Foto atas : Jalan dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela sepanjang 17.5 kilometer dalam proses pembinaan, dekat sini, semalam.
701 projek prasarana berjalan rancak, hanya 3 peratus lewat
LIPIS : Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 701 projek prasarana di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara sedang berjalan dengan baik dan lancar.
Katanya, hanya segelintir projek prasarana sahaja iaitu kira-kira 3 peratus yang lewat disebabkan beberapa faktor.
Datuk Seri Abdul Rahman (2 dari kanan) semasa lawatan kerja di Kampung Gemunchor, semalam.
“Antara faktor yang berlaku kelewatan bagi projek yang dibina pada tahun 2018 dan 2019 tertangguh disebabkan serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia dan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menjejaskan semua pergerakan.
“Kelewatan projek juga berlaku disebabkan proses pengambilan tanah dan juga bayaran pampasan yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan projek yang terlibat di atas tanah milik perseorangan,” katanya semasa lawatan Kerja Projek Jalan dan Jambatan Dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Cawangan Jalan, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Katanya, selain itu, berlaku musim tengkujuh yang agak panjang bermula akhir tahun lalu menyebabkan penangguhan pembinaan projek, namun kontraktor sedang melibatganda usaha menjalankan projek masing-masing dengan kadar segera.
“Disebebkan PKP sebelum ini, berlaku kekurangan tenaga kerja kerana ramai pekerja mencari kerja lain dan menyebabkan kontraktor terpaksa mencari pekerja baharu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ganabatirau Veraman menyerahkan geran peruntukan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi.
Kekalkan Program Santuni Kebajikan Masyarakat di Selangor
KERAJAAN negeri Selangor disyorkan supaya mengekalkan Program Santuni Kebajikan Masyarakat selaras dengan konsep kebajikan yang diusulkan kerana usaha itu secara tidak langsung memperkasa rumah kebajikan.
Program berkenaan juga menjadi agenda kerajaan negeri dalam membela kesusahan dihadapi rakyat daripada pelbagai golongan yang perlu diambil peduli dan tidak seharusnya dipandang ringan tanpa usaha membantu dilakukan.
Exco Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat, Pemberdayaan Pekerja dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau Veraman, berkata kesusahan serta kesulitan mereka yang mengurus tadbir rumah kebajikan seperti pusat jagaan warga emas, rumah
Katanya, sesetengah pengurusan rumah kebajikan terbabit memberi komitmen tanpa berbelah bahagi dengan dibantu sukarelawan mereka begitu gigih menyantuni penghuni yang dijaga walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin memberi penerangan kepada Ganabatirau mengenai pengurusan warga emas di pusat itu.
“Hasil kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang selari dengan konsep Malaysia Madani melalui beberapa agensi terbabit khususnya Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) program itu diwujudkan dalam menyalur bantuan kepada rumah kebajikan terbabit.
“Geran peruntukan program ini diadakan dan disalurkan terus kepada rumah kebajikan terbabit tanpa melalui orang tengah kerana kerajaan negeri mahu memastikan sampaikan kesasaran sebagaimana yang diagendakan.
Katanya, geran itu akan membantu rumah kebajikan berkenaan dalam pelbagai urusan pembangunan serta kos perbelanjaan yang sentiasa meningkat setiap hari selain membuktikan sikap ambil peduli kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga sedar apabila menyifatkan rumah kebajikan ini sebagai satu institusi penting dalam mengurus dan membela nasib mereka yang susah supaya tiada golongan berasa diri mereka tidak dipedulikan.”katanya
Beliau berkata demikian Majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor 2023 dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Zakaria Hanafi; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Upen, Aslynda Mohd Dahlan; Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim; Naib Yang Dipertua 1 Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulaiman; Timbalan Yang Dipertua Abim Selangor, Muhammad Iqbal Hakim Saiful Affanda dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Pada majlis itu juga 20 wakil rumah kebajikan iaitu pusat jagaan warga emas, anak yatim serta OKU hadir bagi menerima geran peruntukan RM5,000 yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM100,000 di bawah program berkenaan.
Ganabatirau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada ABIM yang sanggup bekerjasama serta PJMM bersedia menjadi lokasi bagi majlis berkenaan sebagai salah satu usaha membantu kerajaan negeri menjayakan program berkenaan.
“Kerjasama ini diharap dapat diteruskan dalam melancarkan program membantu golongan yang susah bagi memastikan usaha kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna serta mencapai matlamat yang menjadi agenda.
