Foto : Anggota BBP Lipis memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat sebelum dibawa ke Hospital Lipis.
Seorang mangsa yang cedera dihempap pokok meninggal dunia di Hospital Lipis.
LIPIS : Seorang daripada dua yang cedera parah dihempap pokok ketika berkhemah di Lubuk Beriang, Kampung Pagar Sasak, Padang Tengku, dekat sini meninggal dunia pada jam 1.31 tengah hari, semalam.
Mangsa yang meninggal dunia, Mohd Azliana Alias, 54 tahun yang beralamat di Teras Jernang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Lipis disebabkan mengalami pelbagai kecederaan ( polytrauma ).
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, mangsa yang meninggal dunia bertugas sebagai penjaga setor di Warehouse Pharmaniaga Manufacturing Berhad Bandar Baru Bangi Selangor.
“Manakala seorang lagi mangsa lelaki yang cedera berusia 44 tahun dari Kampung Yain, Kechau dekat sini turut cedera parah dan patah bahagian kaki kanan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.
“Kedua-dua mangsa bersama lima orang lagi yang datang dari Lembah Kelang turut berkhemah dan bermalam untuk memancing di sungai di situ sejak hari Jumaat,” katanya.
Ismail berkata, kejadian pokok tumbang itu berlaku kira-kira jam 7.00 pagi di kawasan perkhemahan mereka ekoran hujan lebat turun malam sebelumnya.
“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis dengan bantuan penduduk kampung telah berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dalam situasi yang sangat sukar kerana keadaan jalan berhutan dan berlumpur yang jaraknya antara tempat kejadian dengan jalan utama dianggarkan sejauh 5 kilometer pada jam 11.45 pagi.
“Kawasan kejadian merupakan kawasan sungai atau lata yang juga sebagai tempat aktiviti penduduk kampung mencari ikan serta tempat perkhemahan,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Olimpik Paris : Aaron-Sow hero Malaysia pungut gangsa
Detik di ambang kekalahan di set kedua ketika ketinggalan empat mata pada angka 16-20, tiba-tiba semangat Hari Merdeka Malaysia meresap di hati pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dapat memungut empat mata untuk berada di kedudukan 20-20 dan terus memenangi set itu dengan mata 22-20.
Kemenangan set kedua bergu negara itu mengheret pasangan nombor dua dunia dari Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup ke set penentuan.
Semangat berjuang pemain negara terus meningkat dengan memenangi set penentuan dengan mata 21-19 dan menggenggam pingat gangsa pertama sukan Olimpik 2024 untuk Malaysia.
Sebelum itu, pasangan negara tunduk di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.
Kemenangan sebentar tadi mengulangi kejayaan pasangan negara merangkul pingat gangsa kali kedua yang dipungut pada edisi Olimpik Tokyo 2020. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Projek baik pulih sekolah agama, pusat literasi siap ikut jadual.
JERANTUT – Warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Ini selepas dua projek diumumkan Wan Rosdy ketika hadir ke kawasan tanah rancangan itu baru-baru ini sudah siap dilaksanakan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, projek itu adalah kerja naik taraf dan baik pulih sekolah agama di situ.
Turut sudah hampir siap adalah kerja naik taraf pusat literasi yang sebelum ini dalam keadaan agak daif.
“Ini jelas membuktikan Datuk Seri Diraja bukan sekadar bercakap sahaja, tapi ia dilaksanakan.
“Jadi kami warga peneroka FELDA Jengka 24 sangat menghargai keprihatinan kerajaan negeri dipimpin beliau,” katanya.
Razak juga memaklumkan tiga lagi projek diumumkan Wan Rosdy sedang dalam proses pelaksanaan.
Katanya, kerja itu adalah baik pulih padang bola, naik taraf tandas masjid dan pembinaan dewan terbuka.
“Saya dimaklumkan semua tiga projek ini sedang dalam proses tindakan pihak berkaitan dan baik pulih jalan sedang di jalankan.( tmpt sering banjir) , katanya. – sahih
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Datuk Abdul Rahman (3 dari kanan) berbincang bersama pegawai KESUMA.
