalam mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan mendedahkan mereka kepada realiti kehidupan masyarakat yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Secara keseluruhannya, program Zayan Bubur Lambuk bukan hanya bertujuan untuk menyantuni warga emas, tetapi juga untuk menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat umum. Program ini adalah satu contoh yang baik tentang bagaimana budaya gotong-royong dan nilai kemasyarakatan dapat terus dipupuk, sekaligus mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang ukir kejayaan luar biasa tingkat hasil pendapatan
LIPIS – Pahang terus mengukir pencapaian yang luar biasa dengan unjuran peningkatan hasil pendapatan negeri sebanyak 174.9 peratus daripada RM434.3 juta pada 2018 kepada RM1.194 bilion pada 2024.
Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Seri abdul Rahman berkata, di bawah kepimpinan cemerlang Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, negeri Pahang berjaya menjadi peneraju dalam pembangunan ekonomi negara.
“Kejayaan ini adalah bukti jelas hasil pentadbiran negeri ini yang berwawasan, pengurusan sumber yang bijaksana dan dasar-dasar progresif yang sentiasa berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.
“Negeri ini berjaya memanfaatkan potensi negeri secara optimum, sama ada melalui pengurusan hasil bumi, perancangan ekonomi yang bijak, mahupun pelaksanaan dasar yang berkesan,” katanya di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berharap Menteri Besar Pahang dan barisan kepimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Anggota Kerajaan Negeri Pahang terus makmur, sejahtera, dan menjadi contoh teladan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Semoga kejayaan ini berterusan dan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Pahang, serta menjadi inspirasi kepada generasi masa depan untuk terus memajukan negeri tercinta ini.
“InsyaAllah, bersama kita menjadikan Pahang sebagai negeri terunggul di persada dunia,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Agrobank mengumumkan tawaran moratorium sehingga enam bulan serta penggantian buku akaun dan kad debit secara percuma khusus untuk pelanggan-pelanggan bank yang terjejas banjir.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya memahami kesukaran pelanggan-pelanggan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini khususnya di Terengganu dan Kelantan.
“Agrobank merangka pelan-pelan khusus untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir dan diharapkan bantuan pembayaran ini dapat memberikan sokongan yang diperlukan dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini.
“Saya dimaklumkan ada di antara pelanggan kami yang mengalami kerosakan harta benda, ladang dan kegiatan pertanian mereka, kejadian ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Katanya, ada pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.
“Pelanggan yang terjejas dan layak , boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing.
“Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,” katanya.
Katanya, untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau boleh memohon di laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank berdekatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melaksanakan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) di semua peringkat industri.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dasar itu bertujuan menyatakan komitmen kepimpinan negara untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi pengurusan risiko dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif.
Katanya, penetapan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dijalankan dari semasa ke semasa agar sentiasa relevan dengan risiko di tempat kerja.
“Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) Pindaan 2022; dan Gubalan Peraturan baru di bawah AKKP Kemaskini dan gubalan pelbagai Garispanduan dan Industry Code of Practice (ICOP) seperti Pengurusan Risiko bagi mengenalpasti hazard, menaksir dan mengawal risiko di tempat kerja.
“Selain itu, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021 – 2025 (OSHMP25) iaitu pelan strategik jangka sederhana negara dalam meningkatkan tahap KKP negara,” katanya.
Abdul Rahman berkatanya, OSHMP25 bersifat lebih inklusif, menyeluruh dan nasional, bertujuan menggalakkan penyertaan dan komitmen semua pihak yang berkepentingan dalam menjayakan misi nasional ini.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Lipis berkata, Intervensi KKP yang berterusan melalui audit pematuhan, pemeriksaan, pemonitoran dan siasatan aduan merangkumi semua sektor pekerjaan.
“Pada tahun 2023, sebanyak 396,342 aktiviti pemeriksaan dan pencegahan kemalangan serta penyakit pekerjaan telah dijalankan.
“Penguatkuasaan KKP yang tegas melalui siasatan kemalangan dan tindakan punitive, sebanyak 53,005 tindakan punitif telah dikenakan termasuk pendakwaan (penalti berjumlah RM 2.6 juta), kompaun (berjumlah RM 1.47 Juta), notis dan surat arahan, pada tahun 2023, merangkumi semua sektor pekerjaan,” katanya.
Tambahnya, peningkatan bilangan Orang Yang Kompeten (OYK) dan Orang Yang Terlatih (Trained Person) yang berdaftar dengan JKKP dan aktif sehingga Disember 2023 adalah seramai 99,902 orang (OYK : 73,674 dan OYT : 26,228) .
