JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan pendidikan percuma kepada anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026.
Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, berkata langkah yang membabitkan peruntukan RM120 juta setahun itu memberi kelegaan besar kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM2,705 sebulan, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha membasmi kemiskinan melalui pendidikan.
“Inisiatif ini sangat signifikan kerana memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan B40 menamatkan pengajian tanpa terbeban dengan hutang. Ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Kesatuan berpendapat keputusan kerajaan mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana amat disanjung,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, langkah itu, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun, selaras dengan usaha kerajaan menghargai kecemerlangan akademik.
“Pada masa sama mencadangkan supaya kerajaan memberi perhatian kepada pelajar yang lemah dari segi akademik dengan memperluaskan program latihan kemahiran dan bimbingan akademik di institusi pengajian tinggi.
“KGMMB berharap pelajar yang kurang cemerlang turut diberikan peluang memperkukuh kemahiran insaniah dan vokasional agar mereka mampu bersaing di pasaran kerja selepas tamat pengajian,” katanya.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri, ketika membentangkan belanjawan itu menegaskan dasar berkaitan PTPTN kini bukan sekadar soal kutipan hutang, sebaliknya sebahagian daripada agenda pembasmian kemiskinan pendidikan bagi memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan kekangan kewangan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Roslan Abu Kassim, 56, mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menaikkan ikan tapah seberat 27 kilogram itu ketika menemani hos National Geographic, Zep Hogan, bagi penggambaran program dokumentari River Monster.
Bagai ditarik-tarik, bergumpal dengan ikan tapah sangkut pada kail
JERANTUT – Suasana di Sungai Tahan, Taman Negara Kuala Tahan bertukar dramatik apabila seekor ikan tapah gergasi tiba-tiba menyambar kail seorang pemandu pelancong tempatan, menjadikan pengalaman memancingnya penuh debaran.
Roslan Abu Kassim, 56, yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Taman Negara berkata, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menaikkan ikan tapah seberat 27 kilogram itu ketika menemani hos National Geographic, Zep Hogan, bagi penggambaran program dokumentari River Monster.
“Saya menggunakan umpan hidup ikan keli, tidak lama diturunkan, air tiba-tiba bergolak kuat dan joran saya melentur dan saya terpaksa menahan joran yang terasa sangat berat.
“Ikan tapah itu bergumpal di permukaan sungai, seolah-olah cuba melepaskan diri, meronta sehingga saya terasa turut ditarik-tarik,” katanya.
Roslan bersama Hogan menarik tali kail dengan cermat sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut ke atas perahu. Detik penuh mendebarkan itu turut dirakam oleh kru produksi untuk dimuatkan dalam siaran National Geographic akan datang.
Menurutnya, nama lain bagi ikan tapah termasuklah ikan berkumis dan sareng, manakala dalam dialek Melanau, Sarawak dipanggil tabei, nama saintifik pula ialah Wallagonia leerii, merupakan spesies liar yang masih banyak terdapat di Sungai Tahan dan Sungai Tembeling, terutama di kawasan lubuk dalam.
“Tapah biasanya menjadikan ikan kecil dan serangga sebagai makanan utama. Selepas ditimbang dan dirakam, ikan ini kami lepaskan semula ke habitat asalnya demi menjaga kelestarian biodiversiti Sungai Tahan.
”Ikan tapah dewasa mampu mencecah 80 kilogram dengan panjang sehingga dua meter, bagi nelayan sungai di kawasan Kuala Tahan serta Ulu Tembeling, harga pasaran spesies itu boleh mencecah RM50 hingga RM60 sekilogram,” katanya.
Roslan berkata, penduduk tempatan lazimnya memasak ikan tapah dalam pelbagai menu tradisional seperti asam tempoyak, masak lemak cili api, dan sup tapah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Keliahatan beberapa ekor berkeliaran di Taman Saujana Utama, di sini.
Penduduk resah anjing liar berkeliaran, tuntut tindakan segera
JERANTUT – Penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar bandar ini semakin resah berikutan peningkatan jumlah anjing liar berkeliaran tanpa kawalan hingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan kebersihan.
Antara kawasan terjejas termasuk Taman Inderapura, Taman Saujana Utama, Taman Saujana Perdana serta kawasan industri Jerantut, dengan lebih 50 ekor anjing liar dilihat berkeliaran hampir setiap hari.
Lebih membimbangkan, beberapa ekor anjing turut dilaporkan berada di perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jemaah.
Penduduk, Rosmani Sulaiman, 61, berkata keadaan itu semakin menakutkan selepas insiden anjing mengejar kanak-kanak di Taman Saujana Utama baru-baru ini.
