Foto : Persembahan daripada salah satu unit untuk memeriahkan malam tersebut di Desa Bina Diri, Jerantut.
Majlis Apresiasi DBD Jerantut Hargai Kakitangan
JERANTUT – Malam Apresiasi Desa Bina Diri (DBD) Jerantut meraikan kakitangan yang berkhidmat sepanjang tahun 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka.
Penguasa DBD, Mohd Eizaham Abdul Mutalib berkata, program tahunan itu menjadi platform menyuntik motivasi dan semangat baharu dalam kalangan kakitangan.
“Majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan mereka, selain penyampaian sijil perkhidmatan cemerlang serta meraikan pegawai yang bertukar dan bersara,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kali ini memilih tema ‘Denim Night DBD 2025’, dipersetujui semua kakitangan sebagai pengikat ukhuwah dan semangat kerja berpasukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sukarelawan membersih perkakas dan bahagian dalam dapur yang dipenuhi lumpur.
Kedai Makan Digenangi Banjir ‘Air Termenung’ 3 Hari, Cik Su Akhirnya Dibantu 20 Sukarelawan
SEPANG – Perasaan sedih dan tertekan menyelubungi seorang peniaga kedai makan, Norrafinee Mohd Rozi, di Kampung Labu Lanjut apabila premisnya digenangi banjir ‘air termenung’ selama lebih tiga hari sejak 28 November lalu.
Pada awalnya, Norrafinee atau mesra disapa Cik Su, terpaksa membersihkan kedainya sendiri bersama suami dan anak, termasuk peti ais, periuk serta pinggan mangkuk yang berselut lumpur — namun keadaan semakin memeritkan apabila dia jatuh sakit akibat keletihan.
Lantai kedai Norrafinee yang dipenuhi mendapan lumpur terpaksa dicuci beberapa kali.
Keadaannya akhirnya dimaklumkan kepada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) yang menggerakkan 20 sukarelawan dari Semenyih dan Beranang untuk membantu kerja pembersihan pada 1 Disember.
Walaupun keletihan, Cik Su tetap tersenyum menyambut kedatangan mereka sambil menceritakan bagaimana sebahagian besar peralatan dan bahan makanan sejuk beku rosak, selain lumpur menengelami lantai dapur dan ruang makan.
Menurutnya, insiden berlaku selepas hujan lebat menyebabkan air parit berhampiran melimpah deras masuk ke dalam kedai.
Dia bersama suami sempat menyelamatkan sebahagian barangan penting sebelum diminta pihak berkuasa keluar menyelamatkan diri.
Namun, limpahan air itu terus bertakung selama beberapa hari walaupun hujan telah berhenti, menyebabkan lumpur pekat memenuhi seluruh premis.
Sukarelawan kemudian membantu mencuci peralatan, membuang sampah yang hanyut, membersihkan lantai dapur, ruang makan dan longkang bagi membolehkan Cik Su membuka kedainya semula secepat mungkin.
Cik Su yang baru setahun berniaga di kampung itu berkata, ini kali pertama banjir berlaku dan dia tidak menyangka kerugiannya begitu besar, apatah lagi harga barangan kini semakin meningkat.
Setiausaha KESUMA’24, Rozita Yaakob, berkata bantuan kepada Cik Su adalah sebahagian daripada misi bantuan banjir yang sering mereka jalankan di seluruh negara hasil sumbangan dermawan, NGO dan syarikat korporat.
Katanya, misi itu digerakkan setiap kali mereka menerima maklumat mengenai mangsa banjir yang memerlukan sokongan pembersihan dan bantuan keperluan asas. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GUANGZHOU – Patung Five Rams terus menjadi ikon utama kota ini sejak dibina pada 1959 di Yuexiu Park.
Tugu berstruktur granit setinggi 11 meter itu melambangkan lagenda lima abadi (Orang suci yang tinggal di pergunungan tinggi; orang gunung; rahib; petapa) yang dikatakan turun dari langit dengan menunggang lima ekor kambing sambil membawa benih padi sebagai simbol rezeki dan kesejahteraan kepada penduduk.
Selepas menghadiahkan benih tersebut, para abadi menghilang manakala kambing itu berubah menjadi batu, menjadikan Guangzhou digelar ‘Kota Lima Kambing’.
Dibina daripada lebih 130 blok granit dan direka tiga pemahat terkenal, patung bersejarah itu kini menjadi tarikan pelancong serta simbol kemakmuran bandar Guangzhou.
Tugu berkenaan dihasilkan oleh tiga pengukir terkenal China — Yin Jichang, Chen Benzong dan Kong Qiuchuan.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Empat sekeluarga nyaris lemas, kereta ditenggelami air
RAUB: Detik cemas dilalui sebuah keluarga apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras selepas memasuki kawasan banjir di Jalan Bentong–Gua Musang, dekat Kampung Tersan, pagi tadi.
