Pemindaan Akta Kerjasama Perkukuh Peranan Gerakan Koperasi
Pemindaan Akta Kerjasama Perkukuh Peranan Gerakan Koperasi
KUALA LUMPUR – Pemindaan Akta Kerjasama yang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang akhir tahun ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan peranan gerakan koperasi negara.
Langkah tersebut bertujuan mempertingkatkan keselamatan, tadbir urus dan pada masa sama meliberalisasikan urusan koperasi agar lebih tangkas dalam menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi semasa.

Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik (tengah) menerima sejambak bunga daripada Ibrahim Marlan (kiri)
Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, meskipun terdapat kemungkinan kelewatan dalam proses tertentu, termasuk yang melibatkan kelulusan dari kementerian lain seperti sektor farmasi dan pusat dialisis, perubahan ini bakal membawa impak positif jangka panjang.
“Penambahbaikan ini dijangka memberi ruang dan fleksibiliti kepada koperasi untuk bertindak lebih pantas dalam aspek penubuhan dan operasi.
“Pindaan akta ini juga akan membuka laluan kepada ANGKASA untuk diiktiraf sebagai perbadanan di bawah kerangka Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), sesuatu yang sedang diusahakan oleh pihak kementerian,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-27 Koperasi Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di ibu negara, semalam.
Katanya, setakat ini, Malaysia mempunyai sekitar 11,100 koperasi aktif, tidak termasuk koperasi sekolah dan merangkumi pelbagai skala dan sektor ekonomi.
“Dengan pindaan ini, lebih banyak koperasi kecil akan diberi penekanan dari sudut pengauditan dan pendaftaran, di samping itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan akta baharu ini.
KGMMB Kekal Antara Koperasi Terbaik Negara

Persidangan Koperasi KGMMB yang berlangsung di ibukota, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi KGMMB, Ibrahim Marlan memaklumkan bahawa koperasi tersebut kekal tersenarai dalam 100 koperasi terbaik negara dengan menduduki tempat ke-40 secara keseluruhan dan ke-16 terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2024.
Menurutnya, walaupun keuntungan bagi tahun ini menurun 16 peratus kepada RM3.7 juta berbanding RM4.4 juta pada 2023, pendapatan keseluruhan meningkat kepada RM6.4 juta dengan perbelanjaan berjumlah RM2.6 juta.
“Sebanyak RM1.7 juta telah diagihkan kepada anggota melalui Tabung Perlindungan Kebajikan Anggota (TPKA), termasuk sumbangan untuk melanjutkan pelajaran (RM460,300), kecemerlangan akademik (RM226,500), tabung bencana alam (RM9,900), tabung kematian (RM171,000) dan bantuan rawatan hospital (RM55,340),” katanya.
Ibrahim turut memaklumkan faedah persaraan anggota berjumlah RM709,600 telah disalurkan, termasuk sumbangan haji dan umrah (RM86,200) serta derma kematian kepada waris sebanyak RM965,000 melibatkan 45 orang waris.
“Ini membuktikan bahawa Koperasi KGMMB ditadbir secara cekap, berintegriti dan mematuhi akta, peraturan serta undang-undang kecil koperasi yang ditetapkan,” katanya kepada media.-SAHIH.