Jalan baharu Solok Ayer Limau – Kampung Jeram singkatkan masa perjalanan
MELAKA – Projek pembinaan jalan baharu dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah bakal memendekkan masa pejalanan selama 15 minit dan dijangka siap tahun hadapan.
Timbalan Menteri Jerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebelum ini perjalanan laluan itu mengambil masa kira-kira 30 minit.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Yusoh (2 dari kiri) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad,(2 dari kanan) dalam Lawatan Projek Membina Jalan Baru dari Solok Ayer Limau ke Kg Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah Melaka.
Katanya, projekini dijangka dapat disiapkan 50 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, menariknya jajaran jalan ini hanya melibatkan kawasan pertanian dan tidak melibatkan kawasan ataupun tanah penempatan penduduk.
“Kawasan yang terlibat dengan projek ini merupakan kawasan pertanian dan kebanyakan penduduk terlibat adalah dalam sektor perladangan dan pertanian.
“Kita berhasrat akan mempertingkatkan kemudahan pengangkutan dan menyediakan rangkaian jalan raya terutamanya bagi menyuraikan kesesakan di kawasan pusat bandar dan menjimatkan masa dari Kampung Jeram ke Alor Gajah sebanyak 15 minit,” katanya.
Abdul Rahman berkata, ianya bertujuan memberikan kemudahan para petani membawa hasil pertanian dan juga pelancong menuju ke destinasi dengan mudah dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat.
“Selain itu, projek jalan ini boleh dijadikan sebagai jalan alternatif kepada pengguna jalan raya ke pekan berhampiran dengan lebih mudah dan lancar,’ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pesara mahu kenaikan 5 peratus dibayar ikut ketetapan 2012 dan 2013.
JERANTUT – Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) mahukan kenaikan pencen tahunan sebanyak lima peratus diberi mengikut ketetapan yang telah dibuat pada 2012 dan 2013.
Timbalan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Jamale Paiman.
Timbalannya Datuk Jamale Paiman berkata, perkara ini telah dibawa kepada pihak kerajaan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Sidek Hassan pada tahun 2012 melalui Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres)
“Perkara ini turut dibawa oleh Kongres kepada Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamzah pada tahun 2013 untuk pesara kerajaan diberikan kenaikan pencen tahunan 5 peratus setiap tahun bersesuian dengan kos sara hidup negara.
“Bagaimanapun kerajaan hanya meluluskan 2 peratus kenaikan tahunan pada 2013 dengan alasan pesara tidak menyumbang kepada kepada negara,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga mantan Presiden Kongres berterima kasih kepada pesara yang mencabar kerajaan untuk melihat kembali perkara 147 Pesaraan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada pesara-pesara kerajaan.
“Saya bagi pihak 5PM menghargai keputusan mahkamah mengenai perkara 3 dan 7 Akta Pesara 1980, iaitu kenaikan tahunan gaji penjawat awam dan membatalkan Seksyen 3 dan 7, Akta pelarasan pencen, pindaan 2013 dan 2022.
“Dipercayai pesara-pesara kerajaan akan mendapat faedah tunggakan dari tahun 2013 kesan dari kenaikan 5 peratus kerana perkara 147 tidak dipatuhi.
“Oleh itu, tiada pengurangan dan penganiayaan gaji penjawat awam termasuk pesara kerajaan, diharap semua pesara kerajaan mendapat faedah 5 peratus dari tahun 2013 dan tidak ada berlaku pemulangan wang diterima kepada kerajaan,” katanya.
Jemale berkata, semua pesara sepatutnya menerima kenaikan pencen tahunan berdasarkan kenaikan gaji tahunan mengikut gred gaji terakhir masing-masing.
“Jika ianya dilaksanakan maka pesara akan menerima tunggakan dari tahun 2013 hingga pelarasan baru dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini.
“Kerajaan tiada alasan untuk menangguhkan bayaran tunggakan atau pesara diminta membayar balik wang kepada kerajaan kerana ia adalah kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Wan Nurhazirah Wan Shamsuri (depan, tengah) menyumbangkan dua set Smart TV 50 inci dan kipas kepada Jamaludin Baharun (kiri) disaksikan oleh guru di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, Jerantut hari ini.
Cakna pembelajaran digital, ibu sumbang sebuah Smart TV kepada sekolah
JERANTUT – Seorang ibu, Wan Nurhazirah Datuk Wan Shamsuri sanggup membelanjakan sebanyak RM2,760 menyediakan sumbangan dua buah Smart TV berukuran 50 inci dan dua kipas untuk kelas anaknya, Puteri Nelissa Aishah Muhammad Anwar yang belajar di Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut hari ini.