Dalam kejadian itu kereta itu dipercayai terperangkap dalam limpahan air sungai yang melimpah ke jalan susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada jam kira-kira 10.00 pagi.
Jurucakap APM Raub berkata, di dalam kereta tersebut dinaiki oleh dua warga emas dan dua orang dewasa.
Menurutnya, keluarga berkenaan berjaya diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan lokasi di Seksyen 67.80, FT008 ditenggelami air sedalam 0.70 meter dan sejauh kira-kira 100 meter menyebabkan laluan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan ringan.
Menurut laporan bencana, corak paras air masih bertahan dan cuaca hujan berterusan direkodkan di kawasan berkenaan.
JKR memaklumkan beberapa laluan alternatif dicadangkan kepada pengguna bagi menggelakkan kawasan yang dinaiki air, antaranya, Jalan Ulu Renggol – Ulu Temalir – Ulu Atok – Kuala Atok; Jalan Cheroh – Batu Malim – Sungai Koyan – Jalan Berchang – FT08 dan Jalan Ulu Dong – Jalan Tualang Padang.
Pasukan rondaan jalan (RC) turut memasang papan tanda amaran dan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan pengguna. Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil risiko meredah banjir.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Anggota APM menyediakan kelengkapan di salah satu PPS di Lipis
Banjir Lipis, 21 rumah terjejas, 4 PPS dibuka.
LIPIS : Hujan lebat berterusan sejak awal minggu mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Lipis dilanda banjir, melibatkan tiga mukim iaitu Ulu Jelai, Telang dan Penjom hari ini.
Menurut Sekretariat JPBD Lipis, kejadian banjir yang bermula pada 25 November lalu kira-kira jam 2.30 pagi menyebabkan empat kampung terjejas iaitu Kuala Medang, Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik dan Kampung Penjom.
Setakat jam 8 pagi ini, sebanyak 21 rumah terkesan dan empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah beroperasi bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan.
Penempatan sementara dibuka di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar (Ulu Jelai), 3 keluarga (8 mangsa), PPS Masjid Beletik (Telang) – 7 keluarga (15 mangsa), PPS SK Lubuk Kulit (Telang) -10 keluarga (40 mangsa) dan PPS SK Penjom (Penjom) – satu keluarga (9 mangsa)
Agensi penyelamat termasuk APM, bomba, polis dan petugas PPS telah dikerahkan ke lokasi untuk membantu pemindahan penduduk dan menguruskan keselamatan kawasan terlibat. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut melaksanakan proses pendaftaran mangsa.
Keadaan cuaca pada pagi ini masih hujan dan pemantauan secara berterusan diteruskan oleh semua agensi terlibat.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Makam Sa’ad bin Abi Waqqas jadi tumpuan pelancong Islam di Guangzhou, China
GUANGZHOU – Makam Sa’ad bin Abi Waqqas di Guangzhou terus menjadi destinasi ziarah utama pelancong Islam dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Saad bin Abi Waqqas adalah tokoh sahabat Nabi Muhammad SAW itu dikaitkan dengan penyebaran awal Islam di China, sekali gus menjadikan lokasi bersejarah berkenaan simbol hubungan awal antara dunia Arab dan masyarakat China.
Pintu gerbang ke Makam Saad Bin ABi Waggas
Berhampiran makam tersebut turut terletak Masjid Tua China atau Masjid Sa’ad Abi Waqqas, sebuah masjid bersejarah yang mempamerkan seni bina tradisional China dengan sentuhan Islam.
Keunikan struktur lama, suasana tenang serta nilai warisan yang dipelihara menarik perhatian pengunjung yang ingin merasai pengalaman ibadah dalam suasana penuh sejarah.
Kompleks itu juga berperanan sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam setempat dengan penganjuran kelas agama, sambutan hari kebesaran Islam dan kunjungan ilmiah.
Ia menjadi lambang kelestarian warisan Islam di Guangzhou serta titik pertemuan budaya yang menghubungkan komuniti Muslim tempatan dengan pelawat antarabangsa.
Pelancong Malaysia yang berdiri di pintu masuk ke Makam Saad Bin ABi Waqqas
Walaupun tiada tarikh tepat mengenai kedatangan Sa’ad bin Abi Waqqas ke Guangzhou, tradisi Muslim China sering menyebut dua kemungkinan, kunjungan awal sekitar 616–619 Masihi atau kedatangan lebih popular sekitar 650 Masihi pada zaman Khalifah Uthman ibn Affan dan Dinasti Tang.
Catatan sejarah China hanya merekodkan kehadiran utusan Arab tanpa menyebut nama beliau secara khusus, menjadikan kisah itu kekal sebagai tradisi lisan yang berpengaruh dalam sejarah Islam di rantau tersebut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masjid Huaisheng di Guangzhou kekal sebagai mercu awal kedatangan Islam ke negara Tanah Naga dan antara masjid tertua di China.