Kerajaan tangani kadar pengganguran walaupun berlaku ledakan teknologi
Kerajaan telah merangka pelbagai strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani kadar pengangguran disebabkan oleh ledakan dan perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peningkatan penggunaan teknologi baharu tidak menggugat kadar pengangguran secara keseluruhannya.
“Walaupun kerja-kerja rutin telah digantikan dengan teknologi, namun teknologi juga telah mencipta pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi seperti kemahiran mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan.
“Oleh itu, di bawah Rangka Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, AI telah dikenal pasti sebagai satu daripada lima teknologi asas yang berupaya untuk menyokong peluasan dan pengoptimuman teknologi 4IR yang lain, teknologi AI berupaya mempercepatkan adaptasi teknologi dan meningkatkan produktiviti pekerja dalam rutin harian mereka,’ katanya.
Abdul Rahman berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerajui Kluster Bakat Digital di bawah Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IRN) turut memberi tumpuan kepada komponen pendidikan dan pengurusan bakat.
“Ini merangkumi keseluruhan tenaga buruh semasa dan masa hadapan, termasuk tenaga kerja rentan, antara lain, inisiatif yang telah digariskan termasuklah mewujudkan platform data yang mempunyai kemampuan Al bagi memudah cara perancangan modal insan dan menyediakan insentif untuk meminimumkan risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Air Sungai Tembeling semakin cetak serta beberapa kawasan mula muncul beting pasir kira-kira 50 hingga 80 meter panjang ekoran musim kemarau di kawasan Ulu Tembeling, di sini, hari ini.
Musim panas mula berlaku sejak minggu lalu turut menjejaskan urusan harian penduduk terutamanya bagi nelayan sungai dan penduduk yang menggunakan bot penambang.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 46, berkata, mulai bulan Jun hingga September setiap tahun paras air Sungai Tembeling mula cetek kerana tiada hujan di kawasan ulu sungai mungkin faktor fenomena La Nino.
“Keadaan cuaca panas mengakibatkan air Sungai Tembeling semakin cepat menjadi cetek memberi kesan aktiviti harian penduduk tinggal di pesisir sungai di Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Bantal Seberang, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling.
“Apabila keadaan kawasan sungai mula timbul beting pasir berdekatan tebing di pesisir kampung ini menyukarkan bot bergerak dan aktiviti penangkapan ikan turut terjejas.
“Sekiranya musim kemarau berterusan, keadaan Sungai Tembeling akan surut turut menjejaskan penduduk yang mengusaha penternakan ikan sangkar di sini,” katanya.
Seorang nelayan sungai Kampung Pagi, Adenan Nipah, 69, berkata, sehingga ini kebanyakan penduduk yang mencari rezeki menangkap ikan sudah berdepan kekurangan hasil tangkapan kerana di beberapa tempat di sungai ini mulai cetek.
“Ikan liar mula tertumpu di habitat seperti lubuk dan bawah batu kerana tidak tidak dapat bergerak akibat sungai cetek, manakala ikan patin, ikan lawang, ikan jengkua dan ikan liar lain mencari makanan di kawasan hilir sungai jauh dari sini.
“Kita berdoa fenomena musim panas ini akan berakhir kerana air sungai ini turut menjadi sumber air penduduk setempat dan juga daerah ini, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Allahyarham Haji Mat Lela bin Buang merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Mat Kilau , Mereka keduanya adalah Pahlawan Pahang. Cumanya Mat Lela ni orang yang tidak suka menonjol dan suka berahsia , Beliau mempunyai ilmu kepahlawanan sama handal dengan Mat Kilau.
Jika Mat Kilau memiliki buntat embun, gagah dan kebal. Haji Mat Lela pun begitu juga, Mereka bersama-sama berguru tetapi disebabkan Mat Kilau menjadi buruan pihak Inggeris maka sahabat-sahabat beliau terpaksa merahsiakan perhubungan antara mereka dan berhubung secara senyap.