“Keselamatan penduduk semakin terancam. Kami berharap pihak berkuasa tempatan segera bertindak sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Kamaruddin Napiah, 58, dari Taman Inderapura berkata, anjing liar turut mengganggu kebersihan apabila menyelongkar tong sampah hingga menyebabkan sisa bertaburan.
Jurucakap Majlis Daerah Jerantut (MDJ) memaklumkan beberapa perangkap sudah dipasang di lokasi tumpuan, dan operasi menangkap anjing liar akan diteruskan terutama pada waktu malam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Mohd Nazri (berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama ahli generasi muda PSK pada Kejohanan Boling Amal Sukarelawan Kasih 2025.
Remaja Disaran Sertai NGO Bina Jati Diri dan Kepimpinan
KAJANG – Pembabitan golongan muda dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk membentuk jati diri dan semangat sukarelawan demi manfaat masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK), Mohd Nazri Abdul Latif, berkata penglibatan remaja dalam NGO memberi peluang mereka mendalami nilai murni seperti tanggungjawab sosial, belas kasihan dan kerendahan diri di samping mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan komunikasi.
Menurutnya, PSK yang ditubuhkan lebih 19 tahun lalu kini giat menarik penyertaan remaja sebagai pelapis agar pertubuhan terus aktif membela golongan memerlukan.
“Remaja sebenarnya sudah dididik dengan semangat berpersatuan di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.
“Apabila mereka bekerja nanti, PSK berharap dapat menarik mereka menjadi sukarelawan aktif dalam komuniti,” katanya pada Kejohanan Boling Amal Sukarelawan Kasih 2025 di Bangi, baru-baru ini.
Seramai 30 anak ahli PSK menyertai kejohanan itu bersama Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, bagi memberi pendedahan mengenai peranan NGO serta tugas sukarelawan.
Mohd Nazri turut menyerahkan sumbangan hasil infak ahli dan orang ramai kepada dua pusat jagaan berkenaan.
Katanya, aktiviti sukan seperti boling mampu mengeratkan hubungan antara ahli NGO dan menjadi platform membina ukhuwah.
“Selepas ini PSK akan merancang lebih banyak program kebajikan, termasuk menyantuni warga emas dan anak yatim supaya ahli pelapis tidak berasa kekok menyertai kerja sukarela,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu lori balak bimbang hilang pekerjaan akibat had berat baharu
JERANTUT: Kira-kira 150 pemandu lori balak di negeri ini bimbang bakal kehilangan mata pencarian susulan pelaksanaan had berat muatan lori balak yang baharu, yang didakwa menyebabkan pendapatan mereka serta syarikat pengangkutan kayu berkurangan sehingga 50 peratus.
Difahamkan, pelaksanaan had berat baharu yang menggunakan kiraan dalam kilogram (tan) berbeza dengan sistem terdahulu yang berdasarkan tan metrik padu. Perubahan itu menyebabkan jumlah kayu yang boleh dibawa dalam satu perjalanan berkurangan, walaupun lori masih berupaya menampung beban sebenar.
Ketua Penganjur Perhimpunan Aman Pemandu Lori Balak, Mohd Suhaimi Sukri, 41, dari Temerloh, berkata mereka merayu agar Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perhutanan mengkaji semula pelaksanaan had berat berkenaan yang disifatkan tidak adil kepada pemandu dan pengusaha pengangkutan.
“Jenis kayu berbeza dari segi berat dan ketumpatan. Apabila semuanya dikira berdasarkan kilogram tanpa mengambil kira perbezaan jenis kayu, kami hanya boleh membawa muatan sedikit walaupun lori masih mampu menampung lebih.
“Akibatnya, pendapatan kami berkurangan manakala syarikat pula menanggung kerugian besar kerana kos minyak, tol dan penyelenggaraan kenderaan tidak berubah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori juga berdepan kekeliruan berikutan ketidaksamaan had Berat Dengan Muatan (BDM) antara jenis lori.
Seorang pemandu, Sritheran Rajendran, 42, dari Jerantut, berkata ada lori hanya dibenarkan membawa 30,000 kilogram, manakala ada yang 48,000, 52,000 dan hanya segelintir memperoleh permit 60,000 kilogram.
Seorang pemandu, Sritheran Rajendran menunjukkan BDM pada lori.
“Kami berharap had berat ini diseragamkan agar semua pemandu dilayan secara adil. Jika tidak, ramai mungkin kehilangan pekerjaan kerana syarikat terpaksa menghentikan operasi.
“Kami juga bimbang lesen GDL dibatalkan akibat kesalahan berulang. Pendapatan kami tidak menentu kerana hanya bekerja lima hari seminggu dan bergantung kepada cuaca serta jadual operasi Pejabat Hutan,” katanya.
Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, berkata isu berkenaan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Saya menerima beberapa usul daripada kira-kira 150 pemandu lori seluruh Pahang. Isu ini perlu diselesaikan melalui komunikasi baik antara persatuan dan pihak kementerian. Memorandum lengkap akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan rundingan perlu diamalkan agar penyelesaian yang dicapai tidak menekan mana-mana pihak serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat dalam industri pengangkutan kayu balak. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Malam Untukmu Gaza seru solidariti rakyat Malaysia
MARAN : Malam Untukmu Gaza, Kilauan Semantan Harapan Gaza yang berlangsung di sini malam tadi menyuntik semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
Majlis penuh simbolik itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Adun lantikan , Mohd Fadzli Mohd Ramly, dan turut menampilkan ikon kemanusiaan terkenal, Heliza dan Hazwani Helmi, yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi bantuan ke Gaza melalui pelayaran Sumud Nusantara Flotilla baru-baru ini.
Pengerusi Eksekutif penganjur program, Mohamad Hafizal Mahmood, berkata acara berkenaan diadakan bagi menyatukan masyarakat melalui sumbangan kecil yang mampu memberi impak besar kepada rakyat Palestin.
“Kita mungkin tidak mampu berjuang di medan perang, tetapi sumbangan dan sokongan moral adalah satu bentuk perjuangan juga,” katanya ketika berucap di majlis itu.
Beliau berkata, penganjuran malam amal itu turut memperkenalkan inisiatif baharu yang membolehkan orang ramai menyumbang kepada tabung bantuan Gaza melalui pelbagai platform ekonomi dan sosial.
Beliau berkata, sempena majlis berkenaan pihaknya turut memperkenalkan E-Gold Coin, syiling emas edisi khas yang dilancarkan sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan Palestin.
“Sebahagian hasil jualan daripada edisi khas ini akan disalurkan kepada tabung bantuan Gaza sebagai tanda keprihatinan masyarakat tempatan,” katanya
Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid legenda Raihan serta tazkirah oleh pendakwah terkenal Dato’ Maulana Helmi bersama Dr Sam, yang mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan penderitaan saudara Islam di bumi Gaza.
Selain itu, tetamu yang hadir turut menzahirkan sokongan melalui pelbagai bentuk sumbangan, sekali gus menjadikan program tersebut bukan sekadar hiburan rohani, tetapi wadah menyemai kesedaran kemanusiaan.
“Apa yang kita lakukan malam ini bukan hanya untuk menunjukkan simpati, tetapi tanda keprihatinan dan keazaman untuk terus membantu,” katanya.
Program berkenaan turut disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang komited menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza, termasuk Cinta Salam Malaysia, yang menjadi rakan pelaksana utama.
Semoga usaha kecil yang digerakkan melalui penganjuran ini menjadi sinar dan harapan buat rakyat Gaza, selain membuktikan bahawa suara kemanusiaan Malaysia tidak pernah terhenti untuk bumi bergolak itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Kegembiraan jelas terpancar di wajah dua penerima inisiatif Rumah Makmur apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan hasil keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang.
Bagi Nur Ainzah Adina Abdul Khalid, 32, dari Kuala Lipis, peluang memiliki rumah menerusi skim berkenaan disifatkan sebagai anugerah besar buat keluarganya selepas sekian lama berusaha mencari kediaman mampu milik.
Bersama suaminya, Ami Iwan Muhammad Rozi, 34, pasangan itu kini menetap di Bentong dan amat bersyukur dipilih sebagai antara penerima rumah teres bernilai RM80,000 di bawah skim tersebut.
“Memang gembira sangat sebab sebelum ini kami cuba nak beli rumah di tempat lain tapi tak mampu.
”Dengan adanya program Rumah Makmur ini, akhirnya kami dapat juga rumah sendiri dan tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu ini, ” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci kediaman di kawasan perumahan berkenaan di Kuala Lanar, baru-baru ini.
Nur Ainzah yang tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan suaminya di sektor swasta turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya berterima kasih sangat kepada Kerajaan Negeri dan juga kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menyediakan Rumah Makmur ini untuk kami yang tak mampu membeli rumah pada harga pasaran biasa,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sofri Yusof, 41, dari Bandar Jengka turut meluahkan rasa syukur apabila tersenarai sebagai penerima projek perumahan di bawah inisiatif kerajaan negeri itu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sebelum ini keluarganya hanya menyewa rumah sementara menanti peluang memiliki kediaman sendiri.
