Pic : Anggota Perhilitan memasang jerantut untuk menamgkp haiwan itu.
Harimau kumbang hitam baham sepuluh ekor anjing kawal kebun.
RAUB – Seekor harimau kumbang hitam (pantera pardus) dipercayai membunuh sepuluh ekor anjing sejak bulan lepas di kawasan kebun yang terletak di Sungai Liang, Cheroh, dekat sini.
Kejadian itu, mencetuskan ketakutan dan kegusaran keselamatan di kalangan pengusaha kebun di sekitar kawasan tersebut.
Seorang pengusaha kebun durian, Wilson Chang, 42, berkata, sejak kejadian itu, ramai pengusaha kebun mula bimbang dan risau keselamatan atau pekerja mereka untuk ke kebun masing-masing.
“Pengusaha kebun tidak berani bekerja di kebun sehingga lewat petang, ramai pergi bekerja secara berkumpulan atau keluar sebelum lewat petang atau kawasan sekitar gelap.
“Sejak sebulan, kami menyedari bilangan anjing pengawal di kebun semakin berkurangan dan kedudukan kebun yang terletak kira-kira 1 kilometer (km) dari jalan utama dan dahulunya terdapat banyak anjing berkeliaran di kawasan itu, sekarang semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, anjing pengawal di kebun hilang atau dibunuh satu persatu, angkara ‘Kucing hitam besar’ yang berkeliaran dan datang dari arah bukit berhampiran danmenjadikan kebun kami tempat mencari makanan.
“Abang ipar saya mendapati empat ekor anjing pengawalnya peliharaannya diserang oleh harimau kumbang, manakala seorang lagi pekebun kehilangan enam ekor anjingnya.
“Dipercayai harimau itu menyerang anjing-anjing milik pekebun di sini di awal pagi antara jam 5 pagi hingga 6.00 pagi,” katanya.
Kata Chang, kejadian terbaharu pada 28 September, ketika abang iparnya pergi ke ladang kira-kira jam 7.00 pagi dan menyedari anjingnya resah, seolah-olah melihat sesuatu dan dalam keadaaan ketakutan.
“Abang ipar saya berjalan masuk ke dalam kebun untuk memeriksa tetapi anjing-anjingnya itu enggan menemaninya dan terjumpa bangkai anjingnya dengan kesan darah yang masih baru.
“Pekebun ada terjumpa kesan tapak kaki harimau kumbang di atas tanah di kawasan dusun masing-msing dan ada yang mendakwa mereka juga pernah terjumpa haiwan itu yang ditanam dengan pokok durian, nanas dan manggis,” katanya.
Chang berkata beliau telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang pada 31 September sebelum mereka tiba untuk meletakkan sangkar bagi menangkap haiwan itu pada 2 Oktober.
Sumber :Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masih ramai tak tahu apa maksud garisan ‘zigzag’ di jalan raya, ini penjelasan MBSA
Masih ramai tak tahu apa maksud garisan ‘zigzag’ di jalan raya, ini penjelasan MBSA.
Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya memuat naik hantaran di laman sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) mengenai maksud garisan zigzag yang dilihatnya.
Garisan tersebut dilihat di Seksyen 13 Shah Alam, dan beliau mendakwa tidak pernah melihatnya dalam silibus pembelajaran ketika mengambil lesen memandu dahulu.
Persoalannya, apakah maksud garisan zigzag pada jalan raya?
Menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), penggunaan garisan zigzag ini bertujuan mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan berkenaan.
“Untuk makluman, penggunaan garisan zigzag di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam adalah projek kajian MBSA,” kata Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya, Mohd Azhar Mohd Sharif.
“Garisan zigzag ini bertujuan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan, memastikan pematuhan had laju oleh pemandu di jalan raya, serta meningkatkan kesedaran pemandu mengenai lintasan pejalan kaki di hadapan.
Menurutnya lagi, penggunaan garisan zigzag ini akan diperluaskan di kawasan yang mempunyai kekerapan kemalangan yang tinggi.”
Maksud Garisan Zigzag di Jalan Raya
Garisan beralun biasanya dilihat di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, dan Sri Lanka.