Amalan ataupun rutin Haji Mat Lela lebih kurang dengan Mat Kilau , Pada waktu subuh mereka akan mandi embun , Mereka merasa lebih segar dan cergas bila waktu subuh , Dan mereka langsung tidak merasa mengantuk , Diwaktu itulah mereka akan mandi embun dan melakukan kerja-kerja mereka , Haji Mat Lela juga mengamalkan minum air embun setiap hari dan menitiskan air embun tersebut ke matanya. Walaupun sudah berusia Haji Mat Lela masih buat kerja berat dan terang penglihatannya.
Haji Mat Lela selalu masuk hutan mencari akar-akar kayu. Pelbagai tumbuhan yang beliau akan cari seperti rempah gunung, sekecut, tongkat ali hitam, serapat, jenjulung, akar meroyan, kacip fatimah dan banyak lagilah.
Selain embun Haji Mat Lela juga sentiasa mengamalkan meminum akar-akar kayu untuk kekal sihat walaupun tubuhnya telah tua.
Haji Mat Lela juga boleh mengubati orang sakit. Rumah beliau sentiasa dikunjungi orang bertujuan untuk berubat dan mendapatkan air penawar.
Beliau juga boleh mengetahui siapa yang akan bertandang ke rumahnya walaupun tidak membuat temujanji terlebih dahulu. Kalau ada orang nak datang, beliau akan berpesan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku dan beritahu sekejap lagi akan ada orang yang datang.
Dengan izin Allah, Pelbagai penyakit Haji Mat Lela boleh rawat seperti demam campak, kembung, gatal kulit, kayap, sawan, sakit raja, bisul, lekat uri, lekat tulang, selusuh, mengesan punca penyakit sama ada sakit dalam badan sendiri atau angkara sihir dan mengesan orang-orang yang hilang. Khidmat beliau sentiasa diperlukan bagi menangani masalah ini.
Sewaktu zaman penjajahan Jepun tahun 1941, kehidupan aman damai yang dikecapi bertukar menjadi porak peranda di setiap tempat. Tentera Jepun mula memasuki daerah Pekan dan seterusnya menuju ke Kampung Merchong.
Orang-orang kampung lari ke hutan belantara bagi menyelamatkan diri masing-masing. Sementara Haji Mat Lela hanya duduk di rumah berseorangan bagi menjaga kampung tersebut. Kemasukan tentera Jepun tidak sekali-kali menggentarkan beliau.
Tentera Jepun tidak dapat menyelongkar rumah-rumah dan kedai-kedai yang ditinggalkan kerana pergerakan mereka sentiasa dihalang oleh Haji Mat Lela.
Hendak ditangkap, Haji Mat Lela tidak nampak oleh pandangan mata kasar sehinggakan ramai askar Jepun dicederakan oleh beliau. Tentera Jepun merasa cukup ganjil dengan kejadian itu dan akhirnya meninggalkan kampung tersebut.
Ketika Mat Lela berada di hutan , Beliau pernah diterkam dari belakang oleh seekor beruang yang amat besar.
Beruang itu mencakar dan mengigitnya tetapi kulit Haji Mat Lela sedikit pun tidak terjejas.
Dan Haji Mat Lela pun bertindak melawan beruang itu dapat menewaskannya , Seterusnya beliau serahkan beruang itu kepada pihak mergastua , untuk mengelakkan orang lain menjadi mangsa.
Batang nibung adalah sumber rezeki Haji Mat Lela. Permintaannya amat tinggi untuk dijadikan kelong di laut.
Pokok nibung yang ditebang diikat dengan tali, dipintal dan ditarik sedikit demi sedikit oleh beliau untuk dikumpul pada satu tempat.
Memang kerja itu merumitkan kerana batang nibung itu panjang dan berduri. Pernah orang-orang kampung mengintai, apabila tiada orang berhampiran, Haji Mat Lela memikul batang-batang nibung itu. Mereka berasa amat terkejut.
Memang betullah cakap orang terutamanya Mat Kilau beliau pernah berkata bahawa Haji Mat Lela itu memiliki ilmu gagah.