“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana kerajaan negeri banyak membantu rakyat seperti kami untuk memiliki rumah sendiri. Inisiatif sebegini amat diperlukan bagi membawa perubahan dan kemakmuran kepada masyarakat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan membantu rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau yang merupakan peserta kategori rumah teres turut berhasrat berpindah ke kediaman baharu dalam masa terdekat bagi memulakan kehidupan lebih selesa bersama keluarga.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Rakyat Tolak Retorik PAS, Pahang Terus Kukuh Dengan Prestasi dan Agenda Rakyat
LIPIS – Program Hogoh Jelai anjuran PAS baru-baru ini yang gagal mencapai sasaran kehadiran, dilihat sebagai isyarat jelas bahawa rakyat mula menolak retorik politik sempit parti itu.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya rakyat kini menilai berdasarkan prestasi dan kemampuan kerajaan negeri pimpinan yang terus menumpukan kepada pembangunan sebenar rakyat.
Kata beliau, Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar satu slogan, sebaliknya ia merupakan dasar negeri yang menjadi tunjang kepada hala tuju pembangunan dan pentadbiran negeri sejak awal pentadbiran kerajaan kini.
“Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah melalui pelbagai inisiatif di bawah payung Aspirasi Pahang First yang memfokuskan kepada teras utama iaitu ekonomi, agama, TVET, dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka sahaja menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM3 juta, selain manfaat besar daripada kelulusan projek menaik taraf Jalan Sinderut–Jalan Titom dengan nilai keseluruhan RM320 juta, khusus untuk kerja jalan sahaja,” katanya hari ini.
Beliau berkayta demikian di Majlis Perasmian Jalan dan Jambatan Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Lipis.
Katanya, selain itu, Akademi Pahang First turut membuktikan keberkesanan dasar pendidikan negeri apabila Pahang kini berada di tempat keempat terbaik nasional selepas Pulau Pinang, Johor dan Selangor, hasil penilaian KDNK 2024 sebanyak 5.7 peratus, meningkat ketara berbanding 17.9 peratus bagi tempoh 2018–2024.
“Berbanding PAS yang ghairah memainkan persepsi dan fitnah, kepimpinan Pahang lebih memilih untuk bekerja dan menyantuni rakyat secara nyata, cukai tanah bagi pemilik bawah 10 ekar tidak dinaikkan, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban rakyat luar bandar.
“Dalam aspek kebajikan Islam pula, kerajaan negeri yang kononnya dituduh ‘tidak Islamik’ dan ‘sekular’ oleh pihak pembangkang tetap menunjukkan keutamaan terhadap umat Islam antaranya menyalurkan bantuan tunai RM750 kepada setiap jemaah haji dari Pahang tahun ini, satu langkah yang tidak pernah dilakukan oleh pihak yang mendabik dada memperjuangkan Islam,” katanya.
Katanya, rakyat kini sudah matang menilai, mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik politik yang hanya pandai berbicara di pentas, tetapi gagal membawa hasil nyata.
“Pahang kekal di landasan kukuh, mengutamakan pembangunan, kesejahteraan dan masa depan rakyat berasaskan realiti, bukan retorik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Hutan Taman Negara Kuala Tahan yang menjadi ikonik pelancong ke Taman Negara Kuala, hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun.
JERANTUT – Daerah Jerantut kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sektor pelancongan tempatan bersedia menerima limpahan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, selaras dengan peranannya sebagai gerbang utama ke Taman Negara Pahang.
Antara fokus utama ialah peningkatan infrastruktur pelancongan, termasuk kerja menaik taraf jalan utama serta laluan ke kawasan tarikan seperti Taman Negara, Ulu Cheka dan Pulau Tawar agar berada dalam keadaan baik dan menarik.
Pihak berkuasa tempatan turut menekankan aspek kebersihan dan keceriaan bandar Jerantut, selain membaiki prasarana seperti papan tanda pelancongan, tandas awam, serta kemudahan di kawasan tumpuan.
Salah satu tarikan pelancong di Kuala Tahan
Pegawai Daerah Jerantut, Sulaiman Husin berkata, usaha menaik taraf Galeri Mat Kilau dan Galeri Pawang Nong turut dijalankan bagi memperkukuh nilai sejarah dan warisan tempatan sebagai daya tarikan baharu kepada pelancong.
”Dari sudut promosi, pelbagai pendekatan kreatif sedang digerakkan termasuk penghasilan ‘fun map’, kalendar aktiviti pelancongan serta kempen media sosial di Facebook, TikTok dan laman sesawang rasmi bagi menyerlahkan keunikan destinasi sekitar Jerantut.