Garisan tersebut dicat di atas jalan untuk memberi amaran kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan ketika menghampiri persimpangan pejalan kaki.
Garisan zigzag dicat untuk memastikan garis penglihatan yang jelas bagi pejalan kaki, membolehkan mereka melihat dan dilihat oleh kenderaan yang datang.
Ini adalah penting untuk mengelakkan kemalangan, terutama di kawasan yang terdapat banyak kanak-kanak kecil yang kurang kelihatan kepada pemandu.
Adalah penting bagi pemandu mematuhi peraturan yang mengawal garisan zigzag untuk mengelakkan kemalangan dan mewujudkan persekitaran jalan yang lebih selamat untuk semua.
Kesedaran awam dan pemanduan yang bertanggungjawab adalah kunci untuk memastikan kita semua mendapat manfaat daripada penanda jalan ini. Oleh itu, adalah menarik untuk melihat sama ada inisiatif penguatkuasaan baharu dapat meningkatkan tingkah laku pemanduan dan, akhirnya, keselamatan awam.
Bukan Pertama Kali Digunakan di Malaysia
Menariknya, penggunaan garisan zigzag ini bukanlah kali pertama di Malaysia.
Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melaksanakan sistem keselamatan ini.
Tujuh kawasan yang mempunyai garisan zigzag di Pulau Pinang ialah Burmah Road (hanya di hadapan Persatuan Buddha Malaysia), Light Street (di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri), Beach Street (berhampiran simpang dengan Bishop Street), Jalan Kampung Kolam (berhampiran simpang dengan Jalan Masjid Kapitan Keling), Jalan Pulau Pinang (berhampiran simpang dengan Jalan Chulia), dan Gurney Drive (berhampiran pusat penjaja Gurney).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Prof Md Amin beramah mesra dengan pelajar baharu UPSI yang memiliki pencapaian cemerlang.
Pelajar baharu UPSI kongsi pengalaman kejayaan dalam bidang masing-masing
PELAJAR baharu Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, baru-baru ini yang mempunyai latar belakang yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.
Justeru, berbangga dengan pencapaian pelajar, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menjemput beberapa pelajar berkongsi pengalaman mereka merangkul kejayaan dalam bidang inovasi, pencipta perisian akademik, atlet sukan negara serta bakat kepimpinan ketika sekolah, matrikulasi dan prauniversiti.
Pada Majlis Ikrar Pelajar UPSI Ambilan September 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Prof Md Amin bersama pengurusan tertinggi universiti menyaksikan 4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda melafazkan ikrar.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin.
Beliau berkata, majlis yang diadakan itu menjadi medium bagi mengenali pelajar dengan lebih dekat dari segi pencapaian yang berjaya diperolehi sebelum itu.
“Kita lihat ada pelajar yang memperoleh juara dalam Innovator, juara dalam Tilawah Al-Quran walaupun mempunyai masalah cacat penglihatan, ada ahli sukan, pidato dan sebagainya.
“Saya terharu dengan pencapaian pelajar baharu UPSI ini yang sememangnya hebat dan cemerlang secara holistik, bukan semata-mata cemerlang dalam akademik tetapi seimbang dalam segenap aspek,” ujarnya.
Prof Md Amin berpesan kepada semua pelajar supaya mengamalkan budaya UPSI iaitu budaya senyum, sapa dan salam serta sentiasa mengenang jasa ibu bapa yang banyak berjasa.
Beliau juga berharap semoga kecemerlangan yang dimiliki pelajar dapat diteruskan sampai bila-bila supaya dapat menjadi insan yang menjadi contoh kepada anak bangsa masa hadapan.
UPSI, katanya, sebuah universiti yang tersohor dalam melahirkan pendidik yang berbakti di seluruh tanah air demi masa hadapan anak bangsa.
Justeru, seru beliau, sepanjang pengajian Prof Md Amin mahukan pelajar sama-sama berjuang mengharumkan nama UPSI, sebuah universiti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan kondusif serta terhampar indah di sisi Banjaran Titiwangsa.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan sesi penyerahan surat tawaran Program Pembangunan Siswa SULUNG, UPSI kepada lima pelajar yang terpilih iaitu Nurul Hazwanie Badeli, Nurin Irdina Zambi, Nur Fatihah Mohammad Samsudin, Nur Aliz Airiz Kamarudin dan Nurul Ain Natasha Hasmadi.