Seorang tauke cina di kampung itu pernah menempah kepala payang untuk perahu besar beliau daripada Haji Mat Lela. Setelah menunggu beberapa bulan, kepala payang itu masih belum disiapkan.
Beliau menemui Haji Mat Lela dan mahukan kepala payang itu disiapkan segera. Sedangkan perjanjian untuk disiapkan masih ada beberapa minggu lagi.
Keesokkan paginya tauke itu membuka pintu rumahnya. Aiyaaa…..! Beliau amat terkejut. Kepala payang berada di depan mata. Bagaimana ia boleh berada di situ? Untuk mengangkatnya saja memerlukan tenaga sepuluh orang perkasa.
Ini memang kerja Haji Mat Lela. Kepala payang itu diangkatnya seorang pada waktu malam.
Tauke itu mencari Haji Mat Lela untuk memohon maaf. Beliau tahu orang tua ini tidak boleh buat sembarangan.
Ada satu kisah dimana ketika itu sebuah jambatan besar sedang dibina bagi kemudahan penduduk kampung. Setelah kerja-kerja hampir siap, besi penghentak bagi kerja- kerja tersebut dibiarkan berada di atas jambatan. Ia menjadi penghalang laluan penduduk kampung.
Apabila disuarakan kepada kontraktor, kontraktor itu tidak menghiraukannya dan menyuruh penduduk kampung mengalihkannya sendiri, Sedangkan besi tu berat kot , Kena pakai kren baru boleh angkat.
Penduduk kampung merasa bengang dan sudah tidak dapat bersabar lagi , Sebab Itulah saja jalan penghubung buat mereka keluar mencari rezeki.
Macam mana kenderaan hendak lalu jika laluannya terhalang. Akhirnya mereka memutuskan untuk menemui Haji Mat Lela bagi meminta bantuan.
Haji Mat Lela mencari kontraktor itu dan akhirnya bertemu di atas jambatan tersebut, Beliau meminta dengan cara yang baik pada kontraktor tersebut untuk mengalih halangan di atas jambatan itu.
Kontraktor itu dengan angkuhnya berkata, “Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!”
Hati Mat Lela tercabar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Haji Mat Lela lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki kanannya dan besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai.
Kontraktor cina itu terkejut dan terpinga- pinga melihat kejadian tersebut . Beliau dalam keadaan terketar- ketar terus menghulurkan tangan untuk memohon maaf daripada Haji Mat Lela.
Haji Mat Lela sebenarnya adalah seorang tokoh yang tidak mahu ditonjolkan. Beliau berpegang kepada sumpah dan janji. Beliau sangat merendah diri dan tidak akan mempamerkan kehebatannya kecuali keadaan mendesak , Walaupun ketika anaknya bertanya mengenai ilmu persilatan dan meminta untuk diajarkan ,
Haji Mat Lela menjawab dia tak pandai bersilat. Sememangnya sangat rahsia orangnya.
Tetapi beliau banyak menurunkan ilmu untuk merawat orang kepada anaknya. Haji Mat Lela meninggal dunia pada tahun 1995 diusia 118 tahun akibat sakit tua dan dikebumikan di pusara Kg. Merchong, Nenasi, Pekan.
“Ajal maut itu ketentuan Tuhan , Selagi belum sampai ajal , Kita takkan mati.”
Ayat ini selalu dipesan pada anak-anaknya jika mereka takut dibaham harimau, beruang dan binatang buas lainnya , kerana mereka sering masuk hutan.
Haji Mat Lela sememangnya mengajarkan anaknya ilmu hutan dan mengenal hutan serta tumbuhan yang boleh dimanfaatkan.-SAHIH
Sumber Kredit Bissirril Al-Fatihah. Tengku Daeng Mawelle Warisan Johor
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili Chegu Bard, Mohd Rafique Rashid Ali yang memaklumkan penahanan itu dilakukan pada pukul 3 petang di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.
Katanya, Chegu Bard disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan adalah berkaitan pendedahan Chegu Bard atas dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tertinggi TLDM.