Wan Nurhazirah yang juga Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut menjelaskan sumbangan peralatan Smart TV bernilai RM2,400 bagi kemudahan pembelajaran digital untuk anaknya serta murid-murid lain ke arah kemenjadian insan yang lebih kreatif dan kritis dalam pembelajaran selain meneroka pelbagai pengetahuan menerusi atas talian selari dengan pendidikan moden.
“Selaku ahli jawatan kuasa PIBG, saya terpanggil untuk menyumbangkan sedikit wang untuk menyediakan peralatan berkenaan selari dengan hasrat sekolah ini untuk ‘Memperkasakan Pengelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)’ bagi memenuhi pendidikan arus perdana di sekolah ini.
“Amal jariah ini dengan harapan dapat menggembirakan sekali gus galakan bagi anak saya, Puteri Nelissa Aishah dan keseluruhan murid Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya lebih bersungguh serta rajin belajar berbantukan bahan digital seperti Smart TV dan sebagainya,” katanya di SK Jerantut Jaya, bandar Jerantut hari ini.
Tambahnya, dua buah kipas yang berharga RM380 juga bagi kemudahan sedikit keselesaan anaknya dan rakan di kelas Tiga Naura belajar ketika cuaca panas.
Sementara itu, Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamaludin Baharun terharu serta teruja kerana ibu murid berkenaan yang juga seorang AJK PIBG hadir menyumbangkan peralatan digital dan elektrik tersebut.
“Kita bersedia menerima apa-apa sahaja sumbangan daripada ahli jawatan kuasa PIBG serta ibu bapa/penjaga murid untuk merealisasikan pendidikan digital di sekolah ini yang sudah mendominasi di dalam kelas dan Pusat Sumber sekolah bagi mencanai ilmu menerusi atas talian,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur berkumpul pada Program Perjumpaan Keluarga di rumah pusaka yang terletak di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor pada 1 Julai lalu.
Anak, cucu,cicit Kiyai Salleh berkumpul di Batu Pahat
TIDUR berselerak dan bergelimpangan di ruang tamu seperti dahulu di atas rumah pusaka mengamit banyak kenangan silam kepada anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur dalam program perjumpaan keluarga yang diadakan pada 1 Julai lalu.
Program itu berlangsung di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, untuk menghimpunkan semula lebih 250 waris Allahyarham Kiyai Salleh sehingga generasi keenam yang berada di seluruh negara termasuk dari Selangor, Melaka, Pahang dan juga Johor.
Majlis bacaan yasin dan tahlil turut diadakan pada program itu.
Cucu Allahyarham Kiyai Salleh, Harolhanam Mohamed Wahid, berkata program julung kali itu diadakan atas inisiatif bapa saudara beliau iaitu Muslimin Salleh yang merupakan satu-satunya anak Allahyarham datuknya yang masih hidup daripada lapan adik-beradik.
Menurutnya, bersempena Hari Raya Aidiladha, bapa saudaranya itu memaklumkan supaya diadakan satu perjumpaan buat semua waris Allahyarham Kiyai Salleh di atas rumah pusaka berkenaan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga di samping dapat mengimbaukan semula kenangan masa kecil dahulu.
“Selepas mendapat persetujuan semua waris bersetuju program diadakan di rumah pusaka ini walaupun kecil kami tidak kisah kerana masih kanak-kanak pernah tidur berhimpit-himpit dengan disaksikan oleh Allahyarham datuk penuh sayu,” katanya.
Sempena program berkenaan, telah diadakan majlis bacaan Yasin serta tahlil untuk Allahyarham Kiyai Salleh dan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia diikuti pelbagai aktiviti seperti sukaneka, cabutan nombor bertuah disamping jamuan ringan bagi memberi peluang semua waris bersua muka untuk bertanya khabar.
Waris ahli keluarga Allahyarham Kiyai Salleh beramah mesra sambil menjamu selera dalam majlis jamuan yang diadakan.
Harolhanam berkata, mereka tidak memilih hotel sebagai lokasi perjumpaan itu kerana bagi memberi peluang kepada cucu serta cicit mengingatikan kembali tempat Allahyarham bersujud menunaikan solat, mengaji, tidur atau berbaring ketika hayatnya.