Program itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejaki kaki ke universiti dengan memberi penawaran pengecualian yuran universiti.
Majlis ikrar pelajar diketuai oleh Amin Syahmi Azahar, dari program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Amin Syahmi mengetuai bacaan ikrar di hadapan pengurusan tertinggi UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Sementara itu, hasrat Muhammad Fazlee Nor Shaidun, 20, melanjutkan pengajian ke UPSI akhirnya menjadi kenyataan walaupun mulanya dirasakan sukar kerana masalah kewangan yang ditanggungnya.
Anak yatim piatu berasal dari Jeli, Kelantan yang ditawarkan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu bersyukur kisah hidupnya yang terpapar dalam media sosial mendapat perhatian pihak UPSI yang prihatin dengan nasibnya.
Muhammad Fazlee adalah lepasan tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh dan Maktab Rendah Sains MARA, Jeli itu hampir putus harapan kerana tidak mampu membuat persiapan dan membayar pendaftaran.
Ibunya meninggal dunia ketika usianya 41 hari kemudian diikuti ayah beliau pada usianya setahun, kemudian Muhammad Fazlee dipelihara oleh datuk dan neneknya sehingga sekarang.
Demi mengejar cita-cita, Muhammad Fazlee bekerja sambilan sebagai penghantar barang untuk mengumpul wang memasuki universiti, namun tidak mampu menampung sehingga menimbulkan kerisauan bimbang gagal mendaftar kerana pendapatannya hanya cukup untuk membeli makanan seharian sahaja.
Muhammad Fazlee yang ditempatkan penginapan di Kolej Aminuddin Baki melahirkan rasa bahagia dan seperti tidak percaya dapat menyambung pengajian serta hampir hilang harapan.
Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir, berkata bersimpati dengan kisah Muhammad Fazlee, maka UPSI memberikannya bantuan menerusi Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian bagi semester satu.
Muhammad Fazlee adalah antara 93 pelajar yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baharu bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25 daripada 4,195 calon yang berjaya dalam permohonan. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelajar tak kisah masuk IPT bawa karung guni ganti beg
KUALA LUMPUR – Kisah Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah, di Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi cukup menyentuh hati Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Katanya, situasi itu menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan,
Serentak itu beliau mengarahkan pengurusan UMS dan UiTM Sabah untuk segera mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan.
“No student should be left behind,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan kebajikan pelajar terjaga sepanjang pengajian mereka.
“Bagi anak-anak siswa yang bakal mendaftar di IPTA dan IPTS seluruh negara, saya juga ingin mengingatkan supaya jangan ragu dan segan untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
“Pelbagai bantuan kementerian sediakan mengikut keperluan anak-anak semua. Tinggal kenal pasti dan mohon. Insya Allah ada penyelesaiannya.
“Teruskan semangat menuntut ilmu, percayalah usaha dan pengorbanan ini akan membuahkan hasil. Selamat maju jaya dalam pengajian.
“Kami di KPT sedia membantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail minta rakyat Pahang elak mendengar naratif auta daripada pihak pembangkang yang mula kehabisan idea.
Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4, Daerah Lipis.
Beliau berkata, lihatlah prestasi pentadbiran kerajaan sekarang melalui data dan fakta bukan naratif auta yang sering dimainkan oleh pembangkang.
“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, menggunakan naratif memburukkan kerajaan oleh pembangkang sangat kuat sehingga mempengaruhi pemikiran pengundi ketika itu.
“Lihat sekarang, kerajaan menyediakan perumahan untuk rakyat demi kesejahteraan mereka daripada hasil negeri yang sangat memberangsangkan dan cuba lihat negeri lain (pembangkang) tiada apa yang boleh dicontohi, kita buktikan apa kita buat,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4, Daerah Lipis, hari ini.
Katanya, semalam, sejumlah keseluruhan hakmilik yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi FELCRA Kerdau 1, 2, 3 dan 14 dan Skim Tanah Rakyat di daerah Temerloh sebanyak 1,465 hakmilik dan kelulusan tanah yang diberikan untuk kegunaan pertanian dan bangunan kediaman dan untuk tanah pertanian seluas antara 0.5 ekar hingga 3 ekar.