“Antara tanggungjawab-tanggungjawab OYK dan OYT adalah untuk membantu majikan untuk meningkatkan tahap pengurusan KKP, meningkatkan pematuhan perundangan KKP di tempat kerja dan mempromosi budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja.
“Mempromosi dan latihan KKP bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman majikan dan pekerja berkenaan perundangan dan amalan KKP yang terbaik di tempat kerja dan sepanjang Tahun 2023, sebanyak 15,506 aktiviti promosi KKP telah dijalankan, antaranya Program OSH Compliance Support dan Outreach; Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Webinar, dialog, temubual televisyen / radio dan hebahan di media sosial.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Laluan tren Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang menjadi nostalgia merentasi tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu dan melalui beberapa bandar cukup dikenali sebelum ini sebagai ‘Old Jungle Train’ boleh dijadikan satu produk pelancongan baharu negeri Pahang.
Laluan landasan keretapi ini yang panjang dikelilingi dengan hutan, ladang sawit dan getah serta landskap semulajadi cukup memukau pemandangan yang diingini oleh pelancong khususnya dari luar negara boleh dijadikan sebagai produk pelancongan baharu dan unik serta berbeza di negeri ini menerusi Pahang Rail Tourism 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tersebut dilakukan dengan kerjasama Tourism Pahang; Tourism Malaysia; Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
Katanya, laluan kereta api di negeri ini terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bermula dari Bahau, Triang, Bera, Mentakab, Jerantut dan Kuala Lipis seterusnya ke Merapoh yng kaya dengan gua semulajadi dalam zon pelancongan semula jadi.
“Kaedah menggunakan keretapi ini dapat meningkatkan bilangan pelancong untuk datang ke Pahang dan tujuan kita memberi peluang pelancong melihat lebih dekat lagi produk pelancong semulajadi yang kaya di negeri ini.
“Kalau kita tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang baharu untuk menarik pelancong, kita bimbang negeri-negeri lain mempunyai cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan dan kita akan kerugian,” katanya di Majlis Perasmian Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Lipis di sini, semlam.
Datuk Seri Wan Rosdy tidak melepaskan peluang mencuba dan melihat di kokpit pemandu tren tersebut sempena program tersebut.
Katanya, berdasarkan statistik kedatangan pelancong tahun 2023, seramai 13.2 juta pelancong telah hadir ke negeri Pahang.
“Sehingga setengah tahun pertama 2024 (Jan – Jun), kira-kira 5.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara telah berkunjung ke Pahang dengan anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM 5.3 biilion,” katanya.
Katanya, pelancong terutamanya yang datang ke daerah Lipis, memang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang telah diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.
“Kita kena kuat mempromosikan produk kita, kalau kita kurang promosi dan menyediakan kemudahan yang bagus, pelancong akan beralih ke tempat lain.
“Perkhidmatan kereta api pada masa kini bukan lagi sekadar pengangkutan semata-mata tetapi ia perlu dipertingkat sebagai satu produk pelancongan yang unik dan menarik ,” katanya.
Program itu juga menawarkan 38 pakej yang ditawarkan yang melibatkan sembilan agensi pelancongan berdaftar dari seluruh Pahang.
Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau; Gua Sisik Naga; Gua Tahi Bintang; Bandar Kuala Lipis; Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ada pihak perkecilkan peranan kerajaan Pahang kononnya tidak Islamik
JERANTUT – Ada pihak memperkecilkan peranan kerajaan negeri Pahang kononnya kerajaan sekarang tidak Islamik untuk meningkatkan syiar Islam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kesal tohmahan pihak tertentu itu menyatakan beliau dan bersama rakan kerajaan negeri ini tidak berperanan begitu Islamik berbanding dengan pihak mereka.
Katanya, kerajaan sekarang sangat komited untuk meningkatkan syiar Islam bersama semua umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang, fahaman politik atau pangkat.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri mengeluarkan RM10,000 kepada 5,000 masjid dan surau bagi memperkukuhkan peranan institusi keagamaan itu.
“Selain itu, turut menyumbang sebanyak RM 2,000 kepada 200 Pusat Maahad Tahfiz yang ada di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Prhatin Masjid dan Surau, hari ini.
Katanya, seramai 8,800 pelajar pusat Tahfiz juga tidak terkecuali dengan menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.
“Golongan mualaf turut menerima sebanyak RM 200 setiap seorang yang seramai 5,000 orang.
“Bantuan dan sumbangan yang disampaikan itu menunjukkan kerajaan negeri sangat prihatin dengan meningkatkan Syiar Islam di negeri ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!