Kerajaan Pahang umum RM12.95 Juta untuk bantuan khas Aidilfitri 2023
KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri 2023 sebanyak RM12.95 juta kepada 8,000 penjawat awam dan beberapa kategori penerima di negeri ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kategori penerima melibatkan RM1,200 seorang bagi setiap penjawat amam di negeri ini.
Selain itu, bagi kategori kedua pula sebanyak RM200 setiap penerima anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 700 orang.
Manakala, RM200 pula kepada pesara kerajaan negeri Pahang seramai 4,500 orang dan seramai 7,000 orang ibu tunggal miskin turut menerima RM200 setiap seroang.
Tidak dilupakan setiap Pengerusi JPKK, Timbalan Pengerusi JKKKR, Pengerusi JPKKOA dan Tok Batin dan Setiausaha JPKK seramai 2,773 orang akan menerima RM200.
Katanya, bantuan khas ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM12.95 juta dengan jumlah keseluruhan penerima seramai 22,973 orang dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban penerimanya dalam membuat persiapan hari raya yang dijangka disambut pada 22 April ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Zamila menunjukkan barangan antik koleksi beliau di rumahnya.
Zamila tebal muka untuk kutip barang lama di tempat sampah
AMPANG – Zamila Majlis menebalkan muka bertanya serta meminta izin dengan sesiapa sahaja apabila mengetahui ada timbunan sampah dibuang di depan rumah orang untuk diselongkar bagi mencari barangan lama yang boleh dijadikan koleksi antik.
Beliau yang lebih senang dipanggil Mama Mila berkata, di usia warga emas ini, dia berasa tenang apabila berada di rumah dengan dikelilingi pelbagai barangan antik yang dikumpulnya sejak 38 tahun lalu.
“Saya tidak pernah bekerja tetap, saya lebih tumpukan kepada menjadi seorang sukarelawan dengan membantu banyak pihak di hospital sekitar Lembah Kelang, saya suka membantu orang dan setiap kerja dilakukan dengan ikhlas.
“Hobi mengumpulkan barangan lama atau antik bermula sejil dan semakin berputik tanpa didorong oleh sesiapa pun dan tidak berasa malu untuk menyelongkar tempat pembuangan sampah apabila ternampak barangan lama dibuang,” katanya.
Katanya, kebiasaannya nasib menyebelahi dia apabila terjumpa barangan lama yang dibuang oleh pemiliknya dengan alasan tidak dapat digunakan lagi atau rosak tetapi mempunyai nilai kerana barangan itu sukar untuk dijumpai sekarang ini.
“Saya tidak pernah membeli barangan lama yang dikumpul ini, semua saya cari sendiri atau disumbangkan oleh kenalan apabila mereka mengetahui saya menjadi pengumpul barangan lama sebagai koleksi.
“Secara tidak langsung juga sebagai sukarelawan saya mengenali ramai orang dan sesetengah mereka pula menjadi pemberi maklumat di mana boleh saya dapatkan barangan lama yang dibuang dan sebagainya,” kata Mama Mila yang ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor.
Beg berbentuk kotak seakan besi yang dipanggil beg KTM Malaya.
Beliau yang kini berganjak usia 63 tahun berkata , selepas memiliki rumah sendiri kediamannya itu tidak ubah seperti mini muzium yang tersimpan lebih 500 koleksi pelbagai barangan antic.
“Antara brang antik yang saya simpan seperti seperti dacing, seterika besi dan tembaga berkepala ayam, radio, telefon, peralatan muzik seperti gitar, biola, trumpet, pinggang mangkuk tembikar, wang, pakaian lama, beg berbentuk kotak seakan besi yang disebut beg KTM Malaya dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, ramai yang berkunjung ke rumah dia atau menghubungi menerusi telefon apabila mengetahui beliau ada menyimpang barangan lama dan mereka itu berminat untuk membeli dengan menawarkan harga tinggi bagi satu-satu barang berkenaan.