Menurutnya, bagi sesetengah cucu apatah lagi cicit tidak berkesempatan untuk bermanja dengan Allahyarham ketika hidupnya dan mereka hanya mendengar cerita daripada orang terdekat atau melihat gambar dalam album sahaja.
Tambahnya, mendapat gelaran Kiyai, Allahyarham cukup menitikberatkan didikan agama kepada anak-anaknya yang selalu diingati supaya perkara itu terus disebarkan atau diberi asuhan kepada cucu serta cicit beliau.
Terkesan program itu jelasnya, dalam kesibukan ‘rewang’ menyiapkan jamuan untuk waris semua, antara kami berpandangan sayu apabila dapat hadir dan berkumpul di dalam rumah pusaka kerana masih kekal dengan binaan asal rumah tradisional menjangkau usia 100 tahun yang masih wujud di kampung berkenaan.
“Masih jelas pada ingatan waris semua di halaman rumah inilah tempat kami bermain berkejar-kejaran apabila pulang bersama ahli keluarga pada musim cuti sekolah atau menyambut hari raya dan sebagainya.
“Allahyarham masih itu tidak petah untuk melayani semua anak atau cucu kerana terlalu gembira apabila kami pulang menjenguknya walaupun menetap jauh dari kampung sanggup datang menyantuni dia.
“Sebelum bersurai kami semua bersetuju untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan supaya waris yang menetap di kampung ini khusus bapa saudara kami Muslimin tidak berasa kesunyian kerana masih ada anak saudara serta cucu sedia menyantuninya,” ujar Harolhanam. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan dan penduduk kampung memotong daging dan tulang sebelum dimasukan ke dalam plastik untuk diagihkan.
200 sukarelawan jaya program korban Aidiladha 2023
SERAMAI 200 sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Kampung Sungai Purun turun bergotong-royong menjayakan Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmuda Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Mereka yang datang dengan membawa peralatan seperti pisau untuk melapah dan kapak untuk memotong tulang lembu berjaya melancar urusan penyembelihan enam ekor lembu dan dua ekor kambing yang berakhir sebelum masuk waktu solat Zuhur.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata kehadiran sukarelawan NGO dan penduduk kampung terbabit amat dialu-alukan dalam memupuk budaya kesepakatan serta persaudaraan menjayakan program komuniti termasuk menyempurnakan ibadat korban itu.
Ahli sukarelawan dan penduduk kampung bergotong-royong melapah lembu pada Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum bergotong-royong melaksanakan ibadat korban itu mereka yang hadir terlebih dahulu menunaikan solat sunat Aidiladha di surau PJMM, bersarapan bersama kemudian mendengar taklimat ringkas mengenai syarat penyembelihan korban termasuklah kaedah mengumpul daging korban.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan longgokan daging lembu yang siap dilapah termasuk tulang yang dipotong itu tidak bercampur dengan lembu lain sebagaimana ditetapkan dalam ibadat korban.
“Walaupun baru kali pertama bertemu pada program itu mereka yang hadir mampu berkomunikasi serta bekerjasama dengan baik bagi melancarkan urusan penyembelihan korban dan tidak tergendala disamping menggembirakan hati semua,” katanya.
Sukarelawan dan penduduk kampung turut bersama-sama melapah dua ekor kambing.
Azman berkata, daging lembu yang dikorban itu termasuk daripada penyertaan individu dan NGO diagihkan kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim, keluarga asnaf atau miskin dan pusat jagaan sekitar Semenyih untuk sama-sama menikmati daging sembelihan korban.
Menurutnya, daging korban itu juga diagihkan kepada sukarelawan dan ahli NGO yang turun padang membantu menyempurnakan urusan sembelihan haiwan korban serta melapah dan memotong daging korban di samping sebelum bersurai turut menikmati jamuan ringkas daripada menu daging korban.
Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado, berkata program korban itu berlangsung dalam suasana kombinasi terbaik apabila mendapat kerjasama daripada sukarelawan pelbagai NGO dan penduduk kampung sekitar PJMM.
Jelasnya, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) wabak Covid-19 lebih tiga tahun lalu, program korban itu merupakan pengumpulan terbesar orang ramai khususnya sukarelawan di PJMM untuk melaksanakan aktiviti komuniti.
“Pembabitan daripada orang ramai dalam program kemasyarakatan atau komuniti juga menjadi usaha PJMM untuk menyemai budi pekerti mulia apabila mereka diberi peluang menyantuni warga emas yang hidup tanpa waris atau disisih keluarga,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), Azhar Yop, pula berkata Badim berasa bertuah kerana diberi peluang untuk menyertai program korban berkenaan kerana dapat mengagihkan daging korban kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim dan keluarga asnaf.
