Riuh bila cadang bawa masuk guru Bahasa Inggeris dari Singapura
Riuh satu Malaysia bila media melaporkan Dato Seri Anwar Ibrahim mencadangkan guru-guru dari Singapura dibawa masuk untuk mengajar Bahasa Inggeris di negara ini.
Ada yang menolak, termasuk mantan Menteri MITI era 1990an dahulu, kononnya, tidak perlu guru dari Kota Singa dibawa ke negara ini.
Tentu pelik bila seorang mantan Menteri MITI yang begitu berpengalaman di peringkat antarabangsa dan percaya kepada prinsip kerjasama serantau, pentingnya berkolaborasi dengan negara jiran untuk kemajuan negara tiba-tiba boleh menolak cadangan PMX.
Sebagai orang pendidikan yang tiada kepentingan politik, saya sokong penuh cadangan PMX, bukan sahaja atas pentingnya dasar jaringan kerjasama diplomatik dengan Singapura tetapi juga kerana sistem pendidikan Singapura telah lama diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.
Kalau ada yang mahu sangkal kejayaan Singapura, itu hak masing-masing, tetapi data pendidikan global mengesahkan dan mengiktiraf pencapaian sistem pendidikan Singapura.
Jadi apa ruginya kalau kita memanfaatkan kelebihan dan pengalaman Singapura untuk melakar kejayaan pendidikan negara kita?
Lagipun yang dicadangkan adalah guru bahasa Inggeris sahaja, bukan bawa guru Bahasa Melayu atau Sejarah dari Singapura dan itupun program sukarelawan sahaja.
Bukankah sudah berpuluh kali program pertukaran guru dan kesukarelawan guru diadakan sebelum ini. Apa masalahnya?
Sebagai ingatan untuk kita semua, selama lebih 20 tahun sejak tahun 2003, kita telah banyak ‘membuang masa’ dan tenaga berpolemik tentang isu pendidikan bahasa Inggeris dengan bermula dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kemudian disambung pula dengan kemelut Dual Language Program (DLP).
Kedua -duanya (PPSMI dan DLP), terang -terang telah mencabar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa pengantar sistem pendidikan negara dan lebih 20 tahun rakyat riuh rendah berdebat tentang PPSMI dan DLP.
Soalannya, selepas 20 tahun berlalu, apa hasilnya? Apakah anak-anak kita lebih fasih bahasa Inggeris mereka?
Sedangkan analisis keputusan Bahasa Inggeris SPM 2023 menunjukkan dengan jelas calon yang mendapat keputusan D, E dan G adalah sebanyak 42%.
Jika dimasukkan dengan calon yang mendapat gred C, peratus ini dengan mudah meningkat lebih 60%!
Bayangkan lebih separuh anak-anak kita berpencapaian rendah dalam Bahasa Inggeris peringkat SPM.
Pengalaman saya di universiti, pelajar yang mendapat gred C Bahasa Inggeris di peringkat SPM, rata -ratanya tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun peringkat asas, menulis ayat lengkap apatah lagi. Banyak masa digunakan di universiti untuk membangunkan bahasa Inggeris asas mereka. Inilah realiti.
Malah ada kenyataan yang lebih membimbangkan. Sebenarnya siapa yang lemah Bahasa Inggeris? Pelajar Cina? Pelajar India? Pelajar Bumiputera Sabah Sarawak? Jawabnya Tidak.
Banyaknya yang lemah Bahasa Inggeris adalah anak Melayu!! Nak lebih tepat anak Melayu mana? Anak doktor atau anak penoreh? Anak peguam atau anak petani? Anak pegawai tinggi kerajaan atau anak nelayan? Anda jawab sendiri.
Bayangkan dengan sebegitu banyak pelaburan luar negara yang diusahakan oleh kerajaan khususnya oleh PMX sendiri, selepas para pelabur ini masuk ke Malaysia membina kilang dan pejabat operasi mereka, siapakah yang akan mereka ambil bekerja sebagai eksekutif,
pengurus atau perunding? Tentulah graduan yang berkelayakan. Tentunya sumber manusia yang kompeten. Yang akan memberikan keuntungan kepada syarikat.
Tapi kalau penguasaan bahasa Inggeris anak-anak tempatan (baca pelajar Melayu) lemah, siapa yang akan menjadi pilihan para pelabur? Tentulah pilihan mereka adalah graduan dan anak-anak muda dari negara serantau. Betul tak?
Susah payah pasukan PMX membawa masuk pelaburan berbilion ringgit, tetapi akhirnya yang menjadi eksekutif dan pengurus kilang pelabur ini adalah anak-anak muda dari negara lain yang kompeten.
Sekarang pun, jika anda ke syarikat antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur, bukan lagi anak-anak tempatan sahaja yang bekerja. Sudah ramai pun pekerja peringkat eksekutif ke atas dari negara lain. Percayalah, semakin hari akan semakin banyak jumlahnya.
Habis, anak-anak kita bagaimana?
Jadi mana lebih baik, terima guru sukarelawan Bahasa Inggeris dari luar negara, atau terima pekerja mahir yang dibayar dengan gaji lumayan dari luar negara pada masa depan? Anda kena buat pilihan.
Sumber FB Anuar Ahmad