Jelasnya, yang datang ke rumah beliau, dia izinkan mereka untuk melihat secara dekat barangan yang menarik minati untuk dimilik di samping bertanya pelbagai soalan khusus bagaimana boleh menemui barangan itu kerana mempunyai nilai antik yang mahal.
“Mereka juga agak terkejut apabila mengetahui barangan itu dicari sendiri dengan menyelongkar tempat pembuangan sampah termasuk tong sampah depan rumah orang apabila ternampak barangan lama ada dibuang.
“Perasaan malu memang ada, malah ada yang salah anggap sesetengah orang adalah perkara biasa ketika itu asalkan hati saya berasa puas apabila terjumpa barangan lama yang mempunyai nilai antik jika disimpan dan dijaga dengan sempurna,’ katanya.
Katanya, ada yang melucukan ada kaki judi nombor ekor datang ke rumahnya untuk membeli seterika berkepala ayam ini untuk tujuan pemujaan dan mereka hampa apabila dia bertegas tidak menjualnya apatah lagi bagi tujuan tidak baik.
Mama Mila berkata, semakin lama barangan itu disimpan terasa nilai sentimentalnya dan menjadi tempat terapi minda dia mengingati kisah silam seperti pada tahun 60-an dan 70-an ketika itu dia muda remaja serta masih cergas.
“Bagaimanapun, setakat ini banyak barangan antik itu disewakan untuk menjadi ‘prop’ kepada syarikat perfileman yang membuat drama atau filem lama bagi tempoh tertentu bersesuaian dengan skrip serta jalan cerita mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tempoh berpuasa paling lama dan paling singkat di dunia
Lebih daripada 1.9 bilion orang Muslim di seluruh dunia melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan, tempoh waktu berpuasa tahun ini berbeza antara 10 hingga 18 jam bergantung kepada kedudukan geografi tempat itu.
Faktor perbezaan tempoh waktu berpuasa disebabkan oleh tempoh waktu siangnya yang panjang dan malam yang disebabkan oleh kedudukan kecondongan (miring) bumi dan kedudukan matahari .
Araub Saudi
Di negara-negara yang terletak lebih dekat dengan khatulistiwa, waktu berpuasa cenderung lebih singkat, manakala yang terletak lebih jauh, terutamanya di latitud utara dan selatan, mengalami tempoh waktu berpuasa yang lebih lama.
Ini turut bergantung pada waktu dalam tahun tersebut, malah tempoh berpuasa boleh melebihi 20 jam.
Di beberapa kawasan termasuk Greenland dan Alaska, matahari tidak pernah terbenam, para ulama Islam menyarankan umat Muslim di situ berpuasa mengikut waktu berpuasa di Mekah, Arab Saudi.
Mereka (ulama) sudah lama bersepakat menggunakan cara ini kerana Arab Saudi adalah rumah bagi Kaabah.
Kebanyakan tempoh waktu berpuasa di seluruh dunia biasanya antara 14 hingga 15 jam. Di Arab Saudi, UAE, dan Qatar, umat Muslim akan berpuasa sehingga 14 jam sehari sepanjang bulan Ramadan.
Berikut ini adalah senarai negara di mana umat Muslim akan berpuasa dalam waktu paling lama dan singkat pada tahun 2023:
Tempoh waktu berpuasa paling lama dialami penduduk di Nuuk, Greenland , 18 jam; Reykjavik, Iceland (18 jam) ; Helsinki, Finland (17 jam); Glasgow, Scotland (17 jam); Ottawa, Canada (17 jam) dan London, United Kingdom (16-17 jam).
Turut terlibat dengan tempoh berpuasa yang lama, Paris, France, 16-17 jam; Zurich, Switzerland (15 jam) ; Rome, Itali (15 jam) dan Madrid, Spain (15 jam).
Tempoh waktu berpuasa paling singkat antaranya ialah, Christchurch, New Zealand, 12 jam; Puerto Montt, Chile selama 12 jam; Buenos Aires, Argentina (12 jam); Jakarta, Indonesia (13 jam); di Nairobi, Kenya waktu berpuasa selama 13 jam; Karachi, Pakistan, 13-14 jam; di New Delhi, India (13-14 jam).-SAHIH.
