Gabungan 37 Masjid Wilayah Jengka anjur tadarus dan khatam Al-Quran sempena Ramadan
Gabungan 37 Masjid Wilayah Jengka anjur tadarus dan khatam Al-Quran sempena Ramadan
JERANTUT- Badan Gabungan 37 Masjid Felda Wilayah Jengka akan mengadakan Majlis tadarus dan khatam Quran peringkat Wilayah Jengka sempena bulan Ramadan al-Mubarak tahun ini.
Pengerusinya, Razak Daud berkata, Badan Masjid dengan kerjasama Biro Sosial Felda Wilayah Jengka membabitkan peneroka/penerokawati dan generasi Baharu Felda di 37 rancangan Felda Wilayah Jengka.
Menurutnya, majlis tadarus dan khatam Al-Quran bermula di peringkat rancangan masing-masing manakala lokasi di peringkat wilayah akan ditentukan kemudian.
“ Pegawai kanan Felda, ketua peneroka, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka dan Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, Jengka dan Maran antara tetamu hadir pada program berkenaan.
“ Badan Masjid dengan kerjasama Biro Sosial Felda Wilayah Jengka turut menganjurkan pelbagai program keagamaan, sosial dan kemasyarakatan sempena bulan Ramadan ini.
Program lain ialah sambutan Ilhya Ramadan peringkat FELDA wilayah Jengka dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri kerjasama dengan PAID Jengka ( PAID Jengka), katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jengka hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka berkata, program lain ialah Ziarah Kasih sambil memberi sumbangan kepada pesakit terlantar di setiap rancangan Felda Jengka.
Menurutnya, program ceramah Perdana Ramadan turut dirancang yang disampaikan oleh pendakwah selebriti yang dikenali di negeri ini.
Beliau berkata, jawatankuasa di 37 masjid Wilayah Jengka turut diminta menarik lebih ramai ahli kariah masing-masing dapat menunaikan solat tarawih 20 rakaat.
Dalam bulan Ramadan ini juga Badan Masjid dan Biro Sosial Felda Jengka akan turun padang menyantuni saudara baharu dan Masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar Felda Tiga Segi Jengka, katanya.
` Pengisian program sempena Ramadan ini akan dimasukkan dalam kad laporan prestasi untuk kita menilai diri sama ada program itu berjaya mencapai matlamat atau sebaliknya,“ katanya..
Menurutnya, Kad laporan prestasi Badan Masjid dan Biro Sosial Felda Wilayah Jengka berjaya melaksanakan 20 program besar sepanjang tahun lepas.-SAHIH