“Macam mana pihak pembangkang menyatakan pentadbiran negeri ini lembik seperti mereka dakwa, prestasi boleh dilihat dan bukan omongan kosong yang sering dimainkan oleh pembangkang.
“Rakyat yang tinggal di negeri ini, ‘Jangan gigit tangan tuan yang memberi’, sewajarnya perlu bersyukur dan berterima kasih kerana pelbagai bantuan diberi kepada rakyat negeri ini bermula daripada bayi baru dilahirkan dan sehingga bantuan orang yang meninggal dunia, termasuk bantuan persekolahan, belajar ke IPTA dan beberapa bantuan lain,” katanya.
Katanya, kerajaan membuktikan pada hari ini, sebanyak 100 unit rumah PR1MA Pahang dan 25 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 diserahkan kepada penerima ini membuktikan komitment kerajaan negeri untuk membahagiakan rakyat negeri ini dengan harga RM150,000 dijual di bawah harga pasaran biasa berharga kira-kira RM300,000.
“Di Tanjung Gahai, kita serahkan 30 unit Rumah Makmur berharga RM80,000, bantuan rumah ini adalah usaha berterusan kerajaan kerana ini adalah keperluan asas rakyat, kerajaan terus membantu dengan sebaik mungkin tetapi kestabilan politik dan pendapatan hasil negeri perlu dalam situasi baik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH : Menteri Besar Pahang berharap rakyat yang menerima pelbagai bantuan kerajaan negeri Pahang, ‘jangan gigit tangan tuan yang memberi’, sewajarnya perlu bersyukur dan berterima kasih.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri Pahang terus komited menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada penduduk negeri ini meski pun pelbagai sentimen negatif terhadap kebaikan yang telah lama dibawakan (kerajan negeri) untuk rakyat.
“Pemberian bantuan Kerajaan Negeri kepada setiap golongan rakyat yang disenarai tidak pernah terhenti malah diberi dari semasa ke semasa kepada yang layak.
“Peranan wakil rakyat di setiap peringkat tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota masyarakat di kawasannya,” katanya di Majlis Penyampaian Hakmilik Tanah FELCRA Kerdau dan Skim Tanah Rakyat Daerah Temerloh di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kasim, Peragap, dekat sini, hari ini.
Katanya, oleh itu, rakyat negeri ini sewajarnya membantu kerajaan negeri kekal dengan pentadbiran sekarang untuk memudahkan penyaluran bantuan, tetapi sekarang agak sukar kerana terdapat kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai pembangkang.
“Kalau boleh di masa akan datang (Pilihanraya), pastikan calon kerajaan sekarang di kawasan dikuasai pembangkang dikembaikan semula. Ini memudahkan penyaluran bantuan kepada yang rakyat memerlukan,” katanya.
Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM141.78 juta bagi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2020 hingga tahun ini.
“Berdasarkan statistik, pada 2020 dan 2021 telah membelanjakan sejumlah RM31.30 juta, diikuti RM30 juta (2022), RM42.4 juta (2023) dan RM38.08 (2024).
“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan sedar akan keperluan serta manfaat pelaksanaan inisiatif BPP kepada rakyat Pahang,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, setakat hakmilik tanah bagi FELCRA Kerdau dan 14 Skim Tanah Rakyat (STR) di Daerah Temerloh telah disampaikan.
“STR pula, kerajaan negeri telah meluluskan 1,128 hakmilik, merangkumi 14 Skim Tanah Rakyat seperti di Sungai Jentar seramai 178 hakmilik; Kuala Kaung (94 hakmilik); Kampung Sok Mek Fasa 2 Bolok (160) ; Kampung Bukit Lada (37); Pangsenam (22); dan Kampung Badok (15).
