ASRAMA TANGKAP MUAT
PEKERJA ASING HIDUP MACAM DALAM TIN SARDIN
KUALA LUMPUR: Beberapa siri serbuan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini mendapati keadaan tempat tinggal yang kotor dan sesak dihuni pekerja sebuah kilang sarung tangan, menurut laporan media.
Pengarah Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab dilapor berkata pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 13 buah rumah dua tingkat di Tasek, Ipoh, yang dijadikan asrama oleh syarikat itu.
JTKSM mendapati keadaan itu melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang baru-baru ini diperluas merangkumi semua industri.
“Setiap asrama seharusnya mempunyai 10 hingga 12 pekerja, namun kami mendapati setiap unit masing-masing menampung 15 hingga 20 pekerja.
“Semasa pemeriksaan kami di semua 13 asrama, yang merupakan rumah dua tingkat, kami dapat tilam dan tempat tidur berada di ruang makan dan ruang tamu,” katanya dipetik The Star.
GAMBAR HIASAN
Asri menambah, jabatan itu mendapati tong gas dan pakaian bersepah merata–rata.
The Malay Mail sementara itu, memetik Asri sebagai berkata syarikat itu juga gagal mendapatkan Perakuan Penginapan dari JTKSM.
Nama syarikat itu tidak disebutkan dalam laporan berkenaan.