“Pihak polis juga mengesahkan permohonan reman akan dibuat pagi esok di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9 pagi semalam,” katanya.
Terdahulu, Chegu Bard mendakwa polis menyerbu rumahnya pada Jumaat namun beliau tiada di rumah kerana berada di Tambun.
Beliau mendakwa tindakan itu susulan catatannya di Facebook yang mendedahkan dokumen sulit berhubung kegiatan rasuah membabitkan pegawai tinggi kanan TLDM.
Sumber : sengatdaily.com
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DAP pernah nyatakan mahu melihat UMNO kembali kuat – Abdul Rahman
TANJUNG KARANG: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan DAP pernah menyuarakan hasrat mahu melihat parti keramat itu kembali kuat dan menjadi tempat berpaut demi kelangsungan dalam arena politik tanah air.
Katanya, kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong di hadapan Jemaah Menteri ketika sesi mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
“Beliau (Steven Sim) pernah menyatakan UMNO perlu kuat. Mereka (DAP) hanya nak menumpang UMNO sahaja kerana hanya boleh menang antara 40 hingga 43 kerusi dan tak mungkin lebih dari itu.
“Beliau juga memaklumkan masyarakat Cina tidak ramai anak dan tak mungkin hendak menuntut menjadi Perdana Menteri.
Abdul Rahman bersalaman dengan perwakilan Umno Bahagian Tanjung Karang.
“Kalau tidak kuat, DAP tak boleh menumpang pada UMNO. Beliau beri kebenaran kepada saya guna sewenang-wenangnya masa yang ada ini untuk memperkukuhkan UMNO itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Dato Hormat, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata Steven ‘mengarahkannya’ untuk memanfaatkan masa yang ada bagi menguatkan UMNO di seluruh negara.
“Beliau beritahu ‘Datuk pergilah ke Pantai Timur, Utara dan Selatan untuk membantu UMNO supaya parti bertambah kuat’. Daripada riak muka saya nampak keikhlasan hatinya” katanya.
Abdul Rahman turut menyangkal tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap DAP dengan panggilan jelik termasuk chauvanis dan sosialis, sedangkan perkara itu tidak masuk akal sama sekali.
“Parti itu tidak seperti yang kita sangkakan sebelumnya. Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pernah menyebut beliau tak sangka rupa-rupanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) seorang yang rajin bekerja, mempunyai idealisme tinggi dan mereka (DAP) sangat seronok bekerja bersama beliau.
“Ini apa yang dilontarkan yang saya dengari. Steven Sim ini sudah pasti orang yang rapat dengan saya dan sentiasa bersama dengan saya.
“Selama ini kita rasakan DAP chauvinis, sosialis dan sebagainya. Tetapi pandangan saya tidak terlalu ke arah itu kerana rakan kongsi kita (MCA dan MIC) adalah salah satu tunjang kepada kita sebenarnya,” katanya.
Sumber : Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDIDIKAN memainkan peranan penting sebagai pendorong utama perkembangan masyarakat dan ekonomi untuk mencapai matlamat kerajaan untuk membawa perubahan positif dalam pendidikan, kecerdasan buatan atau AI ke arah memperkenal anjakan paradigma baharu dalam pendidikan, membawa potensi untuk merombak cara kita mengajar dan belajar.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, proaktif dengan menjadi peneraju menerusi penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) yang bakal diadakan pada 8 Oktober hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak.
UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara. – Gambar hiasan
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI, merangkap penasihat persidangan, Prof Dr Suriani Abu Bakar, PKEP merupakan satu platform inovatif untuk meneroka dan menghuraikan peranan serta potensi kecerdasan buatan dalam transformasi landskap pendidikan.
“PKEP menjelajahi hubungan sinergi antara pendidikan dan kecerdasan buatan, meneropong peluang baharu dan menangani cabaran yang mungkin timbul dalam melaksanakan teknologi itu dalam kalangan institusi pendidikan.
“Revolusi digital memberikan impak yang mendalam pada hampir semua aspek kehidupan, termasuk dalam dunia pendidikan. Justeru itu, UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara,” katanya.