Jelasnya, dengan cara ini pengagihan daging korban akan bertepatan sebagaimana yang disyaratkan dalam syariat Islam supaya mereka yang jarang atau amat sukar untuk menikmati daging kali ini berpeluang merasainya.
“Di samping itu program ini berjaya memupuk silaturahim mereka yang hadir mewakili pelbagai NGO dan penduduk kampung bergading bahu melaksanakan ibadat korban dan mengambil iktibar daripada kisah ibadat korban yang menjadi sunat dilakukan umat Islam,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H ini, 60 belia dari Taman Delima, Kajang, Selangor mencurah keringat dan tenaga berganding bahu bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Batu 13, sebelum sambutan hari raya Aidil Adha.
Mengetuai program itu, Mohd Khairi Rahman, berkata bagi mengukuhkan ikatan ukhuwah antara remaja di taman berkenaan mereka bersepakat pula mengadakan sembelihan korban seekor lembu.
“Sebagai tanda kesyukuran dan memenuhi tuntutan ibadat korban kami agihkan daging itu kepada penduduk sekitar taman di samping kepada keluarga remaja terbabit,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Anggota dan ahli KopKGMMB dan KGMMB elak daripada tertipu
KUALA LUMPUR : Guru yang menjadi anggota Koperasi Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KopKGMMB) dan ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berwaspada dengan scammer yang cuba memancing melalui penipuan pinjaman kewangan.
Pengerusi KopKGMMB, Ibrahim Marlan berkata, pihak KopKGMMB telah menyedari penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak minggu lalu.
“Terdapat anggota telah menerima pesanan ringkas (SMS) berkaitan kelulusan pinjaman kononnya daripada pihak koperasi.
“Mujur anggota yang menerima SMS itu mengesyaki terdapat kekeliruan dan menghubungi ibu pejabat dengan segera untuk mendapatkan kepastian.
Pesanan ringkas (SMS) yang diterima
“Sekiranya menerima sebarang pesanan ringkas daripada pihak yang tidak dikenali atau yang menyamar sebagai pihak koperasi diharap segera menghubungi pihak ibu pejabat untuk mendapat maklumat lanjut samada anggota membuat pinjaman atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik turut mengingatkan ahli kesatuan agar tidak terjebak dengan penipuan ini.
“Pihak KGMMB tidak melantik wakil atau agen berkaitan dengan pinjaman dari kesatuan atau koperasi, oleh itu ahli diharap berwaspada dan menghubungi terus ke ibu pejabat KGMMB,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi sumbangan kepada 15 ibu dan anak di Hospital Kuala Lipis, hari ini.
Elak tajuk berita yang mengelirukan
LIPIS – Pengamal media berhati-hati ketika menerbitkan berita dengan tajuk yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan naratif sehingga ramai warga maya beranggapan bahawa pihak pekebun Musang King di Raub telah menang dalam perbicaraan di mahkamah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak media jangan menggunakan tajuk berita yang boleh menimbulkan kekeliruan sekaligus mewujudkan provokasi dan salah faham di kalangan masyarakat.
“Pada 4 Julai yang lalu satu laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, telah menimbulkan salah faham dan mengelirukan rakyat seolah-olah kerajaan telah kalah dalam perbicaraan tersebut.
“Mohon warga maya bijak menilai berita dan tidak hanya membaca tajuk semata-mata sebaliknya mendapatkan berita lebih lanjut dengan membaca keseluruhan laporan ataupun mencari maklumat daripada pelbagai sumber yang tepat sebelum membuat sebarang penilaian dan pentafsiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 itu di Hospital Lipis, hari ini.
“Jadi jangan baca tajuk sahaja, baca juga isi kandungan dan dalam masa yang sama cuba mendapatkan pandangan-pandangan atau pun fakta-fakta daripada pihak-pihak lain, jangan berasaskan hanya kepada satu sumber sahaja mereka boleh rujuk kepada pelbagai pihak.
“Keputusan mahkamah tersebut hanyalah berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lelaki maut tercampak dalam kemalangan di KM23 LTU
LIPIS : Seorang lelaki berseorangan menunggang motosikal dari Kuala Lipis menghala ke Merapoh maut dalam kemalangan jalan raya di KM23, Lebuhraya Tengah Utama (LTU), pada jam 3.50 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, penunggang menaiki motosikal jenis Yamaha NVX itu dipercayai hilang kawalan terus melanggar tembok bahagian tengah pembahagi jalan dan tercampak ke atas jalan di laluan bertentangan.