“Di samping program ini kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada program sinergi prihatin, pusat kebajikan lestari dan dana sukarelawan yang dilaksanakan sejak 2021,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lebuhraya Karak-KL dilebarkan dan terowong ke-3 dibina
LIPIS : Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan cadangan pelebaran lorong lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) serta sebuah terowong ketiga bakal dibina oleh pihak ANIH Berhad
Cadangan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak itu dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KL-Karak terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KKR sentiasa cakna dengan keluhan rakyat yang terpaksa menghabiskan berbelas jam untuk pulang ke kampung terutama ketika musim perayaan.
“Kesesakan luar biasa sering berlaku pada waktu puncak menjelang hari perayaan, cuti umum dan hujung minggu oleh itu Lebuhraya KLK sepanjang 45.3 kilometer dengan kos RM 2.1 Bilion akan dibina.
“Pembinaan ini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna yang kerap menggunakan laluan tersebut, maka kerja pelebaran ini merupakan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, kerja pelebaran KLK tersebut akan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Mempaga, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Bentong dengan menambah satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala.
“ini melibatkan dari Seksyen 1, dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga Lorong sehala bagi Seksyen 2 iaitu dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong, sepanjang 45.3 kilometer.
“Kerja ini turut melibatkan tambahan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu yang akan dibina bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur dan penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran yang terlibat dengan kos keseluruhan RM2.1 billion,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kesatuan guru bakal lumpuh, kepimpinan diarah letak jawatan
PENTADBIRAN dan peranan kesatuan guru bakal lumpuh apabila pemimpin kesatuan yang berjawatan diarahkan meletak jawatan dalam kesatuan sekiranya diambil alih oleh guru baharu yang masih cetek dalam pentadbiran berkesatuan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Katanya, kesatuan adalah sebagai satu badan penghubung antara majikan dengan pekerja demi keharmonian , kebertanggungjawaban, ketelusan, menjaga kebajikan dan menggelak daripada berlaku sebarang pertikaian.
“Maka wakil kesatuan memerlukan barisan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa isu pekerja kepada pihak majikan dan pihak berwajib untuk menyampaikan keperluan kesatuan demi ahli itu sendiri.
“Kepimpinan yang terbaik datang dari kalangan pekerja yang bermotivasi, berperwatakan tinggi dan mempunyai semangat juang yang tidak pernah berasa putus asa, biasanya kepimpinan ini dari kalangan pekerja yang berjawatan kerana mereka ini memiliki asas kepimpinan dalam sesebuah organisasi,” katanya.
Katanya, barisan kepimpinan di kalangan berjawatan memahami permasalahan yang timbul dan sering dibincangan dihadapi oleh organisasi itu.
“Kalau guru yang tidak berjawatan bergiat dalam kesatuan di peringkat negeri dan kebangsaan akan banyak mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti kokurikulum dan sukar untuk mengatur jadual tugas harian kerana terikat dengan keperluan majikan.
“Kesatuan juga tidak dimaklumkan punca daripada mana arahan yang tidak membenarkan guru penolong kanan, pengetua, guru besar serta pegawai yang bertugas di pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) dan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hanya badan pelaksana dan terpaksa akur dengan arahan dan sangat terkilan sekiranya KPM yang mengeluarkan arahan tersebut, ini seolah-olah menidakkan peranan guru-guru tertentu yang berjawatan bergiat cergas dalam kesatuan.
mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin
Sementara itu, mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin, berkata larangan tersebut terpakai terhadap semua pengetua, guru besar, penolong kanan termasuk pegawai yang bertugas di PPD, JPN serta pegawai di kementerian pendidikan.
Katanya, apa yang berlaku sekarang semua jawatan yang disandang oleh guru yang berjawatan perlu dilepaskan dan disandang oleh guru muda yang masih baharu berkhidmat serta masih cetek dalam pengalaman pengurusan dan peranan kesatuan.
“Ini dilihat kekurangan guru biasa yang sanggup mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana bimbang menghadapi banyak kekangan pergerakan daripada pihak pentadbir bermula di peringkat sekolah.
“Perjalanan pentadbiran kesatuan guru akan terjejas kerana guru biasa yang memegang jawatan tidak bebas bergerak untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti kesatuan seperti menghadiri mesyuarat kesatuan samada di peringkat cawangan, kawasan atau kebangsaan,” katanya.
Katanya, guru biasa agak sukar untuk menghadiri aktiviti kesatuan guru kerana perlu berhadapan dengan karenah pentadbir di peringkat sekolah dan bakal melarang untuk bergiat aktif dalam berkesatuan.
“Selain itu, guru biasa yang masih muda yang memegang jawatan ini pula kebanyakkannya kurang berpengalaman dalam pentadbiran kesatuan dan memberikan gambaran bahawa KPM dipercayai tidak akan berhadapan dengan pemimpin kesatuan yang sebelum ini merupakan pentadbir yang lantang bersuara,” katanya.