Pintu gerbang senibina China di laluan masuk ke masjid.
Ia dipercayai dibina sekitar tahun 627 Masihi pada era Dinasti Tang oleh sahabat Nabi Muhammad SAW, Saad bin Abi Waqqas, meskipun dakwaan itu sukar dibuktikan secara arkeologi. Namun, tapak ini tetap dilihat sebagai pusat penting perkembangan Islam di selatan China.
Sepanjang sejarahnya, masjid berkenaan melalui beberapa kali pembinaan semula, termasuk selepas kebakaran besar pada 1343.
PIntu masuk utama ke masjid
Seni bina gabungan tradisi Cina dan elemen Islam menjadi identitinya, sementara menara Guangta setinggi 36 meter yang dahulu berfungsi sebagai rumah api pedagang maritim terus menjadi simbol ikonik masjid ini.
Kompleks seluas hampir 3,600 meter persegi itu menempatkan dewan solat, koridor, paviliun, tugu batu dan halaman taman.
Pengunjung dari Malaysia bergamar kenangan di hadapan Masjid Huasheng.
Hari ini, Masjid Huaisheng terus berperanan sebagai pusat ibadah masyarakat Muslim Guangzhou dan simbol hubungan panjang China dengan dunia Islam.
Akses pelawat turut dibuka, namun ruang dalaman lazimnya dihadkan ketika waktu solat, terutama solat Jumaat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menegaskan bahawa hubungan antara sekolah dan ibu bapa perlu diperkasa bagi memastikan isu disiplin murid dapat ditangani secara berkesan.
Persepsi negatif atau tindakan menuduh guru tanpa usul periksa, tegasnya, hanya akan merencatkan proses pendidikan serta meningkatkan tekanan dalam kalangan warga sekolah.
Presidennya, Mohd Zapawi Mamat, berkata realiti semasa menunjukkan guru kini berdepan dilema besar dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan sahaja sebagai pendidik, malah turut memikul peranan sebagai pengurus disiplin, kaunselor, pentadbir dan penjawat awam yang perlu mematuhi pelbagai pekeliling.
“Ruang profesionalisme guru semakin mengecil apabila tindakan disiplin yang diambil sering dikhuatiri disalah tafsir hingga membawa kepada aduan, campur tangan luar atau tindakan undang-undang, keadaan ini menjejaskan keupayaan guru melaksanakan peranan mendidik secara holistik.
“Pada masa sama, beban dokumentasi seperti penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), laporan berkala dan pelbagai tugasan pematuhan turut menjejaskan fokus terhadap pembentukan sahsiah murid,” katanya.
Beliau berkata pembentukan akhlak dan sahsiah memerlukan masa serta ruang yang mencukupi, namun tuntutan pentadbiran yang semakin bertambah menyebabkan guru kehilangan kesempatan untuk memberi tumpuan penuh kepada aspek penting itu.
Mengulas lanjut, Mohd Zapawi berkata KONGRES menggesa mekanisme perlindungan undang-undang kepada guru dibentuk segera bagi memastikan mereka mempunyai hak sewajarnya ketika berdepan risiko tindakan undang-undang daripada pihak luar, termasuk ibu bapa.
“Selain itu, garis panduan sedia ada perlu diperkemas supaya guru jelas tentang batas, kuasa dan prosedur ketika menguruskan disiplin. Pada masa yang sama, mekanisme pembelaan mesti disediakan agar guru tidak menjadi mangsa tindakan yang tidak wajar,” katanya.
”KONGRES sering mengambil maklum pelbagai pandangan dan luahan guru di media sosial yang menggambarkan cabaran baharu profesion keguruan, khususnya berkaitan pengurusan disiplin murid serta beban tugas pentadbiran yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen KONGRES untuk terus memperjuangkan kebajikan, keselamatan dan martabat profesion perguruan, sambil menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
“Pendidikan berkualiti hanya dapat dicapai apabila guru diberikan sokongan, perlindungan dan penghargaan sewajarnya. Semua pihak – kementerian, pentadbir sekolah dan ibu bapa perlu bersama-sama membina ekosistem pendidikan yang sihat dan saling mempercayai demi masa depan modal insan negara,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Nasiruddin Keling bersama pakaian terpakai dan barangan asas keperluan harian sumbangan pelbagai NGO dan individu prihatin untuk dihantar ke Pos Balar.
Demi Empati Dua Sahabat Redah Pedalaman Bantu Komuniti Orang Asli
GUA MUSANG – Berbekalkan empati dan jiwa kemanusiaan yang tinggi, dua sahabat sanggup meredah perjalanan jauh ke pedalaman demi memastikan komuniti Orang Asli di Pos Balar tidak terus hidup serba kekurangan.
