ASKAR DIKHUATIRI LEMAS DI SUNGAI PAHANG
ASKAR DIKHUATIRI LEMAS DI SUNGAI PAHANG
Foto atas: Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sekitar tempat kejadian.
BERA: Seorang anggota tentera dikhuatiri lemas semasa menjalankan latihan taktikal menyeberangi sungai, di Sungai Pahang, dekat sini, petang semalam.
Anggota tentera yang dikhuatiri lemas itu, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera.
Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya daripada 10 Briged (Para) itu hilang dalam kejadian yang berlaku itu ketika anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor, kira-kira jam 4.40 petang semalam.
TDM telah menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang sebaik kejadian itu disedari, namun tiada penemuan sehingga kini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkenaan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan Op SAR disambung esuk.
Op SAR ini turut juga dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan dipercayai mangsa kali terakhir dilihat.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain turut hadir ke Kampung Batu Bor, Bera untuk melihat pelaksanaan Op SAR.
TDM berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.-SAHIH.