“Kesatuan guru pernah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri sebelum ini untuk memberi pengecualian atau memansuhkan perkara 26(2) (f) yang berkaitan tetapi tiada sebarang jawapan balas yang diterima,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Cikgu Aisah (kiri) dan Razak Daud (kanan) bertemu setelah 43 tahun di sini, hari ini.
Gembira dan terharu bertemu semula guru Pendidikan Islam setelah 43 tahun
JERANTUT : Ketua Peneroka Felda Jengka 24 gembira dan terharu apabila bertemu bekas gurunya yang pernah mengajarnya ketika berusia 13 hingga 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau tawar, dekat sini.
Beliau, Razak Daud (63) tahun tergamam pada mulanya apabila bertemu gurunya, Aisah Sheikh Ali berusia 72 tahun di Majlis Kad Pahang Pride sumbangan Menteri Besar Pahang di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut, pagi ini.
“Saya sangat terkejut apabila bertemu cikgu yang mengajar subjek Pendidikan Agama Islam di majlis ini, cikgu Aisah juga seorang warden asrama puteri ketika itu yang berasal dari Johor.
“Selama ini saya tidak menjangka cikgu Aisah menetap di Pulau Tawar, rupanya beliau berumah tangga dengan orang Pulau Tawar dan berkeluarga di sini,” katanya.
Razak berkata, hampir 43 tahun beliau ingatkan cikgu Aisah sudah balik kampung di Johor dan saya gembira dan bersyukur bertemu cikgu yang masih sihat walafiat.
“Ketika bertemu tadi, anak cikgu Aisah yang perkenalkan saya dengan ibunya, saya sendiri sudah lupa wajahnya, maklumlah hampir 43 tahun tidak bertemu, kalau tidak diperkenalkan mungkin saya tidak tahu.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Aisah yang pernah mendidik saya pada tahun semasa di Tingkatan 1 hingga 3 dan saya ucapkan Selamat Hari Guru walaupun sudah terlewat, namun ucapan Hari Guru adalah sepanjang zaman,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan ROsdy Wan Ismail di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi, dekat sini, kelmarin.
Bandar moden Genting Xintiandi bakal bina bernilai RM20 bilion.
GENTING HIGHLANDS : Pembangunan perbandaran moden Genting Xintiandi menelan belanja sebanyak RM20 bilion dengan lapan fasa di atas tanah seluas 60 ekar menjadi salah satu pilihan hartanah popular dengan kemudahan sedia ada dan lengkap sebagai nilai tambah kepada pendapatan negeri Pahang.
Projek itu melibatkan pembangunan sebuah pusat komersil bercampur yang meliputi pembinaan pangsapuri perkhidmatan, ruang perniagaan, hotel dan terminal bas dan bakal siap sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan itu terletak di lokasi yang strategik dan pelancaran Fasa 1 yang meliputi pembinaan empat blok pangsapuri perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan 2,600 unit.
“Pembangunan Genting Xintiandi merupakan projek usahasama antara Aset Kayamas dan Genting Malaysia yang melibatkan pembangunan pada berketinggian 37 hingga 60 tingkat.
“Pembangunan ini turut mewujudkan bentuk bandar yang berbeza dan menarik dari segi kualiti visual di kawasan Genting Permai kelak,” katanya di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi, dekat sini, semalam.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohamad Sharkar Shamsuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob, Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Berhad, Tan Seri Lim Kok Thay dan Pengerusi Aset Kayamas, Tan Seri Chai Kin Kong.
Katanya, bukit peranginan itu didatangi kira-kira 25 juta pengunjung dan yang menginap kira-kira 10 juta orang setahun dan memberi pulangan pendapatan kepada negeri Pahang.
“Selain itu, di sekitar tapak cadangan ini, terdapat kawasan hutan, kawasan kediaman dan kawasan perniagaan yang menarik.
“Pembangunan ini turut membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan, malah impak positif kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi kawasan sekeliling dan negeri Pahang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mohd Sany (duduk dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Masyarakat terus ambil berat cegah wabak
AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil berat dan mengekalkan langkah pencegahan wabah penyakit berjangkit walaupun menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sepanjang Syawal 1444H/2023M ini.
Beliau berkata, dalam situasi cuaca panas sekarang dan penularan kembali wabak Covid-19 masyarakat sepatutnya memandang serius perkara itu dan jangan sekali-kali bersikap enteng terhadap bahaya penyakit yang sudah ditempuhi beberapa tahun lalu.