Mereka bukan tokoh besar atau individu ternama. Namun bagi Hasmadi Ghazali dan Nasiruddin Keling, usaha membantu golongan memerlukan adalah tanggungjawab sosial, moral dan agama yang wajib dipikul selagi terdaya. Sejak awal September lalu, mereka menggerakkan kempen mengumpul dana serta barangan asas termasuk pakaian terpakai untuk diagihkan kepada 20 keluarga Temiar di pos itu.
Hasmadi Ghazali terpaksa menunggang motosikal untuk menghantar sumbangan orang ramai ke Pos Balar kerana jalan tanah yang berlumpur.
Hasmadi berkata, kerja sukarelanya bukan baharu, sebaliknya sudah bermula sejak tahun 2000 sebagai usaha menyampaikan dakwah Islam secara hikmah kepada masyarakat Orang Asli yang masih ketinggalan dari segi akses kemudahan asas.
Menurutnya, fokus terbaharu adalah membantu membina empangan air tandak bagi menyalurkan air terus ke rumah penduduk. Projek itu diyakini mampu mengurangkan risiko wanita dan kanak-kanak yang kini terpaksa mandi serta membasuh di sungai, sekali gus terdedah kepada ancaman harimau, beruang dan gajah.
“Kalau dana mencukupi, kami juga mahu pasang lampu solar di kawasan kampung supaya persekitarannya lebih selamat waktu malam,” katanya.
Kempen mereka tular selepas dikongsi di media sosial. Sambutan luar biasa diterima daripada orang ramai, termasuk pendidik, ahli jawatankuasa surau dan beberapa NGO yang prihatin. Ada yang menyumbang wang zakat, barangan runcit malah ada yang pernah membantu mengagihkan daging korban kepada komuniti itu pada Aidiladha sebelum ini.
Bagi Nasiruddin, yang mula aktif sebagai aktivis masyarakat selepas bersara daripada sektor kerajaan lapan tahun lalu, kerja kebajikan ini menjadi pengisi masa bermanfaat buat dirinya.
Katanya, meskipun bergerak sendiri, dia dikelilingi rakan-rakan pemurah yang sentiasa sedia menghulur bantuan. Sebelum ini dia pernah menguruskan sumbangan untuk keluarga miskin, asnaf, pusat tahfiz, sekolah pondok, malah sehingga ke Vietnam dan Indonesia.
“Saya hanya cari sumbangan, manakala agihan dilakukan pihak yang mengurus projek. Untuk Pos Balar, Hasmadi sendiri datang ambil barang di pusat pengumpulan di Pangsapuri 17 Tingkat, Kampung Kerinchi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Perwakilan memberi tumpuan dalam Sesi Libat Urus bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Konvensyen Kebajikan Kerajaan Selangor
SHAH ALAM – Konvensyen Kebajikan Negeri Selangor bertemakan “Revolusi Penjagaan Untuk Kesejahteraan Sejagat” yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Seksyen 15, menjadi platform penting memperkukuh ekosistem kebajikan negeri dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, NGO serta wakil masyarakat.
Konvensyen yang diadakan itu membuka ruang perbincangan merangkumi dasar baharu, formula inovatif dan masa depan sistem kebajikan agar tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan sosial. Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, menjelaskan kerajaan negeri sudah merangka dasar khusus bagi memartabatkan petugas pusat penjagaan yang dianggap barisan hadapan dalam tugas sosial.
Beliau berkata, penyediaan kursus penjagaan kepada petugas bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah membantu menyeragamkan kefahaman mengenai peranan sebenar penjaga. Selain itu, Perbadanan Wakaf Selangor turut dijangka melaksanakan wakaf tunai bagi meringankan beban operasi pusat jagaan yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Kerajaan negeri yakin usaha kolaboratif bersama NGO, agensi dan komuniti dapat meningkatkan kualiti pusat jagaan serta memastikan warga emas terus disantuni,” katanya sambil menambah isu berkaitan elaun penjagaan akan dibincangkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, pula berkata konvensyen ini menandakan perubahan penting daripada model penjagaan tradisional kepada pendekatan berasaskan komuniti, teknologi dan kolaborasi pelbagai pihak.
Pelbagai sesi perkongsian turut diadakan membabitkan tadbir urus, integriti, inovasi digital dan isu perkhidmatan alternative service delivery (ASD). Penolong Setiausaha Kehormat Pakar, Muhammad Syafiq Mohiadin, menekankan kepentingan etika digital serta kewaspadaan masyarakat terhadap penipuan dalam industri kebajikan.
Pengurus Pusat Jagaan Nur Hasanah, Kairul Ahmad, berkata konvensyen itu memberi pendedahan luas mengenai isu semasa ekonomi penjagaan, selain membuka peluang rangkaian profesional untuk kerjasama strategik masa depan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!