Sumber : https://helloworld-i4ln6sgakq-an.a.run.app/aHR0cCUzQSUyRiUyRnc5bm5sOS5jbiUyRjY2NDFmMTE4YThlNGIwZTVkYTAxMmVmMzEx
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mohiadin Bahado dan Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial (duduk kiri) merakam kenangan bersama-sama warga emas, pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
20 pegawai perubatan HTJS santuni warga emas di PJNH
SEREMBAN – Dua puluh pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) turun padang ke program komuniti di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, , baru-baru ini.
Ketua Bidang Negeri Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Negeri Sembilan, Norizawati Zainol, berkata pembabitan mereka dalam program itu juga bersempena Hari Kerja Sosial Sedunia yang disambut setiap tahun, antara lain sebagai menghargai sumbangan dan jasa mereka.
Katanya, kesinambungan daripada melakukan kerja sosial di hospital pegawai terbabit dibawa keluar dengan mengunjungi pusat jagaan seperti PJNH untuk turut berasa pengalaman petugas yang setiap hari sabar menyantuni warga emas dengan pelbagai karenah.
“Pendedahan sebegini amat penting dipelajari dalam mengenali sifat serta kelakuan warga emas yang tiada waris, disisih keluarga serta menghadapi bermacam-macam tekanan perasaan dan perlu ditangani dengan baik.
“Di samping bergotong-royong melakukan kerja pembersihan dan sebagainya itu, kesempatan mendampingi warga emas dengan bertanya khabar serta melayani luahan perasaan mereka akan membawa kelegaan kepada penghuni ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia, Pegawai Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Negeri Sembilan (PKSP N9) anjuran PKSP N9 dengan Kerjasama Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di PJNH.
Katanya, pegawai terbabit juga berpeluang membuat penilaian dari segi teori dan pratikal berdasarkan pengetahuan serta pengalaman yang sudah dimiliki untuk menghasilkan suatu perkhidmatan terbaik sebagai pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan.
Dr Mohd Syazmi Zuwairy menanam pokok sebagai tanda terima kasih kepada PJNH.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 2, HTJS, Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial. Turut hadir Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Insan, Mohd Syafiq Mohiadin; Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris), Kedah, Azmi Mat Napiah; dan Pegawai Media Pewaris, Azhar Mohd.
Pada program berkenaan yang juga bersempena menyambut Ramadan, Pewaris menyumbangkan 100 pek beras pulut untuk diagihkan kepada tiga pusat jagaan iaitu PJNH, Mahmudah Malaysia dan Insan manakala pegawai kerja sosial melakukan tugasan gotong-royong menukar cadar baharu tilam warga emas, membersih surau dan persekitaraan PJHN.
Dr Mohd Syazmi menasihatkan warga emas supaya jangan terlalu melayani emosi apabila berasa amat sedih disisih ahli keluarga atau tiada waris sebagai tempat mengadu serta menumpang kasih.
“Dalam usia yang lanjut dan menghidap pelbagai penyakit seharusnya tetap ceria serta bersemangat kerana petugas PJNH sentiasa menyantuni mereka dengan baik ibarat anak melayani seorang ayah sebagai satu ibadah kerana Allah.
“Kita pertingkat amalan harian kerana PJNH menyediakan ustaz yang bersedia memberi bimbingan di samping berdoa bagi kesejahteraan ahli keluarga serta anak semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk datang menziarah,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Haris Salleh Hamzah (depan, kiri) menyampaikan sumbangan bulan Ramadan kepada isteri Wan Alias Wan Mamat, Kamariah Abd Samad (tengah) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4, bandar Jerantut baru-baru ini.
UMNO Jerantut bantu mangsa kebakaran PAKR bandar Jerantut
JERANTUT : Keluarga Wan Alias Wan Mamat, 71, yang terbabit dalam kejadian sebuah bilik rumahnya terbakar baru-baru ini, mendapat perhatian daripada Umno Bahagian Jerantut.