“Masyarakat hendahlah mendengar serta mematuhi nasihat pihak berkenaan terutama supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tumpuan ramai orang serta tidak bersesak-sesak pada satu-satu masa.
“Apabila mengunjungi majlis jamuan rumah terbuka adilfitri atau kenduri perkahwinan dan sebagainya perlulah berhati-hati dan mengambil langkah selamat pencegahan demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) Semenyih, baru-baru ini.
Jelasnya, kita semua sudah melalui situasi susah dan sukar untuk bergerak berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 yang lalu dan keadaan itu hendaklah dicegah daripada berulang kembali.
“Perkara ini hendaklah menjadi iktibar yang berguna dan selalulah mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan diri terutama menjaga kebersihan tangan sebelum menjamah makanan dan sebagainya,” katanya.
Mohd Sany berkata, walaupun Ramadan sudah meninggalkan kita tetapi kita hendaklah terus mengekalkan semangatnya dengan terus mengamalkan amalan mulia bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim serta sering membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, amalan mulia itulah yang disemaikan sepanjang Ramadan lalu dan hendaklah menjadi amalan sepanjang kehidupan kerana di luar sana ramai mereka yang memerlukan sedikit perhatian daripada kita semua terutama untuk berkongsi rezeki.
“Dalam kemewahan kita nikmati ini di dalamnya ada rezeki yang perlu dikongsi dengan mereka yang tidak keberadaan atau susah bagi meneruskan kelangsungan hidup apabila serba kekurangan termasuk mereka berteduh di pusat jagaan,” ujarnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kereta Sallehudin Mat Resad remuk di bahagian hadapan akibat terlanggar lembu
Wartawan Utusan Malaysia kemalangan, keretanya remuk
KUALA KRAU : Seorang wartawan Utusan Malaysia mengalami kemalangan di Jalan Kuala Krau-Jerantut , berdekatan Kampung Masjid, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Wartawan tersebut, Sallehudin Mat Resad tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta dipandunya remuk teruk di bahagian hadapan kenderaannya akibat terlanggar seekor lembu.
Beliau dalam perjalanan pulang daripada penugasan di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang di Genting Highlands.
Katanya, dalam perjalanan pulang ke Jerantut, beberapa ekor lembu melintas jalan dan salah satu ekor lembu berpatah balik ke tengah jalan dan menyebabkan beliau tidak sempat menggelak.
“Diharapkan pemilik lembu atau kerbau menjaga haiwan ternakan masing-masing agar tidak membiarkan haiwan itu berkeliaran terutama di waktu malam.
“Demi keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu, pemilik haiwan itu memastikan haiwan mereka tidak dilepaskan begitu sahaja,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada kepada seorang pemuda tempatan yang membantu menghantarnya membuat laporan polis di Pondok Polis Kuala Krau serta menghantarnya balik ke rumah di Jerantut. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Azman (tengah) bersama wakil KIS dan KKWPUKM yang menghulurkan Sumbangan Ramadan 2023 untuk PJMM.
Artis tanah air beramal jariah di PJMM
Beberapa artis terkenal tanah air tidak melepaskan peluang membuat amal jariah bersempena Ramadan 1444H lalu apabila mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor bagi menyantuni warga emas terdampar di situ.
Mereka menghulurkan pelbagai sumbangan termasuk kewangan kepada PJMM di samping baju Melayu dan baju kurung, kuih-muih serta duit raya kepada penghuni selain mengambil kesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama warga emas di pusat berkenaan.
Khadijah Ibrahim (dua dari kanan) bersama-sama barangan yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor pada April lalu.
Setiausaha PJMM, Mohammad Syafiq Mohiadin, berkata kunjungan artis berkenaan iaitu Wany Hasrita, Amira Othman, Safwan Nazri, Dato’ Khadijah Ibrahim, Wawa Zainal serta Aeril Zafrel bukan setakat memeriahkan suasana di pusat itu malah mengundang titisan air mata warga emas yang disantuni.
Menurutnya, Wany Hasrita berserta rakan artis datang bersama-sama kumpulan Megaklinik Zahran itu menyantuni setiap warga emas khusus perempuan termasuk yang terlantar di atas katil untuk memilih sendiri 15 reka bentuk serta warna baju raya mereka inginkan.
Tambahnya, bagi baju Melayu, Safwan membawa 30 reka bentuk dan warna untuk dipilih dalam kalangan warga emas lelaki untuk dipakai pada aidilfitri yang ditaja Megaklinik Zahran.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak bersama isteri, Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman pada 30 Mac 2023.
Wany Hasrita (tengah) bersama rakan artis bermesra dengan seorang warga emas yang tidak mampu untuk berjalan.