Suriani berkata, di era ini, kecerdasan buatan memainkan peranan sentral dalam merancang ulang cara kita mengakses, menyampaikan dan mengamalkan ilmu. PKEP mengambil peranan utama dalam membahas bagaimana kecerdasan buatan, sebagai peneraju utama inovasi teknologi, dapat menerajui perubahan dalam pendidikan bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang yang juga Pengerusi PKEP, Dr Nordiana Hamzah berkata, bagi mencapai tujuan itu, wacana perkongsian ilmu hasil penemuan terkini berkaitan kecerdasan buatan khususnya melibatkan teknologi pendidikan menjadi fokus utama UPSI.
“Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan jurnal terbitan UPSI di samping membuka peluang kerjasama dengan pelbagai agensi bagi menaik taraf jurnal UPSI dengan tema “Menerajui Pendidikan Menerusi Kecerdasan Buatan.”
“PKEP berperanan sebagai gelanggang perkongsian idea dan pengetahuan, mempersatu pemikir terkemuka dalam pendidikan dan teknologi untuk mengeksplorasi potensi terbesar kecerdasan buatan dalam membentuk masa depan pendidikan,” katanya.
Katanya, PKEP menampilkan dua pakar AI dalam pendidikan iaitu Prof Madya Dr Azizi Abd Aziz dari Universiti Utara Malaysia dan Prof Madya Dr Bahbibi Rahmatullah dari UPSI, bengkel Penulisan Artikel Menggunakan Aplikasi AI akan dikendalikan oleh Dr Muhammad Fadzilah Zaini dari UPSI.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persidangan I PKEP dan pakar dalam Pendidikan Multimedia dan Reka Bentuk Pembangunan Permainan, Dr Laili Farhana Md Ibrahim, berkata objektif PKEP termasuklah meneroka dan membentuk hala tuju inovatif dalam pendidikan yang diilhamkan oleh penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem pendidikan.
“PKEP bakal mengembangkan ilmu pengetahuan hasil kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pascasiswazah, ahli akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan.
“Selain itu, PKEP bakal menyediakan peluang untuk berkongsi dan mendokumentasikan penyelidikan terkini dalam konteks pembelajaran dan pengajaran bagi memenuhi keperluan semasa yang bakal memarbatkan bidang pendidikan negara,” katanya.
Katanya, tarikh akhir penerimaan kertas kerja ialah pada 31 Ogos 2024, manakala tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 30 September 2024.
“Peserta yang berminat untuk menyertai PKEP boleh menghubungi Dr Laili Farhana (017-5540815) atau Nor Azura Mustafa Bakri (019-8777973). Peserta juga boleh menghubungi Seksyen Penerbitan Jurnal, Pejabat Karang Mengarang, UPSI pada talian 05-4505437 atau e-mel kepada me.ejournal@upsi.edu.my,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dua maut dan empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti pada jam 1.20 tengah hari, hari ini.- Ihsan BBP Mentakab.
Dua maut, empat cedera, pikup bertembung dengan treler di Temerloh
TEMERLOH : Dua maut dan empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti pada jam 1.20 tengah hari, hari ini.
Dua yang maut itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 79 tahun yang juga pemandu pikup Toyota Hilux beralamat Taman Rimba, Mentakab dan seorang lelaki warga negara China berusia 46 tahun yang menaiki pikup itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mazlan Hassan berkata, di dalam pikup tersebut turut dinaiki tiga lagi penumpang lelaki berusia 65 dan 69 tahun warga tempatan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun warga China turut cedera dan diletakkan dan dirawat di zon merah di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler jenis Hino yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 63 tahun yang datang dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur telah bertembung dengan kenderaan pikup tersebut yang datang dari arah Kuala Lumpur.
“Akibat dari perlanggaran tersebut pemandu dan seorang penumpang pikup telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pemandu treler yang beralamat di Bagan Ajam, Pulau Pinang turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sama.
“Kemalangan ini masih dalam siasatn lanjut dan Kes di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!