Ketua Umno Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,250 hasil sumbangan kilat di kalangan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian kepada isteri Wan Alian, Kamariah Abd Samah, 73 tahun ketika menziarah keluarga tersebut.
“Sumbangan awal ini sebagai tanda simpati atas kejadian dan membolehkan keluarga ini berbelanja dalam tempoh bulan Ramadan.
“Manakala pihak kita akan usahakan untuk mendapatkan bantuan daripada Pejabat Menteri Besar Pahang dan Majls Ugama Islam Pahang (MUIP) untuk baik pulih kediaman mangsa termasuk perubatan Wan Alias Wan Mamat yang masih cedera, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan di Perumahan Awam Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, Jerantut baru-baru ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Yayasan Pahang sumbang RM173, 700 kepada orang kurang berkemampuan
LIPIS – Yayasan Pahang (YP) memperuntukkan sebanyak RM173, 700 kepada 529 orang penerima daripada golongan kurang berkemampuan di 13 kampung kawasan Jelai sempena bantuan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sungai Koyan dekat sini, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan tersebut di bawah pengurusan YP sempena program Ahlan Ramadan dengan tema ‘Ramadan Dinanti, Rahmat Ilahi’ untuk mengimarahkan bulan mulia ini.
“Kerajaan negeri dan YP amat prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan khususnya berbelanja keperluan juadah berbuka puasa dan pakaian baharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
“Berasaskan perolehan kewangan kerajaan negeri dan YP yang baik, kita menaikkan tambahan RM100 tahun ini menjadi jumlah sumbangan RM300 masing-masing penerima,” katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas penyampaian sumbangan tersebut di Sungai Koyan dekat sini kepada seramai 148 orang anak yatim, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) (260 orang) serta ibu tunggal (121 orang).
Beliau berkata, untuk sumbangan di DUN Jelai seramai 148 orang anak yatim, pesakit kronik/orang kurang upaya (OKU) (260 orang) dan ibu tunggal (121 orang).
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Jelai selanjutnya berkata, penerima tersebut juga masing-masing menerima juadah buah kurma YP yang bernilai RM20, 000 yang melibatkan jumlah keseluruhan sumbangan RM173, 700.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja aspek kebajikan, tetapi termasuk pembiayaan pendidikan termasuk pembiayaan maahad tahfiz telah dimulakan sejak YP ditubuhkan pada 1982 bernilai RM1.38 bilion untuk manfaat lebih 1.7 juta penerima.
“Sempena pembukaan sekolah sesi 2023/2024, kerajaan negeri juga melalui Yayasan Pahang telah memberikan Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) kepada seramai 44,379 orang murid di negeri ini bernilai RM13.3 juta.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Bahagian dapur hotel Swiss Bell Kuantan di bandar ini terbakar pada jam 5.29 petang, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bahagian dapur yang terbakar berukuran 6 meter x 6 meter (20 kaki x 20 kaki).
Katanya, pegawai operasi melaporkan seramai 8 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan telah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
“Tahap kebakaran bahagian dapur itu sebanyak 40 peratus dan api berjaya dipadamkan menggunaka sistem pancuran (sprinkler) hotel.
“Terdapat 10 orang lelaki dan wanita dipercayai pekerja selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu, penumpang terselamat dalam kemalangan dengan lori balak
LIPIS : Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4×4) Ford Ranger terselamat dalam kemalangan yang berlaku di KM 12, Jalan Lipis – Merapoh pada jam 2.15 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kenderaaan itu dari arah Merapoh ke Lipis sedang bergerak mendaki bukit di laluan tersebut, tiba-tiba cuba memotong sebuah lori treler muatan balak dari arah yang sama di hadapan.
“Pemandu itu dipercayai hilang kawalan terus melanggar belakang lori treler tersebut. Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat rida hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kemalangan berlaku di kawasan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan, jalan 4 lorong dua hala dan pada ketiak kejadian keadaan cuaca baik dan keadaan permukaan jalan kering,” katanya.