“Selain itu, Kampung Bintang (62) ; Kuala Kerdau (18); Kampung Paya Sok ( 101) ;Sungai Jenalik (113); Ulu Jenut (99); Sungai Juru (65); Kampung Orang Asli Paya Sendayan (100) dan Ulu Kemuning (64),” katanya
Katanya, jumlah keseluruhan hakmilik yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi FELCRA Kerdau 1, 2, 3 dan 14 Skim Tanah Rakyat di daerah Temerloh ini ialah sebanyak 1,465 hakmilik.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ADUN Jengka tidak matang, semua benda mahu dipolitikkan
KUANTAN – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka daripada Pas, Shahril Azman Abd Halim mempolitikkan kesilapan dalam video TikTok yang tular baru-baru ini sangat mengecewakan.
Kesilapan dalam video itu diakui oleh ADUN Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah dan beliau sudah memadamkan video berkenaan.
Haris berkata, apa yang berlaku ketika rakaman video itu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dan tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak.
“Saya sedar berlaku kesilapan ketika rakaman video itu dan perkara berkenaan segera saya ambil tindakan dengan memadamkan video terbabit.
“Sangat mengecewakan kerana Shahril Azman menberi ulasan dengan merujuk kepada video yang sudah tiada (dipadamkan) dan seterusnya ia menjadi viral.
“Saya harap perkara ini tidak terus dijadikan bahan politik kerana ia bukanlah kesilapan yang disengajakan,” katanya.
Sebelum ini, ADUN Jengka terbabit mendakwa Haris sebagai tidak peka dengan hal berkaitan kiblat umat Islam – Kaabah – hingga menimbulkan kekeliruan.
Bagaimanapun, Haris menjelaskan ucapan dibuat dalam video terbabit disebabkan salah faham dan ia sudah tidak ada dalam akaun TikTok miliknya.
Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli turut mempersoalkan tindakan ADUN Jengka mempolitikkan perkara itu.
Ridzuan turut menasihati Shahril Azman supaya lebih matang dan tidak menjadikan semua benda sebagai bahan politik.
Katanya, Haris yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut sudah memohon maaf atas kekhilafan yang tidak disengajakan itu dan ia tidak perlu dipanjangkan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Warga emas, sukarelawan dan tetamu jemputan berarak sambil berselawat sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
NGO buka pusat jagaan warga emas beri rahmat kepada komuniti setempat
“IBARAT suatu rahmat kepada komuniti setempat apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka pusat jagaan di tempat mereka bagi menjaga dan mengurus warga emas tersisih daripada keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Malah adalah wajar bagi komuniti di tempat yang dibuka pusat jagaan ini untuk turut terbabit membantu atau meringankan tugasan menyantuni warga emas berkenaan kerana tindakan sedemikian umpama menjaga ibu bapa sendiri,” kata Ketua Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, Kamaruzzaman Samad.
Kamaruzzaman Samad (kanan) dan Mohd Yunus Mahood bertanya khabar seorang warga emas di PJMM.
Beliau berkata, amat besar pahala yang dapat kita kongsi dengan petugas sukarelawan di pusat jagaan berkenaan apabila terpaksa memikul tanggungjawab dengan jujur serta ikhlas untuk menyantuni warga emas terbabit walaupun bukan ibu bapa atau darah daging mereka.
Menurutnya, bukan suatu yang mudah untuk menjaga dan menguruskan warga emas terbabit terutama apabila ada antara mereka sudah uzur serta terlantar di atas katil kerana pelbagai penyakit dengan memerlukan perhatian setiap masa.
Tambahnya, dalam hal sedemikian, penduduk seperti sekitar Kampung Sungai Purun termasuk persatuan sukarelawan dan NGO yang ditubuhkan boleh datang membantu dengan menjadikan salah satu aktiviti amal kebajikan serta kemasyarakatan.
“Mereka tidak perlu datang setiap hari sebaliknya dengan membuat jadual kunjungan berkumpulan bersama-sama ahli seperti seminggu sekali supaya dapat membantu meringankan tugasan petugas di pusat jagaan terbabit,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di kampung berkenaan pada 18 September 2024.
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sungai Purun, Mohd Yunus Mahmood; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sazali Mohiden.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Sukarelawan Kasih, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ahli JPKK.