“Mangsa, Muhammad Alfi Husaini Zulkifli berusia 20 tahun, beralamat Pulai Chondong Kelantan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Klinik Kesihatan Merapoh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Keadaan jalan adalah sistem jalan dua lorong satu hala berselekoh, terdapat garisan putih putus-putus sebagai pembahagi jalan dan ketika kejadian, keadaan cuaca baik tetapi gelap tanpa lampu,” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. -END.
Sementara itu, Pegawai Operasi , Mohd Shah Afendy Sabri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis melaporkan, beliau dan 8 anggota serta 2 jentera bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, pasukan bomba membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit di bawah sebuah kenderaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (2 dari kanan) dan Ahmad Saifulzaman (kanan sekali) di program itu hari ini.
SK Bukit Piatu Go Green 2023.
BENTONG – Warga Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu (SKBP) dan Ahli Majlis Perbandaran Bentong mengadakan program Go Green Community dan SKBP 2023, hari ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak,berkata, program ini adalah satu usaha mendidik masyarakat dan murid agar sentiasa peka dengan penjagaan, menghargai dan mencintai alam sekitar ke arah kehidupan sejahtera, mampan dan lestari.
“Pengisiannya adalah untuk mendidik dan menarik minat golongan untuk menjadikan pertanian sebagai satu industri.
“Menerusi program ini, sebanyak 11 agensi telah menandatangani perjanjian persefahaman, jalinan, jaringan dan kerjasama termasuk SKBP,” katanya.
Guru Besar SKBP, Ahmad Saifulzaman Abd. Rahim berkata, Syarikat Gold Farm Resources turut bermurah hati menyumbangkan sebuah ‘Rumah Hijau’ bagi tujuan membantu menjayakan program tersebut.
“Program ini salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran berkaitan persekitaran dan alam sekitar yang wajar dihayati oleh generasi muda.
“Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Imunisasi Kebangsaan untuk memastikan bayi dan kanak-kanak dilindungi daripada penyakit berjangkit
RAUB – Program Imunisasi Kebangsaan untuk memastikan bayi dan kanak-kanak dilindungi daripada penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dan memastikan agar golongan muda negara dapat membesar dengan sihat seterusnya menjadi generasi yang menyumbang kepada kejayaan negera di masa hadapan.
Datuk Dr Nor Azimi Yunus (kanan sekali) di Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Minggu Imusasi Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Kompleks Sukan Dong, Raub, hari ini.
Program Imunisasi Catch-Up Pneumokokal merupakan satu program perluasan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019, iaitu kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 tahun ketika ini.
Pengarah Kesihatan Negeri , Jabatan kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan ke atas, di mana ketika ini mereka ini telah pun mencapai usia 3 tahun.
“Bermula pada 1 Januari 2020, Vaksin Pneumokokal ini telah ditambah sebagai salah satu vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunisation Program – NIP).
“Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang imunisasi sebagai intervensi kesihatan awam yang paling kos efektif, serta mempromosikan penggunaan vaksin sebagai perisai bagi melindungi masyarakat daripada penyakit cegahan vaksin, bukan sahaja kepada bayi dan kanak-kanak tetapi kepada semua individu,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Minggu Imusasi Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Kompleks Sukan Dong, Raub, hari ini.
“Majlis sambutan ini, sebagai memberi hebahan dilaksanakan termasuklah seminar imunisasi, pameran kesihatan secara interaktif dan hebahan maklumat berkaitan imunisasi melalui pelbagai medium.
“Pemberian imunisasi ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar imunisasi pneumokokal dapat diperluaskan kepada kanak-kanak bawah 5 tahun, yang tidak pernah menerima vaksin pneumokokal lagi,” katanya.
Katanya, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak di bawah jagaan, warganegara Malaysia, yang lahir pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2019, untuk mendapatkan vaksin pneumokokal ini, secara percuma.
“Ibu bapa juga boleh membuat tempahan janji temu bagi mendapatkan vaksin pneumokokal Catch-Up melalui panggilan telefon ke fasiliti kesihatan yang disebutkan menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Rebutlah peluang ini untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan penumokokal secara khususnya dan jangkitan penyakit yang dilindungi oleh vaksin vaksin lain,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!