Katanya, disebabkan kemalangan itu, berlaku kesesakan dan kenderaaan terlibat dalam kemalangan itu telah dialihkan dari tempat kemalangan.
“Diharap semua pengguna laluan tersebut diharap berhati-hati dan memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan yang baik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sebahagian mangsa banjir merakamkan kenangan bersama-sama sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dan Badan Didikan Islam UDA holdings Berhad (Badim) selepas menerima sumbangan barangan makanan asas dan wang tunai , baru-baru ini.
Penduduk terkesan banjir gembira terima kunjungan misi bantuan
YONG PENG – Penduduk yang terkesan ditimpa bencana banjir terubat apabila menerima kunjungan misi bantuan banjir pasukan sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) bersama Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), baru-baru ini.
Mangsa banjir terbabit melahirkan rasa bersyukur dengan kunjungan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan bebanan mereka selepas banyak peralatan dan perabot dalam rumah rosak dan diseliputi lumpur akibat digenangi banjir bermula pada 10 Mac 2023 lalu.
Azhar Yop menyerahkan bungkusan barangan makanan asas kepada seorang mangsa banjir.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Sri Gading, Johor, Asmah Kassim, berkata bantuan yang disumbangkan oleh PKMM dan Badim amat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh ahli-ahlinya yang menjadi mangsa banjir.
Katanya, sebanyak 36 rumah ahli PITKM di beberapa kampung sekitar daerah berkenaan ditenggelami banjir apabila air melimpah masuk ke dalam rumah antara paras lutut dan dada menyebabkan banyak barangan seperti perabut, tilam, sofa, peti ais, televisyen dan sebagainya rosak.
“Kedatangan NGO ini untuk membantu membersihkan rumah serta peralatan sangat membantu kerana tidak termampu untuk kami lakukan sendirian dalam keadaan perasaan yang tertekan serta berduka.
“Sumbangan bungkusan makanan asas harian berserta wang tunai walaupun tidak banyak amat menggembirakan dan menyejukkan hati kami yang dalam kalangan ibu tunggal ini,” katanya ketika hadir bersama ahli menerima sumbangan daripada PKMM dan Badim.
Penyelaras pasukan misi bantuan banjir PKMM dan Badim, Azman Rasman, berkata pasukan itu yang turut disertai sukarelawan Hospital Kajang dan Hospital Ampang di Selangor turut membawa 50 bungkusan makanan asas berserta wang tunai dan pakaian terpakai adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk individu prihatin untuk membantu mangsa banjir.
Jelas beliau, di samping itu mereka turut membawa peralatan untuk membantu dalam kerja pembersihan terutama mencuci lumpur yang meliputi lantai dan barangan dalam rumah serta pam bagi menyedut air keluar.
“Dalam masa yang terhad kami hanya mampu membersih beberapa rumah di Kampung Jalan Lama Yong Peng, Kampung Parit Amir, Kampung Parit Tengah termasuk bahagian bawah Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng,” katanya.
Sementara itu aktivis masyarakat, Nordin Mokri, berkata kehadiran pelbagai NGO banyak membantu mangsa banjir apabila ada di antara mereka berasa amat tertekan apabila melihat keadaan rumah ditakungi air banjir yang tidak dapat mengalir keluar kerana berada dalam kawasan rendah.
Menurutnya, dia bergegas datang untuk membantu pasukan sukarelawan PKKM dan Badim apabila dimaklumkan mereka akan mengunjungi kampung berkenaan untuk membantu mangsa banjir dan menagihkan bungkusan barangan makanan asas.
Mangsa banjir memilih pelbagai pakaian terpakai untuk dibawa pulang.
Tambahnya, seperti mangsa banjir dia juga berasa amat terharu kerana ada pihak jauh dari daerah itu sanggup datang walaupun dalam masa terhad bagi menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk meredakan tekanan perasaan mangsa banjir.
Jelas beliau, apabila mangsa banjir berkumpul di satu tempat untuk menerima agihan bantuan itu secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara mereka yang sama-sama ditimpa kesusahan serta dugaan akibat bencana alam berkenaan.