Majlis itu dimulai dengan perarakan sambil berselawat bersama-sama warga emas, berzanji serta marhaban oleh sukarelawan PJMM, penceritaan sejarah memeluk agama Islam oleh mualaf Zizan Abdullah, tazkirah yang disampaikan mantan Kaunselor Hospital Kajang dan HKL, Nuriza Zakaria.
Sempena sambutan maulidur itu juga diadakan majlis pengislaman warga emas, Lew Kang Fatt yang memilih untuk menganuti Agama Islam dan menukarkan nama kepada Muhammad Saif Yusuf Abdullah yang disempurnakan oleh Eksekutif Baitulmal Majlis Agama Islam Daerah Hulu Langat, Selangor, Ustaz Baharudin Ali Abdul Wahab.
Kamaruzzaman yang juga Pengerusi JPKK Sungai Purun, berkata penduduk kampung itu yang datang berkunjung ke PJMM boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, gotong-royong membersih persekitaran, memasak untuk makan tengah hari umpamanya di samping melakukan program berbentuk hiburan bagi menggembirakan hati warga emas.
Tambahnya, sebagai memikul tugas Ketua Kampung dan Pengerusi PJKK dia amat memahami keperluan dan cabaran terpaksa dihadapi petugas dalam menyantuni warga emas bawah jagaan mereka kerana pelbagai masalah terpaksa ditempuhi.
Jelasnya, manakala pihak pengurusan PJMM pula terpaksa sentiasa berikhtiar setiap hari mencari dana, sumbangan pelbagai barangan keperluan asas harian bagi membiayai kos operasi kerana yang berlindung di situ tidak dikenakan sebarang bayaran.
Menurutnya, dia bersama Mohd Yunus dan ahli JPKK lain turut mengikuti perkembangan operasi PJMM dan akan berusaha menghulurkan bantuan yang diperlukan terutama dalam penyediaan kemudahan asas, kelengkapan dan sebagainya demi keselesaan warga emas di pusat itu.
“Saya berharap apa yang dilakukan ini menjadi contoh dan teladan terbaik kepada penduduk yang paling penting bersangka baik kewujudan PJMM di komuniti mereka,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kempimpinan UMNO Pahang santuni pengundi, pengundi mahu UMNO kekal ditangan UMNO.
LIPIS – Kepimpinan UMNO Pahang mengadakan Program Taqarub dan Ramah Mesra bersama Penduduk Taman Berlian di Rumah Wanita UMNO Ledang, petang semalam.
Turut menghadiri program itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad .
Sebelum itu, Datuk Seri Wan Rosdy turut hadir ke Majlis Makan Tengah Hari dan Ramah Mesra bersama Pengundi dan Jentera di Dun Mahkota, Jalan Hospital.
Wan Rosdy berkata, pemerhatian dalam lawatan ke situ, memperlihatkan pengundi mahu DUN Mahkota terus kekal di tangan UMNO.
“Jentera UMNO memainkan peranan yang wajar dipuji untuk membantu calon BN memenangi PRK kali ini,” katanya.
Ahli Parlimen Lipis berkata, melihat corak dan sambutan pengundi di DUN Mahkota, memperlihatkan mereka (pengundi) mahu DUN Mahkota terus kekal di tangan UMNO.
“Mereka tidak mahu lagi cakap-cakap kosong yang dilontarkan oleh pembangkang yng kadang kala mengelirukan seolah-olah kehabisan modal,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga maut ketika baiki lori treler dirempuh pacuan empat roda.
LIPIS – Tiga lelaki dewasa yang sedang membaiki lori treler yang berhenti di tepi jalan maut setelah dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kejadian berlaku di Jalan Merapoh – Kuala Lipis pada jam 2.44 pagi itu turut melibatkan dua cedera dan dua terselamat dalam kemalangan itu.
Pengawai Perhubungan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang merempuh tiga mangsa yang sedang membaiki lori treler yang mengalami kerosakan sedang berhenti di tepi jalan.
Katanya, Komandan Operasi Dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) LIpis, Mohd Azram Ab Aziz berkata, ketiga-tiga mangsa lelaki dewasa itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, dua lelaki dewasa cedera, dua lelaki dewasa yang berada di dalam kenderaan Toyota Hilux terselamat.
“Semua mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Lipis, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!