“Kemesraan yang ditunjukan Wany Hasrita, rakan-rakan artis dan kakitangan Megaklinik Zahran ini menerusi Program Sumbangan Baju Raya Penghuni mendatangkan rasa sebak pada hati penghuni yang seharus ia disantuni anak atau waris mereka,” ujar Muhammad Syafiq.
Beliau berkata, Khadijah pula menyantuni warga emas dengan menyampaikan sumbangan pes jenama Kathijah Ibrahim untuk dinikmati apabila berbuka puasa sebagai menu menambah selera.
Katanya, walaupun hanya sekejap sahaja pada 4 April 2023 lalu, namun kehadiran Khadijah tetap mengembirakan hati warga emas di pusat berkenaan apabila dapat bermesra dengan artis veteran yang mereka turut minati suatu ketika dahulu.
Sehubungan itu, Khadijah berjanji akan mengunjungi PJMM pada masa terdekat bagi memasak sendiri pes jenama beliau dan resepi lain untuk dinikmati bersama-sama warga emas yang diibaratkan seperti ibu dan bapa sendiri.
Pada minggu terakhir Ramadan, PJMM dikunjungi pula pasangan suami isteri artis popular iaitu Wawa Zainal dan Aeril Zafrel bagi menggembirakan hati warga emas menjelang adilfitri.
Muhammad Syafiq berkata, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel yang datang bersama pasukan WawaCosmetics selain menghulurkan sumbangan untuk PJMM turut berkongsi rezeki dengan memberi duit raya kepada warga emas.
“Pasangan artis semua isteri ini kelihatan sayu dan tidak dapat menahan kesedihan apabila dimaklumkan warga emas berkenaan ada yang disisihkan ahli keluarga termasuk anak kandung sendiri serta terdampar tiada waris,” katanya.
Sementara itu pada penghujung Ramadan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kelab Iltizam Selangor (KIS) dan Kelab Kebajikan Warga Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (KKWPUKM) turut menghulurkan Sumbangan Ramadan 2023 untuk PJMM.
KIS yang diwakili Azimudin Mohamed menyerahkan replika cek RM500 manakala KKWPUKM menerusi wakilnya Abd Zhafir Abd Rashid menghulurkan sumbangan RM1,417.00 kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman pada April lalu.
Menurut wakil NGO berkenaan, sumbangan itu adalah kerja amal dan kebajikan mereka bersempena Ramadan bagi meringankan bebanan pusat jagaan berkenaan dalam membuat persiapan adilfitri dan sebagainya bagi menyantuni warga emas di situ.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPM mansuhkan kutipan sumbangan untuk sambutan hari guru
Menteri Pendidikan mengumumkan 10 prakarsa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena Sambutan hari Guru ke-52 yang diadakan di Pusat perdagangan Antarabangsa melaka (MITC) , hari ini.
Menteri Pendidikannya, Fadhlina Sidek berkata dalam ucapannya, antara yang menarik perhatian ialah memansuhkan sebarang kutipan sumbangan sambutan hari guru yang sebelum sering kutipan sumbangan untuk merayakan sambutan hari guru.
“Selain itu, KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu yang mampu milik.
“KPM juga akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan Pendidikan dalam memastikan kukurangan guru di sekolah-sekolah,” katanya hari ini.
Katanya, bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran luar bilik darjah, penambahbaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2022 iaitu Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan dengan mensasarkan setiap murid menikmati lawatan 2 kali setahun berdasarkan keperluan, kemampuan dan kesesuaian sekolah.
“Bagi memastikan tiada berlaku keciciran murid dalam pendidikan, peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 buah sekolah lagi mengatasi isu ini terutamanya di kawasan pedalaman dan orang asli.
“Peluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah, ini adalah usaha tiada murid yang tertinggal dan dipinggirkan,” katanya.
Katanya, KPM memberi kebenaran guru pemakaian baju korporat rasmi Kementerian Pendidikan sewaktu bertugas untuk memberi kelesaan guru menjalankan tugas. .
“Mempertingkatkan kumpulan Guru Insani Malaysia serta turut mempertingkat peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YTGHO) dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru.
“Penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0, SGM memudahkan guru mendapat peluang meningkatkan kerjaya jawatan yang lebih tinggi berdasarkan kekuatan, bakat dan kemahiran dan akan diberi mata kredit untuk meningkatkan kerjaya,” katanya.
Katanya, demi kesejehteraan guru, KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang kepada guru merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu yang mampu milik.
“Program ini ditawarkan harga potongan tiket penerbangan, pelancongan, Airasia dan sebagainya bagi guru dan bergembira bersama keluarga,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!