“Tidak ketinggalan, pelbagai produk makanan tradisional seperti Gulai Asam Rong, Sambal Hitam dan Murtabak Jerantut turut dipromosikan sebagai tarikan gastronomi yang mampu memperkayakan pengalaman pelancong,” katanya.
Sementara itu, data Taman Negara Kuala Tahan menunjukkan destinasi alam semula jadi itu merekodkan 97,814 pelancong dari Januari hingga Oktober 2025, meliputi 55,809 pelancong luar negara dan 42,005 pelancong domestik.
Kemasukan tertinggi direkodkan pada Ogos (20,603 pelancong), disusuli Julai (16,808) dan September (12,972), dipacu oleh promosi sempena Tahun Melawat Pahang 2025 dan cuti sekolah.
Katanya, sambutan menggalakkan terhadap aktiviti jelajah kanopi, lawatan gua dan penginapan eko menunjukkan trend positif pelancongan berasaskan alam.
“Fokus terhadap kelestarian dan eko pelancongan memberi kelebihan kepada Jerantut untuk kekal sebagai destinasi utama menjelang TMM 2026, dan mensasarkan kira-kira 200, 000 pengunjung tahun hadapan.
“Dengan usaha bersepadu antara kerajaan tempatan, agensi pelancongan dan komuniti setempat, Jerantut dijangka muncul sebagai destinasi pelancongan lestari yang semakin menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.- SAHIH
Jerantut giat sambut Tahun Melawat Malaysia 2026, sasar 200,000 pelancong tahun hadapan

Program Hogoh Jelai Gagal, Cerminan Rakyat Tolak Naratif PAS di Pahang
LIPIS – Program Hogoh Jelai anjuran PAS yang digembar-gemburkan kononnya bakal menghimpunkan lebih 30,000 penyokong, ternyata gagal mencapai sasaran, sekaligus memperlihatkan penolakan rakyat terhadap naratif pembangkang yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran Kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Ahli Dewan Undangan Lantikan Negeri, Haris Salleh Hamzah, kegagalan program tersebut menjadi isyarat jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai prestasi kerajaan negeri yang terbukti berjaya membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada seluruh pelosok Pahang, termasuk kawasan luar bandar seperti Jelai.
“PAS cuba memainkan sentimen bahawa kerajaan negeri gagal membela Islam dan ekonomi rakyat, tapi hakikatnya, prestasi Menteri Besar jauh menenggelamkan dakwaan mereka.
“Projek infrastruktur berjalan, ekonomi negeri meningkat, pelaburan bertambah, malah laporan Audit Negara menunjukkan pengurusan cemerlang tanpa teguran,” katanya.
Beliau berkata, program Hogoh Jelai yang digembar-gemburkan sebagai “kebangkitan rakyat” akhirnya menjadi sekadar pesta dalaman parti, tanpa sambutan daripada masyarakat umum.
“Hogoh akhirnya jadi hoget iaitu goyah dan hambar. Kehadiran hanya daripada ahli-ahli PAS sendiri, dengan peratusan kecil daripada rakyat atas pagar. Ini membuktikan rakyat Pahang sudah matang menilai antara kaca dan permata.
“Program berkenaan turut memperlihatkan kelemahan dalaman gabungan Perikatan Nasional (PN), apabila beberapa pimpinan utama terutama dari parti Bersatu tidak hadir, sekaligus menunjukkan keretakan dalam pakatan itu.
”Macam mana nak teraju negeri kalau kapal sendiri pun hampir karam? Rakyat nampak jelas siapa yang bekerja, siapa yang hanya pandai berceramah,” katanya lagi.
Beliau turut menempelak tindakan wakil rakyat PAS yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan baik, sebaliknya menyalurkan peruntukan lebih kepada kepentingan parti.
“Kerajaan negeri tetap bersikap adil menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang. Tapi apa yang kita lihat, sebahagian daripada mereka gunakan untuk PASTI dan program parti, bukan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.
Katanya, kegagalan program Hogoh Jelai menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin yakin dengan kepimpinan kerajaan negeri yang konsisten dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan, bukan sekadar retorik politik.
Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk seri Ismail Mohamad Said melalui akauan Facebook Himpunan Hogoh Jelai 30K tidak mendapat sambutan.
”Kehadiran malam itu sekitar 1,500 orang dan Fun Run yang menyertai kira-kira 100 orang sahaja.
”Ini bukan Hogoh tapi terhegeh2 je hehehe. MB Pahang dah buat macam-macam untuk pembangunan dan kebajikan orang Jelai dan Pahang. Moh kita pertahankan Pahang melalui Aspirasi Pahang 1st,” katanya. -SAHIH.