“Daripada pengalaman saya, banjir ini lebih besar berbanding tahun 2006 lalu dan kedukaan mangsa banjir amat terasa apabila terpaksa bersabar dan berjimat kerana mereka juga membuat persiapan untuk persekolahan anak,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) merakamkan kenangan bersama-sama Dr Rahimah, Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Kebajikan, Kelab Kejururawatan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang, Selangor serta pihak pengurusan PJMM selepas Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang, baru-baru ini.
Hospital Ampang bekerjasama dengan pusat jagaan warga emas
AMPANG – Hospital Ampang, Selangor akan sentiasa bekerjasama terbaik dengan pusat jagaan dalam memastikan warga emas tersisih dan tiada waris yang discaj dari hospital mempunyai tempat yang selamat untuk berteduh bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Jabatan Kerja Sosial Hospital akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan terlebih dahulu cuba mengesan saudara mara warga emas terbabit sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menghantarkan mereka ke pusat jagaan selepas usaha itu gagal.
Dr Rahimah Sahudi menyerahkan sumbangan Kelab Sukan & Kebajikan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa kelab..
Timbalan Pengarah Perubatan 3, Hospital Ampang, Selangor, Dr Rahimah Sahudi, berkata langkah itu bagi memastikan warga emas berkenaan mendapat pembelaan serta penjagaan dengan sempurna terutama memastikan kesejahteraan kesihatan mereka.
Menurutnya, tidak dinafikan peranan yang dimainkan pusat jagaan atau rumah kebajikan banyak membantu pihak hospital kerana mereka yang keluar dari wad biasanya sudah kembali sihat dan kekosongan di wad akan digunakan oleh mereka yang memerlukan rawatan.
“Saya difahamkan walaupun selesa berada di pusat jagaan ini pihak pengurusannya tetap berusaha mengesan waris atau saudara mara warga emas terbabitkan untuk memaklumkan kepada yang terpisah kerana pelbagai faktor.
“Tetapi apabila kekurangan maklumat mengenai warga emas seperti mana dihadapi Jabatan Kerja Sosial Hospital, selalunya usaha yang baik ini menemui kegagalan,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Program itu anjuran Kelab Sukan & Kebajikan dan Kelab Kejururawatan Hospital Ampang serta Puspanita cawangan hospital berkenaan.
Turut hadir Pengerusi PJMM, Azman Rasman, Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado, Pengurus, Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden dan Mohammad Syafiq Mohiadin.
Dr Rahimah turut menyarankan Kelab Sukan dan Kebajikan dan Kelab Kejururawatan serta Puspanita lebih kerap mengadakan aktiviti di pusat jagaan berkenaan dalam usaha memberi kegembiraan di samping keceriaan kepada warga emas di situ.
Menurutnya, mereka juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di pusat itu dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan dan kebersihannya serta mengambil warga emas sebagai ibu atau bapa angkat bagi membantu meringankan bebanan pihak pengurusan.
“Saya kagumi PJMM ini walaupun wujud sebagai pusat jagaan tidak berbayar tetapi masih mampu menyantuni warga emas dengan sempurna dan amat wajar bagi semua pihak membantu mereka daripada pelbagai segi,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Bekas Pelajar (Perempuan) 82 – 86 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu menyantuni warga emas di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) pada 18 Februari lalu.
Wakil kumpulan itu, Aniza Abd Ghani, berkata kunjungan itu untuk melihat lebih dekat PJMM dan PJNH dalam menguruskan warga emas di situ yang mungkin tidak termampu dilakukan kebanyakan orang termasuk anak sendiri.
Jelasnya, ahli kumpulan itu sudah lama mengadakan kutipan setiap bulan untuk disalurkan kepada pusat berkenaan yang sekurang-kurangnya meringankan kos pembiayaan dan paling penting merapatkan lagi ukhuwah antara mereka yang kini berjaya dalam pelbagai bidang serta kerjaya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!